Malaysia sebagai suara damai berpandukan wahyu

Malaysia sebagai suara damai berpandukan wahyu

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“Dan jika dua golongan dari orang-orang mukmin berperang, maka damaikanlah antara

keduanya…” (Surah al-Hujurat: 9)

Malaysia sekali lagi muncul di pentas serantau melalui peranannya sebagai pemudah cara perdamaian. Kuala Lumpur menjadi tuan rumah rundingan penting antara Thailand dan Kemboja, dalam usaha menyelesaikan konflik sempadan yang telah lama menjadi barah dalam hubungan dua hala.

Peranan ini bukan kali pertama digalas oleh Malaysia. Dalam isu Mindanao di Filipina dan selatan Thailand, Malaysia telah memainkan peranan utama sebagai perantara yang dipercayai dan berpengaruh dalam kalangan negara Asia Tenggara.

Namun dalam konteks Malaysia sebagai negara Islam, persoalannya lebih besar daripada diplomasi semata-mata. Apakah peranan ini mencerminkan misi kenegaraan, atau sebahagian daripada pelaksanaan panduan wahyu yang menyeru kepada pendamaian dan keadilan?

 

MISI PENDAMAIAN DALAM BINGKAI WAHYU

Al-Quran menekankan keutamaan menyatukan manusia dan mencegah perpecahan. Usaha mendamaikan antara pihak bertelagah dilihat sebagai tugas yang amat mulia, bahkan ia menjadi salah satu sifat utama orang yang bertakwa.

“Dan damaikanlah antara mereka dengan adil serta berlaku adillah. Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” (Surah al-Hujurat: 9)

Malaysia membawa nilai ini ke meja rundingan. Pendekatan yang berteraskan prinsip sulh (pendamaian) dan ‘adl (keadilan) menjadikan negara ini dihormati oleh kedua-dua pihak dalam konflik.

Nilai-nilai ini bukan hanya wacana agama, malah telah dibumikan dalam dasar luar negara secara konsisten.

 

NEUTRAL DENGAN PRINSIP

Menjadi perantara memerlukan kebijaksanaan dalam mengimbangi kepercayaan semua pihak.

Malaysia mengambil pendirian neutral yang berpandukan prinsip, bukan bersikap berkecuali tanpa arah. Ini sangat bertepatan dengan pendekatan para nabi yang berdakwah dengan hujah dan hikmah.

Nabi Sulaiman AS, sebagai contoh, menjalankan komunikasi diplomatik dengan Ratu Balqis secara tegas tetapi berhemah. Baginda menunjukkan ketegasan tidak menafikan hikmah dan perdamaian lebih diutamakan apabila peluangnya terbuka.

Malaysia boleh meneladani pendekatan ini dengan menawarkan diplomasi yang tidak berpihak tetapi tetap berpandukan nilai. 

 

DIPLOMASI SEBAGAI MASLAHAH KEMANUSIAAN

Dalam tradisi maqasid syariah, menjaga nyawa dan keamanan adalah antara tujuan tertinggi yang diiktiraf syarak. Justeru, segala usaha bagi mencegah pertumpahan darah, menamatkan konflik dan membina perdamaian merupakan ibadah dan tanggungjawab bersama.

“Barang siapa yang memelihara kehidupan seorang manusia, maka seolah-olah dia telah memelihara kehidupan seluruh manusia.” (Surah al-Ma’idah: 32)

Jika dengan menjadi perantara Malaysia berjaya meredakan ketegangan antara dua negara jiran, maka itu adalah sumbangan besar terhadap kemanusiaan dan keharmonian rantau ini.

 

MALAYSIA SEBAGAI PUSAT PENDAMAIAN

Malaysia mempunyai potensi untuk menginstitusikan peranannya sebagai penggerak perdamaian. Ini boleh dilaksanakan melalui penubuhan pusat penyelesaian konflik di peringkat ASEAN, latihan diplomat dalam pendekatan etika Islamik dan penganjuran wacana bersama ulama serta pemimpin serantau bagi membudayakan pendekatan dialog selain saling menghormati.

Jika ASEAN dikenali dengan prinsip tidak campur tangan, Malaysia boleh memperkenalkan gagasan campur tangan berasaskan nilai rahmah. Campur tangan ini tidak bertujuan mencampuri urusan dalaman secara agresif, tetapi membantu dalam menyelesaikan pertikaian demi keamanan bersama.

Perkara ini amat penting khususnya dalam konflik yang melibatkan minoriti, perebutan wilayah atau pertikaian maritim yang semakin kompleks. Malaysia perlu tampil sebagai suara moral yang menyeru kepada keadilan, bukan membiarkan konflik membarah kerana alasan kedaulatan semata-mata. 

Dengan pendekatan ini, Malaysia dapat mengisi kekosongan kepimpinan moral di peringkat rantau dan memperkukuh solidariti ASEAN sebagai komuniti yang berasaskan nilai dan masa hadapan bersama.

 

MENJADI SUARA DAMAI BERPANDUKAN WAHYU

Di tengah-tengah kekacauan dunia yang dihimpit peperangan dan ketegangan geopolitik, Malaysia tidak perlu bergantung kepada kekuatan ketenteraan untuk dihormati. Pendekatan damai yang berpaksikan wahyu dan nilai-nilai kemanusiaan sudah cukup menjadikan negara ini disegani.

Peranan Malaysia sebagai perantara ASEAN harus dilihat bukan sebagai satu kelebihan diplomatik semata-mata, tetapi sebagai amanah besar yang berteraskan wahyu. Ia membuktikan sebuah negara Islam mampu menawarkan penyelesaian dengan cara yang penuh hikmah, bermaruah dan menyeluruh.

“Dan jika mereka condong kepada perdamaian, maka condonglah engkau kepadanya dan bertawakallah kepada Allah.” (Surah al-Anfal: 61)

Malaysia masih mempunyai banyak ruang untuk menjadi suara damai yang membawa cahaya wahyu ke pentas serantau dan antarabangsa. Cabarannya ialah memastikan prinsip itu terus menjadi nadi dalam dasar luar dan bukan hanya alat retorik.-UTUSAN

 

DR. Mhd. Faizal  Mhd. Ramli ialah Pensyarah Kanan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Penyelidik Kehormat Menara Rezeki Sdn. Bhd.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN