KUALA LUMPUR: Bekas Pengarah Prestasi Tinggi Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Datuk James Selvaraj menyifatkan Kejohanan Dunia di Paris minggu depan bakal menjadi penentu sebenar hala tuju karier pemain perseorangan profesional negara, Lee Zii Jia.
Pemain berusia 27 tahun itu direhatkan lebih lima bulan akibat kecederaan buku lali sebelum kembali menggunakan ranking perlindungan Persekutuan Badminton Dunia (BWF) dan kini jatuh merudum ke tangga ke-52 dunia.
James berkata, dalam kejohanan ini apa senario boleh berlaku malah beberapa pemain ternama boleh kecundang, namun kecergasan menjadi keutamaan Zii Jia selepas sekian lama tidak beraksi dalam gelanggang.
“Sudah tentu, Zii Jia tidak sehebat nama-nama besar lain, tetapi ini Kejohanan Dunia. Apa sahaja boleh berlaku.
“Saya selalu berpendapat Zii Jia ini pemain lengkap. Dia ada ketinggian, kekuatan dan kemahiran. Cuma yang membimbangkan saya adalah tahap kecergasannya selepas lama tidak beraksi,” kata James kepada Utusan Malaysia.
Justeru, undian menyaksikan tidak memihak kepada Zii Jia apabila perlu menentang pemain Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin pada pusingan pertama dan berkemungkinan bertemu bintang China, Li Shi Feng di pusingan kedua.
Bagaimanapun, James percaya dua pusingan awal itu bakal menjadi titik tolak, sambil menegaskan peminat perlu melihat bagaimana Zii Jia mengatasi cabaran getir tersebut di Paris.
“Dua pusingan awal itu cabaran sangat getir untuk Zii Jia. Sekiranya beliau melepasi pusingan terbabit, tidak mustahil dia mampu membuat kejutan di Paris,” katanya.
Sementara itu, bekas pemain beregu negara, Tan Boon Heong turut menyuarakan keraguan terhadap keupayaan Zii Jia menyaingi kelompok terbaik dunia selepas sekian lama berehat.
“Perseorangan lelaki, itu tanda tanya besar. Kita sendiri tidak tahu tahap sebenar prestasi Zii Jia ketika ini.
“Kalau dia boleh lepas dua perlawanan pertama tanpa nampak kekok, saya percaya dia boleh pamer sesuatu yang istimewa. Aksi awal itu amat penting untuk pulihkan sentuhan perlawanan,” kata Boon Heong.
Zii Jia yang pernah menghadiahkan gangsa Sukan Olimpik Paris di venue sama tahun lalu kini dituntut membuktikan bahawa dirinya masih relevan, malah peminat tempatan menanti sama ada beliau mampu mencetus kejutan di kota Paris. – UTUSAN










