“SESUNGGUHNYA raja pemerintah itu di samping berperanan penting untuk memenuhi tanggungjawab pemerintahan menurut dalam Perlembagaan Negara, turut berperanan utama menghubungkan tradisi dengan modenisasi, menghidupkan kekayaan sejarah dan keagungan tamadun bangsa yang telah dibina melalui amalan budaya yang penuh adab lagi beradat, kehalusan budi dan keindahan bahasa.” – Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.
Dalam menghayati kemerdekaan negara yang mencecah 68 tahun, sebagai rakyat perlu menghargai keunikan sistem pentadbiran negara berlandaskan prinsip raja berperlembagaan.
Sejarah memodenisasikan sistem beraja bukan hanya untuk memperkukuhkan sistem pentadbiran negara tetapi juga menyerlah keunikan budaya.
Di serata dunia, sistem monarki mengalami perubahan yang mendadak sekitar Perang Dunia Pertama. Tempoh ini menyaksikan struktur monarki mutlak berdasarkan sistem pewarisan bertukar menjadi sama ada republik atau monarki berperlembagaan bagi membenarkan pengenalan pentadbiran berlandaskan demokrasi.
Meskipun di negara-negara Eropah, perubahan dinamika kuasa politik banyak mempengaruhi pemilihan kerangka demokrasi sebagai sistem kerajaan, namun ini tidak bererti negara yang dibentuk menggunakan sistem demokrasi lebih saksama. Sebaliknya, ada yang berpendapat, sistem monarki berperlembagaan lebih baik dari sudut pemeliharaan identiti negara bangsa dan hak rakyat.
Ini kerana pembentukan jati diri rakyat dapat dikekalkan oleh monarki yang berkesinambungan secara turun-temurun berbanding figura pentadbiran demokrasi yang silih berganti mengikut undian rakyat.
Di Malaysia, peranan raja-raja Melayu jelas semenjak penggubalan Undang-undang Tubuh Negeri Johor 1895 lagi yang dilihat sebagai batu asas perlembagaan Tanah Melayu, lantas, juga batu asas kepada pembentukan Persekutuan Tanah Melayu di bawah sistem demokrasi berperlembagaan.
Tambahan pula, di saat wujud pergelokan politik yang kuat, seperti ketika perubahan pucuk pimpinan cabang eksekutif, institusi raja adalah penaung yang memelihara keselamatan, kesejahteraan dan perpaduan nasional. Situasi sebegini tidak asing di Malaysia. Lihat sahaja kemelut politik sekitar 2020 hingga 2022.
Peranan dimainkan institusi beraja dalam mengembalikan kestabilan negara, ketika politikus mengatur pelbagai langkah untuk kepentingan politik membuktikan peri penting nilai raja-raja Melayu.
Malaysia terbentuk sebagai sebuah negara bangsa dengan pengaruh besar yang dimainkan raja-raja Melayu semasa proses kemerdekaan dirundingi, menjadikan Malaysia sebuah negara demokrasi yang menerima raja berpelembagaan sebagai Ketua Utama Negara. Ini membolehkan pembentukan identiti negara bangsa yang unik dan tersendiri, diperkemaskan dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sejarah penglibatan institusi beraja dalam pembentukan Perlembagaan Persekutuan tidak mungkin terhasil tanpa Sultan negeri Perak, Selangor, Negeri Sembilan dan Pahang berganding bahu menubuhkan Majlis Raja-Raja sebelum dituruti oleh Sultan di Negeri-Negeri Tidak Bersekutu. Ini kerana penglibatan langsung wakil Majlis Raja-Raja dalam perwakilan delegasi Tanah Melayu dalam Persidangan Perlembagaan di London mengukuhkan hak rakyat Tanah Melayu dalam menuntut kemerdekaan.
Peranan utama raja-raja Melayu dalam proses penggubalan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dilihat jelas dalam Persidangan Perlembagaan yang diadakan di London pada 1956.
Martabat raja-raja Melayu diiktiraf dalam mukadimah Laporan Suruhanjaya Reid yang menyatakan terma rujukan suruhanjaya bebas itu.
Selanjutnya, Majlis Raja-Raja turut terlibat dalam pembentukan Jawatankuasa Kerja yang diberi mandat untuk memastikan penggubalan perlembagaan baharu bersesuaian dengan sistem pemerintahan Tanah Melayu.
Ketika inilah penglibatan Majlis Raja-Raja menzahirkan kelangsungan peraturan asas atau grundnorm yang dipatuhi rakyat khususnya kepentingan mengimbangi anak watan dengan kepentingan kumpulan migran, dalam hal kewarganegaraan.
Bahkan, Kertas Putih inilah yang bertanggungjawab memperkemaskan lagi syor yang diberikan oleh Suruhanjaya Reid mengenai isu bahasa kebangsaan, agama bagi Persekutuan dan kedudukan istimewa komuniti Melayu.
PERANAN RAJA-RAJA MELAYU
Perkemasan ini hanya terzahir dengan adanya pengaruh serta campur tangan Majlis Raja-Raja. Contoh apabila Kertas Putih menyanggah saranan Suruhanjaya Reid bahawa tempoh 10 tahun dibenarkan bagi penggunaan bahasa Cina atau India dalam legislatif.
Jika dilihat kepada syor pembaharuan yang dibuat dalam Kertas Putih, jelas peruntukan Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu berjaya menerapkan jati diri negara bangsa hanya dengan pengaruh besar yang dimainkan raja-raja Melayu yang diwakili dalam 23 kali pertemuan Jawatankuasa Kerja ini.
Kerana itulah, ‘Raja payung naungan rakyat’ merupakan kalimat keramat yang memberikan gambaran jelas peranan raja khususnya dalam memelihara jati diri rakyat yang membentuk masyarakat sesebuah negara bangsa.
Tanpa pengaruh dan campur tangan raja-raja Melayu semasa perkembangan politik di Tanah Melayu (termasuklah dalam Majlis Mesyuarat Persekutuan dan Negeri), selanjutnya semasa Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu direncanakan dan didraf, mustahil Perlembagaan Persekutuan Malaysia mampu berdiri dengan nilai watan yang tersendiri.
Bagi menghayati peranan itu dalam memastikan peralihan kuasa politik daripada campur tangan asing kepada kerajaan tempatan autonomi berlaku secara aman, maka haruslah setiap warganegara Malaysia memahami sejarah kemerdekaan dan pembentukan negara Malaysia.-UTUSAN
PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ), dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).










