SEJAK kebelakangan ini, laporan media arus perdana dan media sosial dibanjiri berita berkaitan isu buli, sama ada berlaku di sekolah, institut pengajian tinggi (IPT), tempat awam mahupun di alam maya.
Masyarakat mula memberi perhatian serius terhadap masalah ini kerana ia bukan lagi dianggap sekadar gurauan sebaliknya bentuk jenayah yang mampu merosakkan masa hadapan generasi muda.
Isu buli tidak boleh hanya diletakkan di bahu pihak sekolah, kerajaan atau agensi tertentu sahaja sebaliknya semua pihak termasuk keluarga, masyarakat, institusi pendidikan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan pempengaruh media sosial perlu berganding bahu agar budaya buli ‘senior ke junior’ tidak menjadi warisan turun-temurun dalam masyarakat.
GOLONGAN CELIK DIGITAL
Kebanyakan isu buli yang dilaporkan melibatkan remaja iaitu mereka yang berada dalam fasa peralihan penting daripada alam kanak-kanak ke alam dewasa. Menurut takrifan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), remaja ialah individu yang sudah cukup umur tetapi masih dalam lingkungan usia muda, biasanya antara 10 hingga 19 tahun. Fasa ini sering dikaitkan dengan peralihan dari sekolah rendah ke sekolah menengah serta pembentukan identiti diri.
Generasi remaja hari ini turut dikenali sebagai celik digital. Mereka lahir dan membesar dalam persekitaran teknologi digital yang pesat, dengan telefon pintar, komputer, internet dan media sosial sudah menjadi sebahagian daripada kehidupan harian.
Berbeza dengan generasi terdahulu yang perlu menyesuaikan diri dengan teknologi baharu, generasi ini lebih cepat menguasai aplikasi, platform dan peranti terkini.
Oleh sebab itu, kandungan yang disajikan di media sosial sangat mempengaruhi cara fikir dan tingkah laku mereka. Ia diibaratkan seperti golongan muda ini ‘kenyang’ dengan pelbagai jenis kandungan yang dihasilkan pempengaruh, ada yang mendidik dan membina, namun tidak kurang juga yang bersifat negatif dan membahayakan.
Namun, dalam masa sama, kesannya juga boleh menjadi besar sekiranya kandungan yang dihasilkan bersifat provokatif, tidak bertanggungjawab atau melanggar norma masyarakat.
Dalam konteks Malaysia yang berbilang kaum, bangsa dan agama, sensitiviti sosial perlu sentiasa dijaga agar keharmonian dikecapi tidak tergugat akibat perkongsian tidak beretika di media sosial.
EJEN PERUBAHAN
Disebabkan pendedahan teknologi yang sangat meluas dalam kalangan remaja, pempengaruh media sosial perlu menjadi duta atau ejen perubahan. Ini kerana golongan ini memiliki jumlah pengikut yang ramai, mencecah ribuan hingga jutaan pengikut terdiri dari pelbagai lapisan bangsa dan peringkat umur.
Kelebihan ini memberi mereka kuasa untuk mempengaruhi pemikiran, emosi dan tindakan khalayak. Justeru, mereka wajar menggunakan pengaruh tersebut secara beretika dengan menghasilkan kandungan yang bermanfaat, mendidik serta mengajak remaja atau khalayak ke arah kebaikan.
Melihat kepada pengaruh besar yang dimiliki, pempengaruh boleh memainkan peranan penting dalam membantu kerajaan dan masyarakat membanteras isu buli. Terdapat pelbagai pendekatan kreatif yang boleh mereka laksanakan bagi menarik perhatian remaja.
Antara cadangannya, pempengaruh boleh menghasilkan video pendek berbentuk kempen antibuli di media sosial. Video sebegini mampu menyentuh hati penonton, mudah dikongsi di pelbagai platform dan memberi kesedaran bahawa buli bukanlah gurauan, sebaliknya satu bentuk penderaan yang meninggalkan trauma mendalam.
Selain itu, mereka juga boleh menerbitkan bual bicara siaran audio digital (podcast) santai dengan menjemput pakar psikologi, kaunselor atau individu yang pernah menjadi mangsa buli untuk berkongsi pengalaman.
Pendekatan berbentuk naratif ini lebih dekat dengan emosi khalayak dan memberi kesan jangka panjang kepada pendengar.
Pempengaruh turut boleh menghasilkan infografik atau hantaran visual ringkas dengan gaya padat dan mudah difahami. Kandungan sebegini boleh menjelaskan jenis-jenis buli sama ada fizikal, emosi atau siber, di samping memberi tip ringkas tentang langkah yang boleh diambil sekiranya seseorang menyaksikan kejadian buli.
Kempen tanda pagar (hashtag) juga wajar dijadikan strategi. Hashtag khusus seperti #HentikanBuli, #BuliItuJenayah atau #BeraniBersuara boleh berfungsi sebagai gerakan maya untuk mengajak golongan belia lebih cakna terhadap isu ini. Melalui kempen sebegini, mesej anti-buli boleh tersebar lebih luas dan mendapat sambutan ramai.
Selain itu, pempengaruh juga boleh berkolaborasi dengan pakar, pendidik dan NGO melalui sesi siaran langsung di media sosial. Usaha ini memberi ruang perbincangan yang lebih mendalam, di samping membuka saluran bantuan segera kepada mereka yang memerlukan sokongan.
Dengan strategi-strategi ini, pempengaruh bukan sahaja mendidik masyarakat, malah mampu mewujudkan gelombang kesedaran yang lebih luas dalam usaha melawan budaya buli di negara kita.
KESEDARAN AWAL KUNCI PENCEGAHAN
Perkara penting ialah memberi pendedahan awal kepada remaja dan belia tentang bahaya buli. Jika mereka sudah cakna sejak awal, mereka mampu menjadi ‘mata dan telinga’ dalam kelompok masing-masing untuk menegur atau menentang sebarang bentuk buli. Kesedaran yang dipupuk ini akan melahirkan generasi yang lebih berani bersuara dan enggan membiarkan budaya buli berterusan.
Namun, perlu juga diingatkan kebebasan media sosial jangan sekali-kali disalahgunakan untuk mencipta kandungan palsu semata-mata demi meraih perhatian. Tindakan ini bukan sahaja tidak beretika, malah boleh memburukkan lagi keadaan. Setiap perkongsian membawa impak besar kepada masyarakat, maka tanggungjawab moral perlu sentiasa diutamakan.
Budaya buli ialah masalah sosial serius yang meninggalkan kesan mendalam terhadap mangsa dari segi emosi, psikologi dan fizikal. Oleh itu, usaha membanterasnya memerlukan kerjasama menyeluruh daripada semua pihak seperti kerajaan, institusi pendidikan, keluarga, komuniti serta pempengaruh media sosial yang mempunyai suara besar di alam maya.
Dengan kreativiti dan kuasa pengaruh, pempengaruh berupaya menjadi ejen perubahan positif yang memimpin kempen antibuli di platform digital. Perkongsian mereka boleh membuka mata masyarakat, memberi sokongan moral kepada mangsa, serta mendidik generasi muda untuk lebih bertanggungjawab.
Akhirnya, kejayaan mengekang isu buli bergantung kepada sejauh mana kita semua bersatu dan bertindak bersama. Sedikit pesanan akhir, jangan biarkan isu ini dipandang ringan. Jadikan media sosial sebagai medan untuk mendidik dan menghasilkan kandungan yang bermanfaat.-UTUSAN
PENULIS ialah Pegawai Perhubungan Media dan Awam, Pejabat Komunikasi Advokasi dan Promosi (OCAP), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gombak.










