Felda bukan sekadar perladangan, tetapi harapan sekuriti makanan

Felda bukan sekadar perladangan, tetapi harapan sekuriti makanan

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) boleh terus menyumbang kepada bekalan makanan dan membantu negara daripada bergantung import makanan bagi memenuhi keperluan domestik.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

LEMBAGA Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) wajar dijadikan model dalam menangani isu kemiskinan dan keterjaminan makanan negara memandangkan agensi ini memberi tumpuan kepada tanaman kelapa sawit dan getah yang terbukti menyumbang secara signifikan kepada pembangunan ekonomi negara.

Sejak 1956, Felda membuka lebih 450,000 hektar tanah perladangan bagi menempatkan lebih 112,000 peneroka di seluruh negara. Setakat ini Felda merupakan penyumbang besar kepada pengeluaran minyak sawit mentah negara dan menyokong industri hiliran seperti biodiesel, makanan, kosmetik dan lain-lain. Sekarang pengeluaran getah sudah merosot dan bergantung kepada Thailand dan Vietnam.

Suatu ketika dahulu, Malaysia pernah muncul sebagai pengeluar getah utama dunia. Namun, dalam menghadapi cabaran semasa seperti perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi global, serta kekurangan tenaga buruh yang menjejaskan produktiviti, Felda perlu merangka semula pelan strategik lebih mampan dan relevan. Pendekatan baharu ini haruslah selari dengan kemajuan teknologi, aspirasi generasi muda serta trend ekonomi semasa demi kelangsungan dan daya saing sektor perladangan negara.

Dengan perkembangan teknologi moden dalam bidang pertanian, Felda boleh terus menyumbang kepada bekalan makanan dan membantu negara daripada bergantung import makanan segar sayur-sayuran, buah-buahan serta makanan haiwan bagi memenuhi keperluan domestik.

Sayur-sayuran dan buah-buahan seperti cili, timun, terung, kacang panjang, halia, cendawan, bawang, kubis, bayam, kangkung, pisang, betik, jambu batu, mangga, avokado dan kelapa masih tidak mencukupi serta memerlukan tindakan segera untuk mencapai keperluan mahupun bagi mengurangkan import. Ia juga bagi menjamin sekuriti makanan negara dan menstabilkan harga bekalan.

Peranan Felda dalam membantu menjamin bekalan makanan negara wajar dikaji dengan segera bagi merangka langkah yang lebih strategik dan berkesan.

Struktur organisasi Felda yang ada sekarang mampu membantu negara dalam keterjaminan makanan dan menstabilkan harga keperluan makanan segar. Pada 2021, nilai import bahan makanan (termasuk sayur dan buah) mencecah RM64 bilion, berbanding eksport RM39 bilion.

Program galakan peneroka menghasilkan makanan segar menerusi teknologi moden dan persekitaran terkawal yang menjimatkan ruang dan tenaga kerja wajar dirancang secara sistematik demi menjamin keberkesanannya.

Pendekatan dan inisiatif pertanian moden melalui peneroka Felda mungkin berbeza dari segi ekosistem berbanding Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA).

Seramai lebih 112,000 peneroka di seluruh 317 tanah rancangan Felda di 11 negeri boleh digerakkan untuk program khas ini. Program ini bukan sahaja untuk peningkatan bekalan makanan segar tetapi juga dapat meningkatkan pendapatan peneroka melalui aktiviti pertanian moden dan keusahawanan.

 

PROGRAM KOMUNIKASI, PENDIDIKAN DAN KESEDARAN AWAM

Cadangan membangunkan program keterjaminan makanan di Felda boleh dirangka secara menyeluruh dengan mengambil kira kekuatan komuniti peneroka, sumber tanah dan jaringan institusi sedia ada. Antara program pertanian yang boleh dilaksanakan ialah integrasi penternakan dan akuakultur seperti penternakan ayam kampung, kambing, akuakultur ikan air tawar dan udang tempatan.

Program latihan dan bimbingan teknikal mesti dilakukan bersama Jabatan Pertanian, Jabatan Perikanan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) dan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk melahirkan petani moden dan usahawan tani. Cadangan ini juga perlu disertakan dengan dana permulaan dan skim geran yang sesuai bagi memulakan projek keterjaminan makanan secara kecil-kecilan. Kajian tentang akuakultur ikan dan udang tempatan dari semua aspek biologi, makanan, penyakit, teknikal, ekonomi mahupun kelestarian mesti diaktifkan segera.

Bagi merancakkan penglibatan komuniti Felda, program Komunikasi, Pendidikan dan Kesedaran Awam (CEPA) perlu diperkasa secara lebih agresif, dengan penekanan terhadap aspek keselamatan dan keterjaminan makanan sihat serta amalan pertanian lestari demi kesejahteraan jangka panjang.

Semua lebih 300 sekolah di tanah rancangan Felda mesti menjalankan program CEPA keselamatan dan keterjaminan makanan dengan model-model pertanian moden seperti menggunakan sistem fertigasi dengan aplikasi kecerdasan buatan (AI), ekonomi kitaran dan model keusawanan.

Aktiviti kokurikulum melibatkan guru terlatih dan pihak ibu-bapa boleh dijalankan di sekolah. Pendekatan aktiviti CEPA menerapkan tajuk-tajuk dalam pembelajaran sains dalam kelas, mengaitkan dengan aplikasi Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), makanan sihat, dan keusahawanan. Program ini akan memberikan nilai-nilai murni, inovasi dan kreativiti kepada pelajar dan meyakinkan mereka dalam industri kecil pertanian.

Teknologi fertigasi dalam tanaman sayur misalnya menggunakan kaedah pertanian moden yang menggabungkan pembajaan dan pengairan secara serentak dan automatik. Teknologi ini jika diterapkan di sekolah dan masyarakat Felda sebagai model pertanian moden akan membina trend baharu pertanian moden untuk buah-buahan dan sayur-sayuran.

Model CEPA di sekolah memberikan asas ilmu, pemikiran dan teknikal seperti yang digalakkan dalam program TVET negara. Dengan tanah yang luas, jaringan komuniti yang kukuh dan sokongan kerajaan, Felda berpotensi menjadi tulang belakang agromakanan negara, bukan sahaja dari segi pengeluaran tetapi juga kestabilan harga dan pengurangan import.

Pelajar yang dilatih melalui STEM dan Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) boleh membangunkan sistem fertigasi pintar yang menggunakan sistem penderia, AI, data analitik, reka bentuk sistem fertigasi and sistem internet kebendaan (IoT) serta memahami keperluan tumbuhan, untuk menyiram tanaman secara automatik berdasarkan cuaca, faktor sekeliling dan keperluan sebenar.

Galakkan Felda dalam penanaman sayur dan buah-buahan tempatan membantu negara mengurangkan kebergantungan negara kepada import yang berjumlah RM60bilion setahun, meningkatkan keupayaan pengeluaran makanan di peringkat komuniti Felda, melahirkan usahawan tani moden dan memupuk kesedaran tentang permakanan sihat serta pertanian lestari.

Program galakan tanaman sayur Felda juga menyokong Dasar Agromakanan Negara 2021-2030 (DAN 2.0), yang menekankan kepada sekuriti makanan dan nutrisi, pemodenan dan pertanian pintar, dan kelestarian alam sekitar. – UTUSAN

DR. Ahmad Ismail ialah Presiden Kongres Persatuan Akademik Malaysia (MAAC)..

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×