PETALING JAYA: Selangor FC masih dihantui masalah ‘lemau’ di separuh masa kedua atau penghujung perlawanan meskipun berjaya melakar kemenangan 5-2 ke atas Terengganu FC (TFC) dalam aksi keempat Liga Super, semalam.
Pada aksi di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) itu, skuad kendalian Katsuhito Kinoshi bermula garang apabila mendahului 4-0 pada babak pertama namun mereka dibolosi dua gol dalam separuh masa kedua.
Situasi sama berlaku dalam tiga aksi mereka sebelum ini termasuk ketika tewas 1-2 pada saat akhir di tangan Negeri Sembilan, terikat 1-1 dengan Buriram United dan menang 3-1 berdepan Malaysian University yang mana semua gol dilepaskan, berlaku pada babak kedua atau penghujung perlawanan.
Kinoshi mengakui pasukannya masih mencari solusi dan punca masalah itu berlaku dan ia perlu diperbaiki segera bagi memastikan Gergasi Merah dapat meraih keputusan lebih baik dalam perlawanan seterusnya.
“Namun, dalam dunia bola sepak akan sentiasa ada banyak masalah yang hadir, bukan hanya kes ini. Kami akan terus bergerak ke depan untuk mencari masalah dan memperbaikinya,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan, kelmarin.
Kemenangan itu membolehkan Selangor mendaki tiga anak tangga untuk berada di kedudukan keempat liga dengan mengumpul enam mata hasil daripada dua kemenangan dan dua kekalahan.
Sementara itu, pengendali TFC, Badrul Afzan Razali mengakui hilang fokus dan melakukan kesilapan mudah menyebabkan mereka tewas kepada Selangor.
Jelasnya, aspek komunikasi antara pemain di bahagian pertahanan turut menyumbang kepada kekalahan itu terutama ketika mereka bolos empat gol di babak pertama.
“Kami bermain dengan baik pada 10 minit pertama. Kami menjaringkan gol dan tidak dikira, selepas itu pemain terlalu banyak membuat kesilapan mudah terutama (masalah) komunikasi di bahagian pertahanan.
“Ia mengakibatkan kami dibolosi empat gol iaitu gol yang boleh dikatakan gol mudah. Jadi, kami perlu melihat semula apa kesilapan kami dan saya harap benda ini tidak akan berlaku pada perlawanan akan datang,” ujarnya. – UTUSAN










