PENAHANAN pegawai penguatkuasa baru-baru ini di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) menarik semula perhatian terhadap amalan sulit yang dikenali sebagai ‘counter setting’.
Taktik ini membolehkan individu tertentu melepasi prosedur Imigresen rasmi tanpa pemeriksaan menimbulkan kebimbangan besar bukan sahaja terhadap keselamatan sempadan dan isu rasuah dalam kalangan pegawai, tetapi juga terhadap kelemahan struktur dalam pengurusan migrasi, permintaan buruh serta akauntabiliti institusi di Malaysia.
Pada November tahun lalu, hampir 50 pegawai Imigresen dipindahkan selepas siasatan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap sindiket serupa yang beroperasi di KLIA. Seorang pegawai kanan Imigresen, yang dipercayai dalang utama rangkaian tersebut, dijangka akan didakwa atas penglibatannya dalam sindiket pemerdagangan orang. Beliau didakwa memudahkan kemasukan warga asing tanpa pemeriksaan Imigresen yang sah.
Aktiviti ‘counter-setting’ yang melibatkan rasuah di sempadan dikenal pasti sebagai pemangkin utama kegiatan pemerdagangan orang dan penyeludupan migran. Malah, Pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Dadah dan Jenayah (UNODC) mengenal pasti rasuah dan penyalahgunaan kuasa sebagai ‘faktor tarikan’ sistemik yang memudahkan jenayah rentas sempadan.
Dalam konteks ini, ‘counter setting’ bukan sekadar kecuaian tetapi melibatkan penglibatan institusi yang membolehkan atau memudahkan kemasukan warga asing secara tidak teratur atau tidak sah dan berselindung di sebalik kuasa pentadbiran rasmi.
Namun begitu, tindakan menghukum pegawai yang terlibat tidak sepatutnya secara automatik membawa kepada andaian semua individu yang melalui laluan tersebut adalah mangsa pemerdagangan atau secara sengaja bersubahat dalam aktiviti penyeludupan. Ia perlu melibatkan penyiasatan yang lebih mendalam.
PERBEZAAN RANGKA UNDANG-UNDANG
Wacana awam sering kali keliru dengan istilah ‘migrasi’, ‘pemerdagangan’ dan ‘penyeludupan’. Kekeliruan ini diperburukkan oleh sesetengah naratif pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan akademik yang secara umum menyamakan pergerakan tidak sah dengan status sebagai penjenayah atau mangsa, sekali gus menyukarkan pembezaan undang-undang secara teliti.
Di bawah Protokol Pemerdagangan Orang Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) (Palermo Protokol) dan Akta Anti-Pemerdagangan Orang dan Anti-Penyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM), pemerdagangan orang terdiri daripada tiga elemen utama iaitu perbuatan (pengambilan, perekrutan, pengangkutan); cara (paksaan, penipuan, penyalahgunaan kuasa) dan tujuan (eksploitasi seperti buruh paksa atau seksual).
Namun begitu, ATIPSOM tidak secara jelas memperuntukkan kesalahan ke atas cubaan melakukan pemerdagangan dan juga tidak secara automatik mengiktiraf seseorang sebagai mangsa pemerdagangan hanya kerana mereka memasuki negara secara tidak sah.
Seperti dibuktikan pelbagai kajian, kebanyakan mangsa pemerdagangan masuk ke Malaysia secara sah dan dalam kes warganegara Asia Tenggara, menikmati kemasukan tanpa visa selama 30 hari. Oleh itu, sukar untuk membuktikan elemen ‘eksploitasi’ melainkan ia dibuktikan dengan jelas di pintu masuk sempadan.
Kemasukan semata-mata tanpa bukti eksploitasi tidak boleh dianggap sebagai aktiviti pemerdagangan orang. Sebaliknya, penyeludupan migran melibatkan persetujuan antara migran dan penyeludup bagi kemasukan secara tidak sah ke sesebuah negara dengan imbalan kewangan.
Apabila sempadan berjaya dilintasi, urus niaga penyeludupan dianggap selesai. Dalam situasi ini, migran biasanya dianggap sebagai pesalah yang melanggar undang-undang imigresen. Status seseorang hanya menjadi ‘tidak sah’ jika pegawai imigresen gagal mengecop atau memproses kemasukan mereka.
Kecuaian pentadbiran tidak dengan sendirinya menunjukkan perlakuan jenayah atau bukti pemerdagangan. Ini membawa persoalan penting, bagaimana pihak berkuasa boleh menentukan sama ada individu yang memasuki negara melalui ‘counter setting’ merupakan mangsa pemerdagangan, penyeludupan atau sekadar migran tidak sah? Tanpa bukti unsur paksaan atau eksploitasi, individu ini hanya boleh dianggap sebagai suspek atau pendatang tidak sah.
Sukar bagi mana-mana individu menaiki penerbangan antarabangsa ke Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah. Terdapat pelbagai lapisan pemeriksaan termasuk pemeriksaan Imigresen di negara berlepas, pengesahan dokumen oleh syarikat penerbangan dan pemeriksaan akhir oleh kru sebelum menaiki pesawat. Namun, ini mungkin tidak berlaku bagi kemasukan melalui jalan darat.
Sebagai contoh, di kawasan seperti Rantau Panjang, Sungai Golok dan Wang Kelian jauh lebih mudah ditembusi. Di Wang Kelian, terdapat kawasan ‘tanah tidak bertuan’ sepanjang satu kilometer (km) yang memisahkan pos Imigresen Thailand dan Malaysia, menjadikan pergerakan tanpa pengawasan sesuatu yang mungkin. Penahanan warga Myanmar tanpa dokumen serta pergerakan bebas rakyat Malaysia ke Thailand mendedahkan kelemahan sistemik dalam pengawasan dan pengurusan sempadan.
EJEN BURUH
Dasar buruh Malaysia yang berubah-ubah seperti pembekuan sementara (dan kemudian pembatalan/kebenaran) kemasukan pekerja Bangladesh mewujudkan pasaran yang didorong permintaan. Bagi memenuhi kontrak pengambilan atau mengelakkan bayaran balik, ejen yang tidak beretika mungkin bersekongkol dengan pegawai penguatkuasa untuk menyeludup pekerja ke negara ini.
Kebimbangan utama ialah sistem pelesenan. Di Malaysia, ejen pekerja tidak diwajibkan mempunyai lesen individu sebaliknya lesen mereka terikat kepada agensi. Ini mewujudkan jurang kawal selia yang besar. Ada yang beroperasi tanpa pendaftaran, manakala yang lain menyalahgunakan platform sah sambil menjalankan urusan gelap secara selari. Lebih membimbangkan, ramai ejen ini merupakan warga asing yang menetap di Malaysia, menjadikan mereka mudah mendekati komuniti migran dan memperoleh kepercayaan.
Sebaik tiba, migran ini ditempatkan dalam penginapan sesak dan daif, bekerja dalam waktu panjang dengan gaji rendah serta hampir tiada perlindungan undang-undang. Walaupun keadaan ini dianggap sebagai eksploitasi, namun ia tidak semestinya memenuhi takrif undang-undang pemerdagangan orang melainkan semua elemen dapat dibuktikan.
Maka itu, Malaysia mesti melangkaui pendekatan penguatkuasaan bersifat reaktif dan menangani faktor sistemik yang membolehkan ‘counter setting’ dan penyalahgunaan migran berlaku. Pendekatan reformasi yang berasaskan hak asasi harus merangkumi:
• Prosedur saringan majikan yang lebih ketat dan hukuman setimpal terhadap pelanggaran hak pekerja.
• Tindakan tegas terhadap ejen tidak berlesen dan tidak beretika termasuk mereka yang beroperasi di sebalik entiti sah.
• Penambahbaikan pengawasan institusi di semua agensi penguatkuasa sempadan bagi mencegah rasuah.
• Pendekatan berpusatkan mangsa dengan menganggap migran tidak sah sebagai mangsa berpotensi, melainkan terbukti bersubahat.
• Ratifikasi Konvensyen PBB mengenai Perlindungan Hak Semua Pekerja Migran dan Anggota Keluarga Mereka.
Boleh dikatakan skandal ‘counter setting’ di KLIA bukan sekadar berkaitan dengan pegawai yang menyalahgunakan kuasa. Ia mencerminkan keretakan sistemik dalam tadbir urus migrasi, proses pengambilan buruh dan mekanisme akauntabiliti institusi.
Walaupun pendakwaan terhadap pelaku perlu, namun reformasi struktur mesti menyusul bagi melindungi hak migran dan memelihara integriti sempadan negara.-UTUSAN
DR. Haezreena Begum Abdul Hamid ialah Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-undang, Universiti Malaya.










