ADA tangisan yang tidak menitis, namun menggoncang arasy Ilahi. Ada luka yang tidak berdarah, namun meretakkan jiwa hingga tiada daya untuk berdiri. Dan itulah hakikatnya fenomena buli jenayah jiwa yang terus hidup dalam lorong-lorong senyap sekolah, asrama dan media sosial, disaksikan oleh mata celik tetapi hati yang buta.
Islam mengangkat martabat insan lebih tinggi dari langit dan bumi. Maruah seorang mukmin, menurut sabda Rasulullah SAW, lebih mulia daripada Kaabah. Maka membuli, mengaibkan dan menyakiti jiwa pelajar yang lemah bukan sekadar perbuatan keji tetapi pengkhianatan terhadap kemuliaan insan yang diangkat oleh Allah SWT.
“Sesungguhnya orang-orang yang menyakiti orang-orang mukmin lelaki dan perempuan tanpa sebab yang benar, maka mereka telah memikul dosa penipuan dan dosa yang nyata.” (Surah al-Ahzab, 33:58)
BULI ITU KEZALIMAN, BUKAN KENAKALAN
Tuntasnya, dalam masyarakat kita, buli sering dianggap proses pembentukan jiwa, satu tradisi senior-junior, atau lebih kejam, sebagai ‘pengajaran’. Sedangkan dalam Islam, kezaliman walau seberat biji sawi, akan dibalas setimpal.
Seorang penulis, pemikir dan akademik Islam terkenal Prof. Dr. Muhammad Qutb menyatakan, kezaliman bukan sekadar menyakiti tubuh tetapi merobohkan struktur akhlak dan nilai kemanusiaan. Dan buli adalah bentuk kekerasan yang paling merosakkan jiwa kerana ia menjadikan manusia memusuhi dirinya sendiri.
Sabda Rasulullah SAW: “Seorang Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Ia tidak menzaliminya dan tidak menyerahkannya kepada penzalim.”
(Riwayat Bukhari & Muslim)
Tetapi hari ini, berapa ramai yang melihat dan membiarkan?
ANAK ITU TIDAK MATI SEKALI, TETAPI BERKALI-KALI
Kajian dari Universiti Malaya dan Institut Kesihatan Mental (2023) menunjukkan lebih 1 daripada 5 pelajar di Malaysia pernah menjadi mangsa buli. Hampir 30 peratus mengalami kemurungan, kecederaan kendiri dan pemikiran membunuh diri.
Mereka tidak mati kerana tumbukan. Mereka mati kerana ditinggalkan. Dipendam malu, dibungkam ketakutan dan dicaci tanpa suara.
Ulama, pemikir, dan penulis Islam yang terkenal dari abad ke-14, Ibnu Qayyim al-Jauziyyah menulis kezaliman kepada insan yang lemah adalah pintu kepada kemurkaan Allah yang paling pantas dibuka. Dan siapa yang lebih lemah daripada pelajar yang diikat tangannya oleh sistem dan ditutup mulutnya oleh budaya ‘jangan lawan’?
ZARA QAIRINA, ZULFARHAN DAN TANGISAN YANG MENEMBUSI LANGIT
Kes arwah Zulfarhan Osman, diseksa sehingga maut dan Zara Qairina Mahathir, yang kini disiasat, bukan kes terpencil. Ia adalah bayang-bayang luka yang semakin gelap dalam sistem pendidikan kita.
Ibu kepada Zara Qairina merayu agar keadilan ditegakkan. Dan Rasulullah SAW telah memperingatkan: “Takutlah kepada doa orang yang dizalimi. Sesungguhnya tiada hijab antara doanya dan Allah.” (Riwayat Bukhari)
Tangisan ibu itu bukan hanya air mata. Ia adalah panah yang akan mengenai hati pemimpin yang lalai.
DIAM ITU MEMBUNUH
Berapa ramai guru, warden, atau pentadbir yang memilih untuk membisu, atas nama prosedur atau reputasi sekolah?
Sedangkan Imam al-Ghazali menegaskan: “Mereka yang melihat kemungkaran lalu tidak menegurnya, maka mereka sebenarnya telah menyuburkan kemungkaran itu.”
Diam kita bukan emas. Diam kita adalah jerat yang mematikan akhlak dan maruah. Ia menjadikan kita sebahagian dari kejahatan yang kita enggan lawan.
BULI: MENJALAR HINGGA MEMBUNUH HARAPAN
Laporan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia (2022) mendapati buli menjadi antara punca utama pelajar hilang minat belajar, ponteng sekolah, terlibat dalam dadah dan cubaan membunuh diri. Ia adalah api dalam sekam yang tidak kelihatan tetapi membakar masa hadapan.
Firman Allah SWT: “Dan sesiapa yang menyelamatkan satu nyawa, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan seluruh manusia.” (Surah al-Ma’idah, 5:32)
Hakikatnya, menyelamatkan seorang pelajar daripada buli bermaksud menyelamatkan diri, iman, potensi dan masa hadapannya. Malah mungkin menyelamatkan masyarakat daripada satu lagi pembuli yang dilahirkan daripada trauma yang tidak diubati.
MENYELAMATKAN GENERASI
Allah berfirman: “Dan sesiapa yang menyelamatkan satu nyawa, maka seolah-olah dia telah menyelamatkan seluruh manusia.” (Surah al-Ma’idah, 5:32)
Maka menyelamatkan seorang pelajar dari buli bukan sekadar menyelamatkan nyawa. Ia menyelamatkan masa hadapan, maruah, iman dan harapan seorang manusia yang mungkin kelak akan menjadi penyelamat kepada manusia lain.
Kita tidak perlukan lebih banyak pekeliling. Kita perlukan keberanian untuk menghidupkan pendidikan empati, pengurusan disiplin yang adil dan membina budaya belas kasihan, bukan budaya dominasi.
MENANGIS DALAM TIDUR
“Setiap kamu adalah pemimpin. Dan setiap kamu bertanggungjawab atas apa yang kamu pimpin.” (Riwayat Bukhari)
Wahai guru, wahai pemimpin, wahai ibu bapa dengarlah jeritan yang tidak bersuara itu. Jangan tunggu darah mengalir untuk kita percaya ada luka. Kerana jika hari ini kita terus menutup mata, esok mungkin anak kita pula yang dikapankan dalam senyap.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Zaizul Ab. Rahman ialah Pensyarah Kanan Pusat Kajian Usuluddin Dan Falsafah, Fakulti Pengajian Islam, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).










