BAHASA Melayu lahir sebagai suara jiwa, bergetar dalam pantun, berdenyut dalam doa dan berakar dalam sejarah. Ia adalah roh bangsa yang tidak pernah padam, pusaka agung yang diwariskan lebih 1,500 tahun.
Dari Prasasti Talang Tuwo yang merakam doa seorang raja buat rakyatnya, Batu Bersurat Terengganu yang memahat hukum dan syariat, hinggalah karya agung Sulalatus Salatin dan Hikayat Hang Tuah yang menenun falsafah kepemimpinan, bahasa ini menjadi darah yang mengalir dalam sejarah kita.
Bayangkan pula zaman Melaka. Pedagang Arab, India, Cina dan Eropah berlabuh di pelabuhan kita, berunding dalam bahasa Melayu. Ia adalah bahasa perdagangan, bahasa diplomasi, bahasa yang menyatukan bangsa-bangsa yang berbeza. Bahasa ini pernah menjadi lidah antarabangsa yang membina jaringan ekonomi dan budaya.
Namun, hari ini kita melihat ironi yang mengguris hati. Dunia lebih mengenali bahasa Indonesia yang hanya diformalkan sekitar 80 tahun lalu, sedangkan bahasa Melayu, bahasa yang sudah ribuan tahun mengakar di rantau ini, semakin terpinggir di tanah air sendiri. Lebih perit lagi, pelajar Jepun di universiti tempatan mampu menguasainya dalam beberapa bulan, malah ada pekerja migran lebih fasih daripada anak watan. Bagaimana mungkin orang luar mampu memuliakan bahasa kita, sedangkan rakyatnya pula merendahkan martabatnya?
Hakikatnya, bukan bahasa ini yang lemah. Bahasa Melayu tetap indah dan gagah. Ia lembut dalam pantun, syair dan gurindam, namun tegas dalam undang-undang dan warkah rasmi. Ia mendidik jiwa dengan santun, membentuk minda kritis dalam sains, falsafah, teknologi dan seni tetapi kerana kita gagal mengangkatnya, bahasa ini semakin asing di bumi sendiri.
Di negara lain, bahasa nasional adalah mercu jati diri. Jepun tidak tunduk meninggalkan bahasanya. Korea, Perancis, Jerman, semuanya berdiri dengan bahasa sendiri. Mengapa kita masih teragak-agak, seolah-olah bahasa kita tidak cukup bernilai untuk pentas dunia? Bukankah ini satu bentuk penjajahan minda yang halus?
Dalam renungan ini, lagu Di Suatu Pagi yang dipopularkan Allahyarham Sudirman menggema sebagai nadi perasaan.
Seorang ibu tua dalam kamar gelap, wajahnya sayu, menadah tangan ke langit memohon agar anak yang baru disusui semalam diberkati, walau kini mahu mengangkat senjata demi negara. Seorang isteri muda di hujung pintu pagar, jari berinai masih merah, merelakan suaminya pergi berjuang, walau hatinya retak.
Inilah pengorbanan yang tidak tercatat dalam buku sejarah tetapi hidup dalam doa dan air mata. Dan semuanya diungkapkan indah melalui Bahasa Melayu, bahasa yang menghidupkan kasih, pengorbanan, dan perjuangan.
Hari ini kita melaungkan “Merdeka” dengan penuh semangat, tetapi apakah kita masih menghayati kedalaman pengorbanan itu? Apakah kita masih sedar kemerdekaan lahir daripada doa ibu tua di kamar gelap dan tangisan isteri muda di pintu pagar? Atau kita sudah terlalu jauh hingga merdeka hanya tinggal cuti umum, bunga api dan slogan kosong?
Bahasa Melayu adalah bahasa doa itu. Bahasa pengorbanan itu. Bahasa yang menjadikan mimpi kemerdekaan sebuah kenyataan. Tanpanya, merdeka menjadi kosong. Tanpanya, bangsa menjadi kabur.
Maka, harus bertanya dengan jujur, apakah kita benar-benar memerdekakan bahasa kebangsaan atau sekadar membiarkannya hidup dalam buku teks dan pidato rasmi, tetapi mati dalam kehidupan seharian?
Kita mesti kembali ke pangkuan bahasa. Biarlah bahasa Melayu menjadi suara utama di rumah, sekolah, pejabat dan pentas antarabangsa. Biarlah ia mengalun dalam karya sains dan teknologi, falsafah dan seni moden. Biarlah ia dijulang dalam sidang akademik dunia. Jangan malu membawa bahasa kita ini ke gelanggang antarabangsa, kerana bahasa ini pernah berdiri teguh di sana dan ia boleh berdiri lagi.
Namun seruan ini tidak boleh berhenti sekadar slogan. Ia menuntut keberanian, keazaman dan tindakan yang nyata.
Kerajaan mesti tampil dengan ketegasan untuk memartabatkan bahasa Melayu melalui dasar pendidikan, media, penerbitan, teknologi dan diplomasi tanpa kompromi.
Rakyat pula mesti menuturnya dengan yakin, bukan kerana terpaksa tetapi percaya bahawa inilah bahasa jati diri dan maruah bangsa. Dan institusi swasta serta antarabangsa perlu berani menyerapnya dalam urusan rasmi, agar bahasa Melayu tidak hanya gah di helaian dokumen atau perarakan merdeka, tetapi benar-benar hidup, berdenyut, dan berfungsi dalam realiti seharian.
PERTAHANKAN BAHASA MELAYU
Bahasa Melayu adalah bahasa kemerdekaan. Ia bahasa doa ibu di kamar gelap, bahasa rintihan isteri di pintu pagar, bahasa mimpi suci yang melahirkan merdeka. Dengan bahasa inilah kita membina negara. Dengan bahasa inilah kita mengangkat maruah bangsa. Dengan bahasa inilah kita berdiri setara dengan dunia.
“Di Suatu Pagi, ku terbangun dari mimpi, air mata pun menitis, teringat mimpi yang suci…”
Bait ini seharusnya mengetuk hati kita. Bayangkan jika suatu pagi di masa hadapan, kita terbangun dari mimpi lalu mendapati bahasa Melayu bukan lagi bahasa jiwa bangsa ini. Bayangkan jika doa seorang ibu atau pengorbanan seorang isteri tidak lagi dapat diungkap dalam bahasa kita sendiri, melainkan hanya bergema dalam lidah asing yang tiada akar di tanah ini. Dan ketika itu kita menyedari ini bukan lagi mimpi tetapi kenyataan pahit. Apakah ertinya kemerdekaan jika bahasa sendiri terlucut daripada lidah anak bangsa?
Sebelum pagi itu tiba, marilah kita teguhkan ikrar bahawa Bahasa Melayu akan terus dipertahankan sebagai bahasa doa, bahasa kasih dan bahasa merdeka yang menjadi nadi bangsa selama-lamanya.-UTUSAN
PROFESOR Mohd. Said Bani CM ialah Presiden Persatuan Perhubungan Awam dan Komunikasi (PRCA) Malaysia.
NINOT Aziz ialah pemerhati sosiobudaya dan penulis bebas.










