Azeem, Puripol tidak berentap di Terbuka Malaysia

Azeem, Puripol tidak berentap di Terbuka Malaysia

Azeem Fahmi
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ketiadaan pelari sensasi negara, Azeem Fahmi dan bintang pecut Thailand, Puripol Boonson menjadikan acara 100 meter (m) Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang membuka tirai hari ini terbuka luas buat pelari muda untuk menyerlah.

Ketua jurulatih olahraga kebangsaan, Manshahar Abdul Jalil berkata, kejohanan yang berlangsung di Stadium Tuanku Syed Putra, Kangar itu akan menjadi medan penting buat atlet tempatan membuktikan kemampuan, khususnya bagi mengintai slot ke Sukan SEA.

Puripol Boonson

“Dengan Puripol tidak hadir dan Azeem berlatih di Amerika Syarikat, peluang terbuka kepada pelari muda. Nama-nama seperti Danish Iftikhar Muhammad Roslee, Muhammad Khairul Hafiz Jantan, Jonathan Nyepa dan pelari dari Sabah serta Johor akan cuba isi kekosongan itu.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Jadi saya lihat persaingan kali ini lebih sengit kerana tiada seorang pun yang benar-benar dominan. Semua bergantung kepada prestasi pada hari pertandingan,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Bagi kategori wanita, Manshahar melihat persaingan seimbang bakal ditunjukkan antara tiga pelari utama negara selepas Singapura tidak menurunkan jaguh pecutnya, Veronica Shanti Pereira.

“Kalau ikut ranking, Zaidatul Husniah Zulkifli masih terbaik, diikuti Nur Izzatul Musfirah Ahmad Kamal Azira, Azreen Nabila Alias dan beberapa yang lain. Podium masih terbuka luas,” jelasnya.

Mengulas mengenai sasaran, Manshahar tidak meletakkan harapan khusus terhadap rekod kebangsaan, sebaliknya menekankan aspek pemilihan terbaik ke temasya serantau itu.

“Kalau ada rekod pecah, itu bonus. Paling penting kita mahu cari atlet yang konsisten untuk disenaraikan ke Sukan SEA nanti,” katanya.

Mengenai peluang Azeem, Manshahar menjelaskan pelari berusia 20 tahun itu masih berada dalam perbincangan bersama jurulatih di Amerika Syarikat.

“SB (catatan terbaik musim ini) Azeem adalah 10.20s, jadi kita tidak bimbang dengan prestasinya. Kalau dia tidak sempat balik untuk Terbuka Malaysia kerana komitmen latihan, itu bukan masalah. Dia tetap dalam radar ke Sukan SEA.

“Tetapi kita perlu ada pelan B dan C sekiranya situasi tidak mengizinkan,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

Terkini