PETALING JAYA: Peluang jaguh pecut 100 meter (m) negara, Muhammad Azeem Fahmi untuk beraksi dalam Kejohanan Olahraga Dunia di Jepun pada September ini masih terbentang luas.
Selepas gagal mencatatkan masa 10.00 saat (s) di Sukan Universiti Dunia (WUG) Rhine-Ruhr bulan lalu iaitu syarat kelayakan merit ke kejohanan dunia, Azeem berpeluang melakukannya di Kejohanan Olahraga Terbuka India di Stadium Kalinga, Bhubaneswar bermula Ahad ini.
Kejohanan Terbuka India merupakan satu daripada kejohanan berstatus gangsa dalam siri Jelajah Benua anjuran Olahraga Dunia.
“Kalau nak senang kena layak secara merit. Dapatkan larian 10.00s, automatik layak dan dia tak perlu lagi menunggu sistem ranking.
“Peluang untuk Azeem layak ada banyak, layak secara merit dengan catatan masa 10.00s, kemudian kedudukan ranking dan ketiga melalui wildcard,” katanya.
Azeem yang kini berada di kedudukan ke-145 dunia naik 13 anak tangga berbanding 158 pada bulan lalu perlu berada dalam kelompok 48 terbaik pada hujung bulan ini.
Perubahan ranking itu berlaku selepas Azeem menduduki tempat keempat dengan catatan masa 10.35s di WUG namun pencapaian itu tidak mencerminkan prestasi terbaiknya selepas masa terbaik musim ini 10.20s yang dilakukan di Amerika Syarikat, Mei lalu.
Sebagai rekod, Azeem adalah pemegang rekod kebangsaan 100m dengan catatan 10.09s yang dilakukannya pada Kejohanan Olahraga Bawah 20 Tahun Dunia di Colombia pada 2022. – UTUSAN










