31 Ogos simbol tamatnya campur tangan british, bukan penjajahan

31 Ogos simbol tamatnya campur tangan british, bukan penjajahan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

ESOK, Malaysia bakal menyambut Hari Kebangsaan,  hari penuh makna yang memperingati detik bersejarah pembentukan negara ini 68 tahun lalu. Sepanjang tempoh itu, kita menempuh pelbagai suka dan duka bersama, mengharungi cabaran demi cabaran, hingga akhirnya berjaya membina sebuah negara yang aman, makmur dan disegani di persada dunia.

Umumnya, sebahagian kita menganggap 31 Ogos 1957 sebagai tarikh Tanah Melayu merdeka daripada jajahan takluk British. Justeru, tarikh 31 Ogos dirujuk sebagai, ‘Hari Merdeka’ atau ‘Hari Kemerdekaan’ sebelum istilah, ‘Hari Kebangsaan’ diguna pakai.

Namun, benarkah begitu? Adakah tanggapan British menjajah negeri-negeri yang diperintah oleh raja-raja Melayu satu fakta sahih?

Dua pakar sejarah ternama negara, Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Khoo Kay Kim dan Prof. Datuk Dr. Ramlah Adam menegaskan tanggapan tersebut tidak benar. Malahan, mereka berkali-kali memberi penjelasan terperinci berkenaan hal ini.

Dalam salah satu ucapannya, Kay Kim berkata salah faham ini timbul disebabkan orang tidak faham sejarah Malaysia dan membaca buku yang ditulis oleh orang yang juga tidak faham sejarah Malaysia.

Menurut beliau lagi, pihak British tidak pernah menjajah Tanah Melayu. British hanya mengadakan perjanjian dengan raja-raja Melayu untuk menolong menjalankan pentadbiran. Kedaulatan sentiasa kekal pada pihak raja-raja Melayu dan raja-raja sentiasa berdaulat pada setiap masa.

Beliau menekankan lagi pihak British tidak memerintah, malah hanya menjadi pekerja asing di negara ini, di mana mereka dibayar bukan dengan hasil Britain, tetapi hasil negara ini.

Hakikatnya, hanya negeri-negeri selat (Melaka, Pulau Pinang dan Singapura) dijajah oleh British dan menjadi sebahagian daripada Tanah Jajahan Mahkota British.

Sedangkan kesembilan negeri-negeri beraja di Tanah Melayu tidak dijajah dan berada di bawah pemerintahan raja-raja Melayu yang berdaulat.

Hal ini dibuktikan dengan jelas oleh keputusan dua kes berasingan yang dibicarakan di mahkamah Britain dan ditegaskan lagi oleh catatan hansard di Parlimen Britain.

Dalam kes Mighell lwn. Sultan Johor (1894), mahkamah Britain memutuskan mereka tidak mempunyai bidang kuasa untuk mengenakan tindakan terhadap seorang raja berdaulat daripada negara asing yang merdeka.

Jelas sekali mahkamah Britain memperakui kedudukan Johor sebagai negeri berdaulat dan merdeka, di mana Almarhum Sultan Abu Bakar sebagai pemerintah berdaulat tidak boleh dibicarakan di mahkamah Britain.

Begitu juga dengan kes Duff Development Co. Ltd. lwn. Kerajaan Kelantan (1924), di mana mahkamah Britain sekali lagi memutuskan kes tersebut tidak dapat dibicarakan di mahkamah kerana Kelantan merupakan negeri berdaulat yang tidak berada di bawah jajahan mahupun naungan Britain.

Fakta ini turut disahkan di House of Commons Britain melalui kenyataan oleh Ketua Setiausaha Negeri bagi Tanah-tanah Jajahan United Kingdom, Alan Lennox Boyd pada Jumaat, 12 Julai 1957 seperti yang tercatat di dalam hansard Parlimen Britain.

“Kesembilan-sembilan negeri ini agak terasing daripada negeri-negeri selat, dan tidak pernah pada bila-bila masa menjadi wilayah jajahan British. Saya berharap semua yang tidak menyedari hakikat ini akan merenung sedikit tentang sejarah lapan puluh tahun yang lalu,” katanya.

Bukti paling penting ialah kandungan dokumen Pemasyhuran Kemerdekaan 1957. Dokumen ini menyentuh tentang Perjanjian Tanah Melayu tahun 1957 yang mempersetujui bahawa, bermula 31 Ogos 1957, Negeri-negeri Melayu serta Melaka dan Pulau Pinang yang dahulunya Negeri Selat menjadi sebuah Persekutuan baharu bernama Persekutuan Tanah Melayu.

Dalam perenggan seterusnya, dokumen itu mencatatkan dalam perjanjian tersebut kedua-dua belah pihak juga bersetuju agar Melaka dan Pulau Pinang hendaklah daripada tarikh yang tersebut itu tamat daripada menjadi sebahagian daripada jajahan takluk Baginda Queen dan Duli Yang Maha Mulia Baginda Queen tidak lagi berhak menjalankan apa-apa jua kedaulatan Baginda di atas kedua-dua buah negeri yang tersebut itu.

 

TUNKU Abdul Rahman Putra Al-Haj melaungkan ‘Merdeka’ di Stadium Merdeka pada 31 Ogos 1957.

Maka, jelas di Tanah Melayu, hanya negeri-negeri selat yang menjadi sebahagian daripada jajahan takluk British, manakala sembilan negeri-negeri Melayu lainnya sentiasa kekal berdaulat dan merdeka.

Oleh itu, laungan “Merdeka” sebanyak tujuh kali oleh Tunku Abdul Rahman dahulu, selain daripada menandakan kemerdekaan Melaka dan Pulau Pinang, sebenarnya menyatakan merdekanya negeri-negeri Melayu daripada campur tangan British, bukan penjajahan British.

Walaupun British tidak menjajah negeri-negeri Melayu beraja, namun mereka tetap mencampuri urusan negara atas alasan membantu pentadbiran.

Maka, bermula 31 Ogos 1957, terbatallah segala perjanjian sebelum ini serta tamatlah campur tangan British di Tanah Melayu. Atas faktor Melaka dan Pulau Pinang juga, Persekutuan Tanah Melayu menjadi sebahagian daripada negara Komanwel.

Sungguhpun begitu, Tanah Melayu hampir dijajah British melalui gagasan Malayan Union. Namun, pejuang-pejuang Melayu bangkit membantah gagasan tersebut yang merupakan tipu helah licik dan tersirat untuk mereka menjajah Tanah Melayu.

Perjuangan ini adalah bagi mempertahankan kemerdekaan serta kedaulatan bumi bertuah ini daripada gangguan British dan bukannya untuk menuntut kemerdekaan Tanah Melayu daripada mereka.

Justeru, wajarlah 31 Ogos disebut sebagai, “Hari Kebangsaan”. Maka, atas semangat kebersamaan seluruh rakyat Malaysia, amatlah kurang relevan jika 31 Ogos dirujuk sebagai “Hari Kemerdekaan,” kerana yang merdeka pada 31 Ogos 1957 hanyalah Melaka dan Pulau Pinang. Sabah merdeka pada 31 Ogos 1963, manakala Sarawak pula merdeka pada 22 Julai 1963.

Kenyataannya, Tanah Melayu juga tidak dijajah Jepun. Jepun sekadar menduduki Tanah Melayu, dan bukannya menjajah. Perbezaannya amat jelas dalam konteks pentadbiran dan pemerintahan.

Kita seharusnya merasa bangga kerana bumi ini tidak dijajah. Tidak perlulah mendakwa kita dijajah sedangkan pihak British sendiri mengakui  mereka tidak pernah menjajah tanah berdaulat ini.

Selamat menyambut Hari kebangsaan ke-68. Semoga negara kita sentiasa kekal dipelihara Allah.-UTUSAN

 

PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×