Tolak wang, pilih integriti semasa kempen pilihan raya

Tolak wang, pilih integriti semasa kempen pilihan raya

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM sistem demokrasi yang matang, pilihan raya merupakan medan pertarungan idea, dasar dan integriti calon, bukannya pertandingan siapa paling banyak memberi wang atau hadiah. Namun begitu, setiap kali negara mendekati musim pilihan raya, sama ada umum, negeri, mahupun kecil, isu pemberian wang kepada pengundi kembali menjadi polemik awam.

Isu ini sekali lagi menjadi perdebatan hangat rakyat kerana beberapa pilihan raya kecil dan negeri dijangka berlangsung dalam masa terdekat. Persoalan utamanya: adakah pemberian wang semasa kempen pilihan raya suatu jenayah atau hanya satu bentuk sedekah atau bantuan ihsan?
MCW ingin menegaskan pemberian wang itu adalah rasuah pilihan raya dan merupakan kesalahan jenayah mengikut perundangan negara.

PERUNTUKAN UNDANG-UNDANG JELAS
Rasuah pilihan raya ditakrifkan secara terang dalam Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Akta 5). Di bawah Seksyen 10 akta tersebut, mana-mana pihak, sama ada calon, ejen atau mana-mana orang yang memberikan, menjanjikan atau menawarkan wang, hadiah, pinjaman, pekerjaan atau apa-apa bentuk imbuhan kepada pengundi dengan tujuan untuk mempengaruhi undi, telah melakukan kesalahan.

Lebih membimbangkan, jika perbuatan ini dapat dibuktikan melalui petisyen pilihan raya, maka kemenangan calon terbabit boleh dibatalkan oleh Mahkamah Pilihan Raya, malah calon itu juga boleh hilang kelayakan untuk bertanding selama lima tahun.

Ini bukan teori undang-undang semata-mata. Malaysia sudah menyaksikan beberapa kes penting di mana pemberian wang kepada pengundi membawa kepada pembatalan keputusan pilihan raya.

Sebagai contoh, dalam kes Parlimen Baling 1974, seorang calon didapati memberi RM25 kepada pengundi dan mahkamah memutuskan perbuatan itu adalah satu sogokan. Kemenangan beliau dibatalkan.

 

DALIH ‘NIAT BAIK’ TIDAK BOLEH MENGHALALKAN CARA
Antara alasan yang sering digunakan pemberi wang semasa kempen ialah mereka melakukannya dengan ‘niat baik’ sama ada sebagai sedekah, bantuan kebajikan atau atas dasar kemanusiaan. Namun MCW berpandangan dalam konteks pilihan raya, niat baik tidak boleh dijadikan justifikasi untuk suatu perbuatan yang menyalahi undang-undang.

Undang-undang melihat kepada kesan dan konteks perbuatan, bukan sekadar niat di hati. Jika pemberian berlaku dalam keadaan hampir dengan tarikh pengundian kepada golongan pengundi oleh calon atau ejen mereka, maka ia menimbulkan sangkaan tujuan pemberian itu adalah untuk mempengaruhi undi.

Lebih penting, mahkamah tidak memerlukan bukti niat jahat yang eksplisit. Ia boleh dinilai melalui keadaan sekeliling, corak pemberian, kenyataan saksi dan tindakan calon itu sendiri. Maka berhujah pemberian dibuat tanpa niat jahat tidak mencukupi untuk menafikan elemen kesalahan rasuah pilihan raya.

 

BEZAKAN WANG BANTUAN KERAJAAN, WANG CALON
Ada pula hujah yang mengatakan, jika kerajaan memberi bantuan sebelum pilihan raya, adakah itu juga dikira rasuah? Dalam hal ini, MCW menekankan perlu dibezakan antara bantuan bersifat dasar kerajaan seperti Sumbangan Tunai Ramah (STR), subsidi dan peruntukan bajet dengan pemberian secara langsung oleh calon atau ejen semasa kempen.

Sekiranya bantuan yang diberi adalah sebahagian daripada polisi sedia ada, diluluskan melalui Parlimen dan diagihkan secara konsisten sepanjang tahun, maka ia bukan rasuah. Tetapi jika bantuan diumum atau diagihkan secara luar biasa semasa tempoh kempen, contohnya, pemberian tunai baharu yang tidak pernah diumum sebelum ini boleh menimbulkan keraguan terhadap niat sebenar pihak terbabit.

 

BUDAYA MEMINTA-MINTA, NORMALISASI SOGOKAN
Apa yang lebih membimbangkan ialah budaya segelintir pengundi yang ‘menuntut’ sesuatu daripada calon. Dalam masyarakat kita, frasa seperti “apa calon boleh bagi?” masih berlegar setiap kali pilihan raya menghampiri. Sikap ini bukan sahaja membuka ruang kepada rasuah pilihan raya, tetapi juga menggalakkan pemimpin yang tidak jujur untuk membeli undi demi menang.

MCW menyeru agar rakyat Malaysia mengubah mentaliti ini. Tugas calon bukan untuk memberi wang atau hadiah tetapi untuk menyampaikan visi, dasar dan komitmen kepada rakyat. Pengundi yang menerima wang dengan harapan akan mengundi pemberi mencemarkan hak demokrasi mereka sendiri.

KESAN BURUK KEPADA NEGARA

Rasuah pilihan raya bukan sekadar menyalahi undang-undang, ia juga merosakkan asas demokrasi. Bila pemimpin menang kerana membeli undi, mereka tidak lagi rasa terikat kepada rakyat. Mereka percaya kemenangan boleh dibeli, bukan diberi melalui prestasi dan amanah.

Lebih parah, mereka yang menang melalui rasuah akan cuba ‘memulangkan modal’ setelah menang, dengan menyalahguna kuasa atau merompak harta rakyat. Maka, rasuah pilihan raya adalah pintu masuk kepada rasuah pentadbiran dan kerosakan sistemik.

Untuk memerangi isu ini, MCW mencadangkan langkah berikut:
– Penguatkuasaan lebih tegas oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap mana-mana laporan pemberian wang semasa kempen.
–  Pendidikan politik kepada rakyat agar mereka sedar menerima sogokan adalah salah.
– Kempen kesedaran awam oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO), media dan institusi agama untuk mengangkat integriti dalam pilihan raya.
– Taklimat khas kepada bakal calon dan jentera parti politik mengenai sempadan undang-undang dalam kempen.
– Menubuhkan Jawatankuasa Pemantau Rasuah Pilihan Raya Bebas yang disokong masyarakat sivil.

Pilihan raya yang bersih adalah asas kepada negara yang bermaruah. Pemberian wang semasa kempen pilihan raya, walau dalam bentuk apa sekalipun adalah jenayah yang mengkhianati sistem demokrasi dan integriti negara.

MCW menyeru semua rakyat sama ada calon, pengundi, parti politik, dan penjawat awam untuk bersama-sama memutuskan budaya sogokan pilihan raya ini. Pilihan raya bukan untuk membeli kuasa, tetapi untuk memilih pemimpin yang beramanah.-UTUSAN

PENULIS ialah Presiden Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN