PETALING JAYA: Tiga pelatih Akademi Mokhtar Dahari (AMD) akan menjalani sesi ujian bersama Akademi Kelab Liga Perdana Bosnia Herzegovina, FK Sarajevo yang akan berlangsung pada 5 hingga 26 Julai ini.
Dua daripada mereka adalah pemain bawah 17 (B-17) tahun iaitu Izzuddin Afif Nazaruddin yang bermain di posisi penyerang dan pemain tengah, Muhammad Ilham Azani Mohd Azamin.
Kedua-dua pemain itu juga menyarung jersi pasukan Malaysia B-17 yang telah beraksi dalam Kelayakan Piala AFC Bawah 17 Tahun 2024 di Laos, selain bermain di saingan Piala Presiden.
Seorang lagi pelatih yang terpilih menjalani sesi ujian itu ialah Muhammad Iman Danish Mohd Shukor yang merupakan penyerang skuad kebangsaan bawah 16 tahun yang beraksi dalam Kejohanan FIFA Youth Series 2025 di Zurich, Switzerland baru-baru ini.
Dia merupakan tonggak serangan pasukan AMD Bawah 16 Tahun yang sedang bersaing dalam Kejohanan Piala Belia bawah 18 tahun.
“Pemilihan ini mencerminkan pengiktirafan terhadap kualiti pembangunan pemain muda di AMD serta membuka peluang kepada mereka untuk menimba pengalaman berharga dan memperluas potensi ke peringkat antarabangsa, sejajar dengan matlamat memperkasa pembangunan bakat sukan negara.
“Majlis Sukan Negara (MSN) merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada pemilik kelab FK Saravejo, Mr. Ismir Mirvic dan Tan Sri Vincent Tan atas komitmen dan sokongan berterusan dalam usaha memperkasa pembangunan bola sepak tanah air dan memainkan peranan penting dalam membantu MSN menyediakan platform berprestij di peringkat antarabangsa kepada pelatih terbaik AMD untuk mengetengahkan bakat mereka.
“Usaha ini secara langsung membuka ruang kepada pemain muda tempatan untuk menyerlah di pentas global dan mengangkat martabat bola sepak Malaysia di mata dunia,” kata MSN dalam satu kenyataan semalam.
Inisiatif ini turut menerima sokongan padu daripada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) selaku pemegang taruh utama sukan bola sepak negara.
Untuk rekod, kali terakhir pemain negara meraih kontrak bersama kelab utama Eropah adalah menerusi Luqman Hakim Shamsudin bersama Kelab Belgium, KV Kortrijk pada 2020. – UTUSAN









