PETALING JAYA: Hala tuju Akademi Mokhtar Dahari (AMD) perlu dikemas kini dengan mengambil kira cabaran semasa dan perkembangan bola sepak global bagi melahirkan lebih ramai pemain berkualiti pada masa akan datang.
Pemerhati bola sepak tempatan, Datuk Dr. Pekan Ramli berkata, antara perkara perlu diberikan perhatian ialah tumpuan untuk melahirkan pemain atau individu berkualiti dan bukannya sebuah pasukan terbaik di peringkat umur.
Katanya, jika dilihat kepada perancangan, akademi berkenaan lebih memberi tumpuan kepada untuk mewujudkan sebuah pasukan yang kuat di peringkat umur, sekali gus tidak memberi perhatian khusus kepada bakat individu.
“Kalau tengok AMD, nak kata gagal sepenuhnya itu tidak. Tetapi strukturnya hala tujunya perlu diubah, sebenarnya 70 hingga 80 peritus terbaik terbaik di sekolah, daerah dan program tunas terpilih menyertai akademi ini.
“Apabila masuk ke AMD, memang baik dan kehadapan. Namun, bila keluar mereka tidak menjadi, ada banyak faktor dan apa yang saya nampak di AMD sekarang lebih kepada untuk wujudkan sebuah pasukan bola sepak.
“Sepatutnya tumpuan kena fokus lahirkan individu berkualiti, gilap bakat pemain itu dan beri tumpuan kepada aspek fizikal, psikologi agar apabila keluar nanti boleh menembusi pasaran bola sepak negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Sebelum ini, boleh dilihat graduan AMD gagal mendapatkan tempat dalam saingan Liga Malaysia dan jika ada pun hanya satu dua nama sahaja selain masih jauh untuk menembusi skuad kebangsaan.
Menurut pekan, aspek pemakanan juga perlu diberikan tumpuan serius bagi memastikan fizikal graduan AMD ‘dilihat’ seperti pemain berkaliber dan bukannya kurus dan tidak berotot.
“Jika tengok pemain muda luar negara, semuanya ada ciri-ciri fizikal yang baik dan berotot. Tetapi di AMD, kurus dan gambarkan kita buat sesuatu yang betul. Mungkin ada tetapi tidak cukup, sama juga untuk psikologi,” katanya.
Dalam masa yang sama, Pekan berharap pengurusan AMD membuat perancangan untuk menjalinkan kerjasama dengan kelab luar negara untuk menghantar pemain menjalani latihan dalam tempoh tertentu.
“Memang AMD selalu ada program luar negara, tetapi mereka lebih kepada pergi untuk sertai kejohanan sahaja. Ini lebih kepada untuk uji pasukan dan bukannya persiapan melahirkan pemain berkualiti,” katanya. – UTUSAN









