REMAJA masa kini tidak rosak, tetapi sedang bergelut mencari arah hidup dalam dunia yang penuh tekanan, beban harapan, perbandingan sosial dan sistem yang kian meninggalkan mereka.
Statistik membuktikan kegusaran ini. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2022 melaporkan hampir 60,000 remaja Malaysia berumur 13 hingga 17 tahun aktif menggunakan dadah, manakala lebih 100,000 pernah mencubanya.
Laporan Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) 2024 turut mendedahkan 65 peratus penagih di negara ini adalah belia. Selain itu, isu seperti buli siber, ketagihan gajet, kecelaruan identiti, budaya hedonisme dan gangguan emosi bukan lagi kes terpencil tetapi menjadi norma sosial.
Namun, dalam menilai semua ini, persoalan yang lebih penting perlu ditanya, siapa yang sedang gagal sebenarnya? Kita sering menyalahkan remaja tanpa menyedari mereka kurang mendapat kasih sayang, bimbingan dan ruang untuk didengari. Dunia moden yang semakin bingit tidak memerlukan lebih banyak suara memerintah tetapi lebih banyak telinga mendengar.
Fasa remaja adalah waktu kritikal pencarian identiti. Di sinilah mereka paling mudah terkeliru dan tersasar. Malangnya, kita mahukan kejayaan tanpa mengajar mereka mengurus kegagalan. Kita marah apabila mereka memberontak tetapi tidak pernah memberi ruang untuk golongan ini meluah. Kita menyuruh mereka ‘jangan ikut kawan tetapi gagal menjadi sahabat pertama dalam hidup mereka. Kita galakkan mereka menjadi diri sendiri tetapi terus membanding-bandingkan.
Tekanan yang dihadapi remaja hari ini tidak semestinya datang daripada kemiskinan atau keretakan keluarga. Ramai juga yang tertekan meskipun datang daripada keluarga ‘lengkap’. Mereka dihimpit tekanan akademik, budaya membandingkan diri dan jangkaan tinggi yang tidak realistik. Mereka penat, tetapi memilih diam kerana tidak tahu kepada siapa hendak meluah. Malah, mereka takut dianggap lemah oleh keluarga sendiri.
Kesihatan mental remaja kini adalah krisis yang senyap. Mereka berdepan tekanan yang tidak kelihatan tetapi amat membebankan. Dalam masa sama, ramai ibu bapa dan guru sendiri tidak tahu atau tidak bersedia menangani isu ini secara terbuka.
Walaupun pusat kaunseling, talian bantuan seperti HEAL 15555, dan organisasi sokongan seperti MIASA serta Befrienders wujud, namun adakah semua ini benar-benar sampai kepada remaja yang memerlukan?
Ekosistem sokongan sebenar bermula dari rumah. Keluarga harus menjadi tempat berlindung emosi, bukan punca tekanan. Guru perlu menjadi pemangkin harapan, bukan sekadar penyampai silibus. Di universiti pula, pensyarah harus menjadi pemudah cara kehidupan, bukan hanya penilai akademik. Masyarakat pula mesti menjadi ruang selamat bagi remaja untuk jatuh, bangkit dan belajar menjadi manusia.
Jasmani juga memainkan peranan penting dalam kestabilan emosi. Namun, hari ini anak-anak semakin kurang bergerak. Kehidupan mereka dipenuhi skrin, media sosial dan perbandingan tidak sihat yang perlahan-lahan menghakis keyakinan diri.
Ya, pelbagai dasar dan program digerakkan, namun semuanya akan gagal jika tidak disertai hubungan manusia yang tulus dan penuh empati.
Kita tidak boleh lagi berpaut pada naratif ‘zaman kita dulu lebih baik’. Ini zaman mereka dan cabarannya jauh berbeza. Tugas kita adalah hadir, mendengar dan memahami, bukan menghukum atau membanding.
Remaja bukan generasi yang lemah. Mereka cuma perlukan orang dewasa yang benar-benar peduli dan tidak menilai dari kegagalan semata-mata.
Jika kita terus membiarkan mereka hanyut tanpa bimbingan, maka kita sebagai masyarakatlah yang gagal.-UTUSAN
PROFESOR Madya Dr. Khairunesa Isa ialah pensyarah di Jabatan Sains Sosial, Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).










