Assen, BELANDA: Bos Dorna, Carmelo Ezpeleta berkata, Jorge Martin tidak boleh menyertai mana-mana pasukan MotoGP bagi musim 2026 melainkan mendapat persetujuan Aprilia atau keputusan mahkamah memutuskan memihak pelumba itu.
Sebelum ini, pengurus Martin, Albert Valera mendakwa, juara dunia itu bebas kontrak pada tahun depan, selepas dikatakan mengaktifkan klausa pelepasan dalam perjanjiannya bersama Aprilia.
“Dia benar-benar bebas, tersedia dan kita akan lihat apa yang akan berlaku pada masa hadapan. Dia mempunyai klausa dalam kontraknya, dia berhak untuk melaksanakan klausa itu dan dia telah pun melakukannya,” kata Valera kepada MotoGP.com.
Martin terlepas sembilan daripada 10 pusingan pertama dalam usahanya mempertahankan gelaran akibat pelbagai kecederaan. Klausa yang dipersoalkan dipercayai berkaitan dengan prestasi, tetapi kenyataan rasmi Aprilia mengenai perkara itu menegaskan:
“Kontrak antara Aprilia Racing dan Jorge Martín adalah sah dan masih berkuatkuasa dan oleh itu, ia mesti dihormati oleh kedua-dua pihak sehingga tarikh tamatnya (akhir 2026),” kata Aprilia.
Ezpeleta secara terbuka menyokong pendirian Aprilia apabila memberi amaran bahawa kejuaraan tidak akan membenarkan Martin menyertai pasukan lain melainkan terdapat penyelesaian undang-undang yang jelas.
“Jika kedua-dua pihak mempunyai niat dan mahu menamatkan kontrak, ia boleh dilakukan. Jika satu pihak mengatakan kontrak itu masih sah, hakim yang terkandung dalam kontrak tersebut perlu memutuskan siapa yang benar.
“Kami di Dorna tidak akan menerima kemasukan sesiapa ke dalam kejuaraan yang tidak menghormati syarat-syarat ini, sama ada satu persetujuan dicapai antara kedua-dua pihak dan kontrak ditamatkan atau hakim perlu membuat keputusan,” kata Ezpeleta. – AGENSI/UTUSAN










