AKSES kepada kemudahan awam bukan keistimewaan tetapi hak asasi. Namun realitinya, ramai Orang Kurang Upaya (OKU) di Malaysia masih bergelut dengan pelbagai cabaran akses dalam kehidupan harian – daripada pengangkutan awam dan ruang rekreasi, sehinggalah ke peluang pekerjaan.
Walaupun Konvensyen Mengenai Hak Orang Kurang Upaya (CRPD), Akta OKU 2008 dan Undang-Undang Kecil Bangunan Seragam (UKBS) memperuntukkan hak tersebut, pelaksanaannya masih belum menyeluruh.
Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) melihat isu ini sebagai keutamaan dalam usaha membina bandar yang benar-benar inklusif. Sejak Ogos 2024, Suhakam menjalankan tinjauan audit hak asasi ke atas Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) di seluruh Semenanjung Malaysia untuk menilai tahap pelaksanaan hak asasi di peringkat akar umbi.
Sebahagian dapatan dan perbincangan penting dikongsi dalam program Forum Kerajaan Tempatan: Jaminan Akses dan Hak anjuran Suhakam pada 20 hingga 21 Mei, lalu. Pesuruhjaya Suhakam, Nazira Abd. Rahim dalam ucapannya menekankan peranan PBT selari dengan mandat hak asasi manusia untuk memastikan semua lapisan masyarakat termasuk OKU mendapat peluang dan akses yang setara.
Katanya, hak akses OKU tidak boleh lagi dilihat hanya dari sudut fasiliti fizikal seperti ramp, tandas, tempat letak kenderaan semata-mata sebaliknya perlu meliputi aspek pendidikan, teknologi, pengangkutan, maklumat dan ruang ibadah.
Sementara Ketua Pengarah Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT), Datuk Mohd. Fadli Mohd. Kenali, pula menyatakan PBT perlu berperanan bukan sahaja sebagai pentadbir pembangunan tetapi juga sebagai ejen perubahan sosial.
Katanya, infrastruktur mesra OKU satu kemestian, bukan pilihan dan kerjasama pelbagai pihak asas untuk mencapai aspirasi Malaysia Madani.
Exco Komunikasi, Multimedia dan NGO Negeri Perak, Mohd. Azlan Helmi, pula mengiktiraf cabaran utama PBT termasuk kekangan kewangan, kesan perubahan iklim dan peningkatan kos. Walau bagaimanapun, ini tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan golongan rentan seperti OKU dan warga emas.
Beliau mencadangkan penyelesaian kreatif seperti kerjasama swasta, pelancongan komuniti dan inovasi teknologi.
INKLUSIVITI MELANGKAUI INFRASTRUKTUR
Hasil tinjauan pada Ogos 2024, Suhakam mendapati Majlis Perbandaran Manjung (MPM) bukan sahaja menyediakan kemudahan fizikal mesra OKU tetapi turut menganjurkan program sosial inklusif berskala nasional dan antarabangsa.
Semasa forum tersebut, wakil MPM, Mohd. Rohaizan Abd. Aris turut berkongsi pada September 2023, MPM menjadi tuan rumah kepada Program Sukan Komuniti Orang Kurang Upaya (SUKOM-OKU) Manjung 2023. Program tersebut julung kali diadakan merupakan anjuran Majlis Paralimpik Malaysia, sempena Hari Malaysia.
MPM merupakan PBT pertama dipilih sebagai tuan rumah acara ini, dengan sokongan daripada Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Orang Kurang Upaya (MKBOKU), Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS).
Program ini bukan sahaja mengetengahkan penyertaan aktif OKU dalam sukan komuniti tetapi membuktikan sukan mampu menjadi ruang untuk memperkasa, membina keyakinan dan memecah stigma sosial. MPM juga terpilih sebagai antara tiga PBT oleh Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) Malaysia (selain Mersing dan Sipitang) dalam program khas pemulihan sistem pelancongan pasca pandemik Covid-19.
Melalui pemilihan ini, MPM membuka peluang kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tempatan untuk mencadangkan projek yang inklusif dan berimpak. Projek yang berjaya diketengahkan ialah Pulih Art, program yang memfokuskan memperkasakan pelajar OKU dalam ekopelancongan melalui seni visual.
SERUAN BERTINDAK
Sungguhpun wujud dasar dan undang-undang yang baik, kejayaan sebenar pembinaan bandar inklusif hanya akan dicapai apabila pelaksanaan dilakukan secara menyeluruh, konsisten dan berpaksikan hak asasi manusia.
Suhakam menyeru agar dapatan forum ini tidak hanya kekal sebagai wacana tetapi diterjemah kepada dasar, tindakan dan pembaharuan di peringkat tempatan.
Kejayaan MPM membuktikan inovasi, semangat kepimpinan dan kolaborasi antara kerajaan, NGO dan komuniti penting ke arah negara yang inklusif. Jelas daripada perkongsian daripada MPM ini membuktikan kejayaan mewujudkan bandar mesra OKU bukan bergantung semata-mata kepada dana atau undang-undang tetapi juga kepimpinan berwawasan di peringkat PBT, gabungan kerjasama antara kerajaan, NGO dan komuniti serta penerapan inovasi reka bentuk sejagat secara menyeluruh.
Ia juga menekankan pentingnya, koordinasi dasar antara agensi, pemantauan menggunakan piawaian antarabangsa Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dan pengiktirafan kepada PBT yang mengambil langkah berani dan kreatif.
Pada akhirnya, kemajuan sesebuah bandar bukan hanya diukur melalui bangunan tinggi atau jalan luas tetapi keupayaan untuk memastikan tiada seorang pun warganya terpinggir daripada akses yang adil dan saksama.-UTUSAN
PENULIS ialah Pemangku Ketua Bahagian Undang-Undang dan Triti Antarabangsa Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam).










