Kesetiaan penjawat awam tunjang kestabilan negara

Kesetiaan penjawat awam tunjang kestabilan negara

PENJAWAT awam merupakan teras kestabilan serta kemajuan negara, merentasi perubahan dan gelombang politik semasa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM sistem demokrasi berparlimen seperti Malaysia, penjawat awam memainkan peranan sebagai tulang belakang negara yakni institusi yang memastikan kelangsungan pentadbiran, pelaksanaan dasar dan kestabilan perkhidmatan walaupun berlaku perubahan kerajaan.

Namun, di tengah-tengah iklim politik semakin kompleks dan pertukaran kuasa yang lebih kerap, dilema kesetiaan dalam kalangan penjawat awam menjadi semakin mendalam.

DINAMIKA KESETIAAN DAN KEBERANIAN PROFESIONAL

Dengan landskap politik dinamik, penjawat awam berada dalam kedudukan yang lebih terdedah kepada pertindihan kesetiaan antara parti pemerintah serta kelangsungan dasar jangka panjang.

Perkhidmatan awam bukanlah milik mana-mana parti atau individu. Ia milik negara. Oleh itu, konsep ‘government of the day’ (kerajaan semasa) perlu benar-benar difahami.

Penjawat awam bertanggungjawab menyokong pelaksanaan dasar dan program kerajaan dengan profesionalisme, selain tetap terikat pada prinsip akauntabiliti, integriti, dan keluhuran Perlembagaan.

Namun kesetiaan kepada kerajaan tidak bererti tunduk membuta tuli, tetapi melaksanakan amanah secara berhemah dan berimbang.

Perkhidmatan awam ialah pelaksana dasar negara yang bukan sekadar menurut tanpa soal tetapi juga bukan penentang keputusan kerajaan. Penjawat awam perlu memiliki keberanian profesional untuk menegur dengan hikmah dan setia berkhidmat berlandaskan ilmu.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam banyak pertemuan bersama penjawat awam sering menegaskan golongan ini tidak seharusnya takut untuk menyuarakan pandangan yang berbeza jika ada keraguan terhadap sesuatu dasar atau pendekatan.

Andainya mereka sekadar mengiakan, pastinya sukar untuk membina pentadbiran yang baik.

Perdana Menteri mahukan penjawat awam yang bersikap profesional di mana jika terdapat sebarang keputusan yang diragui kebijaksanaannya, ia seharusnya ditegur dan dibincangkan bersama secara mendalam dan jujur. Jangan sampai yang apa dibuat hanya kerana mahu nampak popular di media sosial.

Penjawat awam berfungsi bukan sekadar sebagai penyampai arahan tetapi turut memberi pandangan strategik demi kepentingan negara jangka panjang seperti yang ditegaskan ketika pembentangan Belanjawan 2024: “Saya mahukan penjawat awam yang berani memberi pandangan, bukan sekadar menurut. Jika sesuatu itu salah dari segi pelaksanaan, maka tegurlah tetapi dengan adab dan saluran yang betul.”

BIROKRASI

Penjawat awam hari ini berada dalam ekosistem yang lebih mencabar. Perubahan kerajaan yang lebih kerap, wacana awam terbuka menerusi media sosial, serta tekanan untuk ‘isyarat kesetiaan’ kepada pemimpin politik tertentu menimbulkan dilema baharu.

Terdapat insiden tertentu di mana penjawat awam dilihat ‘menentang’ kerajaan semasa sedangkan yang disuarakan adalah kebimbangan atas keputusan tidak berlandaskan fakta atau tidak sesuai dilaksanakan berdasarkan pengalaman mereka. Dalam banyak kes, ia adalah tindakan profesional untuk menyelamatkan institusi daripada keputusan jangka pendek yang populis atau tidak berasaskan data.

Dalam konteks ini, sebahagian pihak mula membangkitkan kebimbangan terhadap wujudnya deep state iaitu rangkaian dalam birokrasi yang dilihat memiliki pengaruh besar terhadap hala tuju kerajaan tanpa mandat politik.

Walaupun istilah ini sering dibesar-besarkan, ia mengingatkan kita birokrasi yang terlalu kuat tanpa akauntabiliti juga boleh menggugat prinsip demokrasi. Kita tidak menafikan penjawat awam ialah tulang belakang kerajaan yang hakiki. Mereka memiliki ingatan institusi dan kebijaksanaan dasar yang mengatasi jangka hayat mana-mana pentadbiran.

Jepun dan United Kingdom (UK) membuktikan kestabilan negara tidak bergantung hanya kepada kestabilan politik tetapi keutuhan birokrasi yang profesional dan bukan partisan.

Di Jepun, penjawat awam sering dianggap sebagai arkitek sebenar dasar negara iaitu menyediakan kertas kerja, merangka pelaksanaan dan memberi input kritikal tanpa perlu berpihak secara politik.

RUANG UNTUK KEBIJAKSANAAN

Antara isu besar hari ini ialah keperluan untuk memberikan penjawat awam ruang membuat keputusan berdasarkan kebijaksanaan profesional dalam lingkungan kuasa yang diamanahkan. Dunia semakin kompleks, keputusan dasar bukan lagi hitam putih dan tidak semua dapat diselesaikan melalui arahan politik.

Sosial media pula menambah tekanan baharu. Dahulu, teguran dilakukan dalam saluran dalaman tetapi kini persepsi mudah terbentuk berdasarkan satu hantaran atau rakaman video. Maka, penjawat awam bukan sahaja perlu profesional tetapi juga celik media dan strategi komunikasi.

Penjawat awam harus diberikan ruang untuk bertindak mengikut kebijaksanaan profesional serta dalam batas autoriti yang sah, dengan syarat ia dilakukan secara telus dan boleh dipertanggungjawabkan.

Proses seperti mesyuarat pasca Kabinet, pasukan petugas bersama antara agensi selain platform interaksi antara penjawat awam dan penggubal dasar harus diinstitusikan agar menjadi medan sebenar untuk semak imbang serta pelaksanaan dasar yang berkesan.

Penjawat awam memerlukan ruang intelektual dan operasi untuk memberikan pandangan kritikal, nasihat teknikal serta kadangkala teguran berhemah.

Laporan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menunjukkan masih terdapat lebih 300 kes salah laku membabitkan penjawat awam sepanjang 2023, melibatkan rasuah, salah guna kuasa dan pelanggaran etika kerja. Ini membuktikan perlu pengukuhan integriti dan reformasi struktur agar tekanan politik tidak mewujudkan ruang untuk salah laku.

Penjawat awam bukan bayang-bayang kepada kuasa sebaliknya cahaya yang menerangi jalannya. Penyelesaian dilema ini bukan terletak pada penghakiman siapa setia atau siapa melawan tetapi pada kemampuan membina budaya tadbir urus yang menghargai kesetiaan secara bijaksana bukan semata-mata kepada perintah semasa.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi daripada Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×