PETALING JAYA: Ketua jurulatih skuad hoki bawah 18 (B-18) negara, Mohd Sufian Mohamad mengakui pasukannya bakal berdepan ujian sebenar kejohanan apabila dijadual menentang Jepun dalam aksi Kumpulan B Piala Asia B-18 di Dazhou, China, hari ini.
Skuad B-18 negara kini mengungguli tangga teratas Kumpulan B selepas mengutip sembilan mata maksimum dan Sufian berkata, dia menjangkakan pertembungan sengit bakal dipamerkan oleh kedua-dua pasukan.
“Untuk perlawanan keempat menentang Jepun, itu adalah perlawanan sebenar yang akan menguji kekuatan dan ketajaman barisan penyerang dan pertahanan pasukan negara.
“Ini kerana saya menjangkakan aksi sengit dengan Jepun dibarisi pemain yang mempunyai tahap kecergasan tinggi dan skil yang bagus. Saya berharap pemain dapat memberi tumpuan dan berjuang habis-habisan bagi memburu kemenangan sekali gus mara ke separuh akhir,” katanya.
Terdahulu, skuad B-18 negara membuka tirai kejohanan dengan menewaskan Kazakhstan 4-0 Khamis lalu sebelum membelasah Indonesia 10-0 pada keesokan harinya dan semalam pasukan kebangsaan menundukkan Taiwan 11-1.
Mengulas lanjut, Sufian berkata segala perancangan taktikal dan strategi pasukan diterjemahkan pemainnya dengan baik malah berharap skuadnya itu mengekalkan prestasi bagi menentang Jepun.
“Syukur alhamdulillah, tiga mata penuh. Bagi perlawanan ketiga, saya tidak menjangkakan kita menjaringkan gol yang banyak pada hari ini (semalam).
“Pada sesi rehat semalam (kelmarin) saya mengadakan sesi video dan mengatur strategi untuk tingkatkan barisan penyerang untuk meneliti dan menambah baik cara menjaringkan gol. Hari ini saya sangat memuji pemain mereka dapat menyudahkan peluang yang terhidang dengan tenang,” katanya. – UTUSAN










