JDT pamer taring di Sepanyol

JDT pamer taring di Sepanyol

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim (JDT) memulakan persiapan pra musim dengan langkah positif apabila membelasah kelab Sepanyol, Real Murcia Imperial 4-0, semalam.

Perlawanan yang berlangsung di Pusat Latihan Melia Villaitana itu menyaksikan Harimau Selatan menampilkan permainan bermutu tinggi di bawah kendalian Xisco Munoz.

Situasi itu memberi amaran jelas buat pencabar Liga Malaysia (Liga M), biarpun pasukan dimiliki Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail itu mendominasi Liga Super 11 musim berturut-turut.

Dalam aksi persahabatan itu, JDT menyenaraikan empat muka baharu dalam kesebelasan utama membabitkan Jon Irazabal, Antonio Glauder, Hector Hevel dan Jairo Da Silva bagi menguji kombinasi terbaik menjelang musim baharu Liga Super.

Hanya lima minit diperlukan JDT untuk membuka tirai jaringan menerusi penyerang sensasi, Bergson Da Silva yang tidak berdepan masalah menewaskan penjaga gol tuan rumah selepas menerima hantaran kemas dari sebelah kiri.

Pemain import baharu, Jairo Da Silva turut mencuri perhatian apabila meledak gol pertamanya bersama JDT pada minit ke-20, sekali gus menamatkan babak pertama dengan kelebihan 2-0 memihak kepada skuad Harimau Selatan.

Bersambung babak kedua, kemasukan Romel Morales nyata memberi impak besar apabila pemain kebangsaan itu mencetak dua jaringan pada minit ke-56 dan 64 untuk memastikan kemenangan bergaya milik JDT.

Empat gol tanpa balas itu nyata membuktikan ‘keseriusan’ JDT dalam misi mempertahankan kejuaraan Liga Super buat kali ke-12 berturut-turut, di samping menguji keserasian pemain sedia ada dengan muka baharu.

JDT dijadual meneruskan aksi pra-musim kedua menentang Costa City di Estadi Olimpic Camilo Cano sebagai sebahagian daripada lapan perlawanan yang diatur sepanjang kem latihan di Sepanyol. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN