PETALING JAYA: Persekutuan Sepaktakraw Antarabangsa (ISTAF) menubuhkan Jawatankuasa Teknikal Khas bagi meneliti cadangan pindaan terhadap undang-undang permainan sukan itu khususnya yang melibatkan peraturan servis.
Setiausaha Agung ISTAF, Datuk Abdul Halim Kader berkata, keputusan tersebut dicapai pada mesyuarat Majlis ISTAF yang diadakan di Hatyai, Songkhla kelmarin, berikutan pelbagai saranan dan maklum balas daripada negara-negara ahli berkaitan Fasal 11.1.4 dalam Undang-Undang Permainan Sepaktakraw.
“Segala hasil dapatan jawatankuasa ini akan dirujuk kepada Jawatankuasa Pengadil ISTAF sebelum dibawa ke Jawatankuasa Eksekutif (Exco) untuk sokongan dan kelulusan terakhir bagi sebarang pindaan dikuatkuasakan,” kata Abdul Halim dalam satu kenyataan.
Dalam pada itu, Abdul Halim berkata, jaminan bahawa ISTAF tidak akan memansuhkan bulatan tengah dalam gelanggang berukuran 13.4 meter x 6.1 meter yang menjadi sebahagian daripada identiti permainan sejak temasya Sukan SEAP 1965 di Kuala Lumpur.
“Cadangan untuk memadamkan bulatan itu tidak pernah menjadi agenda kami kerana ia adalah warisan budaya dan kesenian sepaktakraw.
“Undang-undang ini diasaskan oleh tokoh sepaktakraw seperti Tan Sri Khir Johari dan Tan Sri Mohd Yussof Latif. Kami kekal menghormati sejarahnya. Kalau dihapuskan, maka servis akan benar-benar jadi ‘terbang’,” katanya.
Dalam perkembangan berasingan, Abdul Halim turut memberi bayangan bahawa sebanyak 16 negara bakal diundang menyertai Piala Dunia ISTAF 2026 bagi kategori lelaki dan wanita yang dijadualkan berlangsung pada Mei 2026 di Arena Axiata, Kuala Lumpur. – UTUSAN










