PETALING JAYA: Tiada jalan mudah menanti beregu lelaki Malaysia di Terbuka Jepun 2025, apabila undian ‘derby’ seawal pusingan pertama berisiko menamatkan kemaraan rakan senegara, sekali gus menyukarkan misi mengulangi sejarah podium.
Peringatan itu ditegaskan oleh Pengarah Kejurulatihan Beregu, Rexy Mainaky yang gusar apabila terlalu banyak pertembungan sesama sendiri antara pasangan BAM dan profesional dalam kejohanan utama seperti Super 750 dan Super 1000.
“Herry Iman Pierngadi (ketua jurulatih kebangsaan) juga menyuarakan kerisauan tentang perkara ini. Sayang kalau dua pasangan kita terpaksa pulang awal dari Tokyo. Ianya tak bantu pembangunan jangka panjang mereka,” kata Rexy.
Situasi ini jelas di Terbuka Jepun minggu depan apabila gandingan No. 2 dunia, Aaron Chia-Soh Wooi Yik bertemu Ong Yew Sin-Teo Ee Yi (No. 30) di pusingan pertama, manakala Man Wei Chong-Tee Kai Wun (No. 7) juga dijadual bertembung Arif Junaidi-Yap Roy King (No. 23).
Menurut Rexy, penyelesaian terbaik adalah untuk semua pasangan pelapis melonjak ke kelompok 15 terbaik dunia seperti mana kejayaan beregu campuran Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin (No. 13) yang sebelum ini kerap bertemu gandingan No. 4, Chen Tang Jie-Toh Ee Wei.
“Kita tengok dulu pun Pang Ron-Su Yin selalu bertemu Tang Jie-Ee Wei, tapi bila dah naik ranking, pertemuan itu berhenti. Ranking memainkan peranan penting elak pertemuan awal,” katanya.
Kali ini, Malaysia tampil dengan kekuatan luar biasa apabila enam beregu lelaki menghiasi undian utama sekali gus paling ramai dalam kalangan negara bertanding yang mana diketuai pasangan No. 1 dunia, Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani yang juga juara bertahan.
Jika berjaya melepasi perlawanan sulung masing-masing, Aaron-Wooi Yik dijangka berentap dengan Sze Fei-Izzuddin di final.
Berdasarkan prestasi semasa dan undian, Sze Fei-Izzuddin muncul calon utama mempertahankan kejuaraan mereka di Tokyo, tetapi perlu mengatasi cabaran awal beregu Kanada, Jepun dan Indonesia sebelum layak ke pentas akhir.
Di sektor beregu campuran, harapan tertumpu kepada dua gandingan utama negara, Tang Jie-Ee Wei yang kini semakin konsisten dalam kelompok lapan terbaik dunia, dengan peluang cerah sekurang-kurangnya mara ke separuh akhir. – UTUSAN











