Banyak laporan palsu bukti rakyat alpa tanggungjawab sivik

Banyak laporan palsu bukti rakyat alpa tanggungjawab sivik

FENOMENA rakyat membuat laporan palsu semakin membimbangkan dan mencerminkan kemerosotan tanggungjawab sivik dalam kalangan masyarakat. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“KEAMANAN bukan sesuatu yang mudah dicapai, keamanan bukannya pipih datang melayang. Keamanan adalah hasil perjuangan dan pengorbanan generasi terdahulu yang berusaha mengekalkan kestabilan dan kemakmuran negara.

“Rakyat perlu menghargai dan mengamalkan nilai perpaduan, saling menghormati dan hidup dalam suasana bertoleransi dengan keinsafan, kestabilan negara bukan hanya tanggungjawab kerajaan tetapi memerlukan kerjasama seluruh rakyat.

“Setiap individu ada tanggungjawab bersama dan setiap individu harus peka untuk menyelesaikan masalah secara bijak, tanpa kekerasan, tanpa persengketaan, dalam semangat yang menghargai perdamaian.” – Sultan Nazrin Muizzuddin Shah.

Dalam pada rakyat mendesak ketelusan kerajaan dalam pentadbiran negara dan menuntut perkhidmatan yang diberikan agar lebih mesra rakyat, kita seakan-akan alpa tentang hakikat rakyat juga memainkan peranan dalam menentukan kelangsungan sesebuah negara.
Jika Malaysia terus didiami rakyat tidak celik dengan tanggungjawab sivik kepada negara, kita hanya akan berterusan menyaksikan pertelingkahan kecil yang menyemai krisis di dalam negara.

Jika dulu perlakuan jenayah dipandang serius sehingga segenap negara mengambil iktibar daripada setiap laporan berita tentang penjenayah yang diheret ke mahkamah. Bahkan, pencegahan awam adalah antara alasan utama hukuman jenayah dikenakan ke atas pesalah. Kini tidak lagi. Seolah-olah rakyat Malaysia sudah tidak segan untuk memampangkan wajah sendiri di dada akhbar sebagai suspek yang melakukan kesalahan undang-undang.

Sebagai contoh, Julai tahun lalu, seorang pekerja syarikat pembersihan didenda mahkamah selepas mengaku bersalah membuat laporan polis palsu kononnya diugut melalui aplikasi WhatsApp dan dicederakan di bahagian lengan kiri dengan menggunakan pisau. Sedangkan cerita itu hanya direka kerana ingin menarik perhatian rakannya.

Mac lalu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju memberi amaran agar orang ramai tidak membuat laporan palsu hanya kerana kehilangan kad pengenalan. Amaran ini diberikan berikutan trend semasa yang melihat begitu ramai orang membuat laporan palsu kehilangan kad pengenalan. Malah ada yang melaporkan kononnya dirompak sehingga kehilangan beg dompet semata-mata untuk mengelak daripada membayar denda kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi menggantikan kad pengenalan yang hilang akibat kecuaian diri.

April lalu pula, seorang suri rumah bertindak berani dengan membuat laporan palsu kononnya barang kemas miliknya disamun dua orang suspek bermotosikal dan bersenjatakan sebilah pisau. Laporan palsu itu dibuat setelah wanita terbabit takut dimarahi suami kerana meminjamkan barangan kemas bernilai RM7,000 kepada rakannya yang gagal dihubungi.

Manakala pada awal bulan ini, seorang pekerja membuat laporan palsu mendakwa wang milik majikannya sebanyak RM21,000 disamun bagi menutup penyelewengan yang dilakukan bagi menampung perbelanjaan peribadi.

Awal bulan ini juga, seorang lelaki warga asing membuat laporan palsu kononnya disamun RM19,000 di luar sebuah bank di Pulau Pinang, sedangkan wang itu sebenarnya digunakan untuk tujuan peribadi.

SIASATAN YANG SIA-SIA

Kesemua laporan palsu ini bukan sahaja boleh menyebabkan polis melancarkan penyiasatan yang sia-sia tetapi juga boleh menyebabkan kegusaran orang awam yang merasakan wujud peningkatan kes samun. Sedangkan laporan itu hanyalah maklumat palsu yang direka bagi menutup kesilapan.

Rakyat tidak segan lagi bertindak bagai lurus sumpitan hendak mengena walaupun mereka sudah tahu natijahnya.

Misalnya minggu ini, akhbar melaporkan bagaimana pempengaruh permotoran bertindak menenggelamkan kereta milik isterinya di Sungai Tui, Lenga, Bukit Kepong. Muar sebelum melarikan diri ke negara jiran.

Lebih dramatik lagi, adiknya, sanggup mereka cerita kehilangan pempengaruh itu.

Akibat laporan palsu itu, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilancarkan dan menyaksikan lebih 77 orang pegawai dan anggota daripada Muar, Labis dan Pagoh dikerah ke lokasi kejadian selama empat hari berturut-turut.

Akhirnya selepas pempengaruh itu ditemui selamat di negara jiran, kononnya selepas berkahwin lain, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengambil tindakan membuat laporan polis terhadap laporan palsu yang dibuat adik pempengaruh itu.

Tiada permohonan maaf yang dibuat oleh pempengaruh itu atau adiknya atas pembaziran masa, tenaga dan sumber negara yang dihabiskan sepanjang operasi SAR berjalan.

Tindakan bebal rakyat membuat laporan palsu sebegini bukan sahaja menyebabkan pembaziran sumber tetapi lebih utama ia merupakan jenayah yang boleh dihukum.

Adakah rakyat tidak lagi takut dengan hukuman jenayah sehingga begitu ramai sekali yang berani membuat laporan palsu?

Di bawah Seksyen 182 Kanun Keseksaan, mana-mana orang yang memberi mak­lumat palsu kepada penjawat awam yang mengakibatkan penjawat awam itu bertindak berdasarkan maklumat diberikan boleh dikenakan hukuman pemenjaraan maksimum selama enam bulan atau denda sehingga RM2,000 atau kedua-duanya sekali.

Melihatkan tingkah laku rakyat yang semakin tidak cakna tanggungjawab sivik masing-masing, kerajaan bukan sahaja perlu melihat semula silibus pendidikan tatarakyat yang diterapkan di sekolah. Bahkan, Kementerian Komunikasi sepatutnya memainkan peranan besar menguar-uarkan pengajaran kepada rakyat agar memandang perkara ini dengan lebih serius lagi.

Seharusnya rakyat tidak dibiasakan berbohong bagi kepentingan peribadi sedangkan sumber negara dibazirkan melayani penipuan mereka.-UTUSAN

PENULIS ialah pengamal undang-undang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN