INTI pati pengumuman penghargaan khas kepada seluruh rakyat Malaysia oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menjadi tajuk perbualan ramai di mana-mana sahaja.
Biarpun empat hari berlalu namun tajuk perbincangan ini kekal panas membara dan masih begitu rancak diperkatakan termasuk oleh warga luar negara yang bekerja di sini.
Pada masa sama, pengumuman ini juga mencetuskan pelbagai reaksi dalam kalangan rakyat. Sementara ramai yang meluahkan rasa seronok dan teruja, ada juga pihak yang merungut dan membuat pelbagai spekulasi tentang hal ini.
Seperti biasa, topik yang panas begini sudah pasti akan mencetuskan perdebatan hangat antara mereka yang berbeza pendapat.
Maka, pakar-pakar segera dalam bidang ekonomi dan politik muncul secara berduyun-duyun di mana-mana sahaja, bagaikan cendawan tumbuh selepas hujan.
Baik di kedai-kedai kopi dan apatah lagi di alam maya, masing-masing sibuk bertikam lidah. Semuanya tidak mahu kalah melontarkan apa sahaja yang terlintas di fikiran tanpa memahami fakta sebenarnya.
Saya merasa amat berterima kasih dan bersyukur kerana anak-anak muda tidak dipinggirkan dalam pemberian penghargaan khas ini. Ia merupakan isyarat yang kerajaan memahami keluh-kesah kami. Bagi kebanyakan kami yang masih menuntut di universiti, untuk mendapatkan RM100 itu bukannya hal mudah.
Justeru, bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) yang diumumkan ini sudah tentu dapat meringankan beban. Lebih-lebih lagi kepada kami yang terpaksa berjimat cermat malah sudah biasa mengikat perut.
Bagi golongan berada, bantuan SARA bernilai RM100 secara sekali beri itu dirasakan begitu kecil nilainya tetapi kepada majoriti pelajar, sumbangan ini sudah tentu amat membantu.
Dari segi ekonomi, inisiatif ini merupakan langkah serampang dua mata. Peruntukan sebanyak RM2 bilion untuk bantuan SARA ini akan meringankan beban rakyat dan pada waktu sama memberi impak besar dalam merangsang ekonomi negara.
Pun begitu, tiada inisiatif kerajaan yang akan dapat memuaskan hati semua pihak. Dalam apa keadaan sekalipun, sudah tentu akan ada sahaja pihak yang tidak berpuas hati lantas membuat pelbagai andaian negatif.
Ada yang melihat hal ini dari kaca mata politik lantas membuat andaian dari sudut tersebut. Bagi saya, tepuk dada, tanya selera. Setiap rakyat bebas menilai dari sudut pandangan masing-masing, serta bebas menyuarakan pandangan mereka.
Namun, kita harus berhemah dan jujur dalam melontarkan hujah masing-masing. Jangan kita jadikan persepsi yang direka cipta dengan tujuan tertentu sebagai umpan bagi mengelirukan orang lain.

HAK BERSUARA ADA BATAS
Di Malaysia, ramai merasakan mereka berhak bercakap apa sahaja bersandarkan hak kebebasan bersuara seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan.
Namun, kita harus sedar Perlembagaan Persekutuan dengan jelas menegaskan kebebasan bersuara di bawah Perkara 10 adalah tertakluk kepada Fasal (2), (3) dan (4).
Hal inilah yang diterangkan kepada murid-murid di Sekolah Menengah Agama (SMA) Bandar Penawar, Kota Tinggi, Johor apabila seorang pelajar bertanya tentang hak kebebasan bersuara di sekolah. Ketika itu, saya dijemput untuk berceramah dan menangani sebuah majlis pengisian rohani hujung minggu lalu.
Malah, saya gembira apabila hal ini disebut kerana tahu ramai yang bercakap tentang hak kebebasan bersuara tidak memahami apa yang terkandung di dalam undang-undang negara.
Pelajar harus memahami perkara-perkara asas dalam peruntukan undang-undang agar tidak mudah dimanipulasikan dan terkeliru oleh cerita yang digarap untuk memperdayakan mereka.
Benar, sebagai rakyat kita mempunyai hak yang diperuntukkan undang-undang tertinggi negara. Namun, negara juga mempunyai hak ke atas rakyatnya melalui peruntukan undang-undang yang sama. Hak negara itu tanggungjawab rakyat kepada negara.
Ketidakterikatan juga mesti ada hadnya kerana kebebasan mutlak hanya akan memporak-perandakan kehidupan manusia serta menghancurkan dunia.
Bayangkan jika semua orang bebas melakukan apa sahaja yang mereka mahukan tanpa apa-apa sekatan undang-undang atas nama hak asasi manusia yang mutlak.
Maka, yang kuat bebas melakukan pelbagai perkara dan hak kita boleh dicabuli oleh sesiapa sahaja kerana tiada lagi sekatan undang-undang bagi melindungi.
Jangan kita meminta sesuatu yang kelak akan menghancurkan kesejahteraan hidup. Jika mahukan hak kita, orang lain juga begitu. Jika kita tidak suka diganggu, begitu jugalah perasaan orang lain.
Sering kali dalam keghairahan menyuarakan hak sendiri, kita terlupa yang pada waktu sama mungkin mencabuli hak kebebasan orang lain di sekeliling.
Tatkala berkumpul beramai-ramai dan menjerit selantang boleh bagi menyatakan kehendak dan ketidakpuasan hati, sebenarnya kita sedang menghalang kebebasan orang lain daripada berurusan di tempat tersebut.
Bayangkan juga betapa buruk akibatnya apabila ambulans yang sedang membawa pesakit tenat ke hospital terhalang oleh ribuan rakyat yang sedang berhimpun memenuhi jalan raya.
Negara kita dibina atas kebijaksanaan pemimpin yang memilih jalan diplomasi secara tertib dan terhormat, bukannya dengan bertempur atau mengangkat senjata.
Kita juga terkenal sebagai negara yang mampu menjadi orang tengah untuk mencari jalan damai bagi pihak-pihak yang bertelingkah.
Justeru, jangan gadaikan maruah bangsa dan perjudikan nasib negara melalui tindakan yang tidak bertanggungjawab.
Kita harus belajar tentang demokrasi sebelum bercakap mengenainya. Belajarlah dahulu sebelum mula berpolitik supaya kita dapat benar-benar membina negara.-UTUSAN
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










