PETALING JAYA: Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bersedia mengambil alih pengurusan Program Pembangunan Bolasepak Negara (NFDP) dan Akademi Bolasepak Mokhtar Dahari (AMD).
Dua program akar umbi itu merupakan entiti penting dalam pembangunan bola sepak negara yang perlu diberikan ‘nafas baharu’ untuk melahirkan lebih ramai bakat berkualiti negara.
Setiausaha Agung FAM, Datuk Noor Azman Rahman ketika mengulas perkembangan itu berkata, pihaknya sememangnya bersedia daripada pelbagai aspek jika ada perubahan pengurusan NFDP dan AMD.
“Kita serahkan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dan Majlis Sukan Negara (MSN). Tapi kalau ditanya kesiapsiagaan, FAM sedia untuk ambil alih pengurusan NFDP dan AMD pada bila-bila masa.
“Sepatutnya pembangunan bola sepak memang di bawah FAM. Tak boleh ada dua pihak urus perkara sama, nanti program tak selari dan hala tuju jadi kabur,” katanya.
NFDP yang dilancarkan pada 2014 berperanan merencanakan program pembangunan bola sepak akar umbi dengan sasaran melahirkan pemain bertaraf antarabangsa melalui program latihan berstruktur.
Sebelum ini, Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkta, NFDP bakal melalui penilaian semula termasuk mendapatkan bantuan dan panduan daripada Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).
Perkembangan itu membuka ruang kepada kemungkinan pengurusan program akan diserahkan kepada FAM terutama selepas ada pendapat yang mahu program pembangunan diperkasakan semula. – UTUSAN










