Privasi kanak-kanak bukan mainan

Privasi kanak-kanak bukan mainan

JANGAN memperjudikan keselamatan dan privasi kanak-kanak di laman sosial.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

“APAKAH belajar adab itu hanya untuk anak-anak yang masih dalam sekolah sahaja? Atau untuk anak-anak muda sahaja? Seorang anak sekolah masih dapat diajar guru, anak muda masih boleh disindir ayah. Tetapi orang tua siapakah yang akan mengajarnya? Siapakah yang akan berani menasihati dan menyindirnya?

“Tidaklah boleh dipandang pelajaran adab itu untuk golongan yang muda-muda sahaja tetapi rata buat tiap-tiap manusia sekurangnya untuk menjadi cermin diri, untuk mengetahui kekurangan kita.” – Buya Hamka.

Minggu lalu Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak tegas dengan menyekat akses Edisi Siasat dan Edisi Khas di aplikasi Telegram. Tersohor sebagai saluran yang membongkar prosedur kepolisan dan sering membangkitkan isu salah guna kuasa dalam institusi Polis Diraja Malaysia (PDRM), saluran-saluran ini pernah dilanggani lebih sejuta pengguna Telegram.

Ramai netizen menyuarakan harapan agar SKMM bertindak sama tegas dengan pelbagai akaun, laman dan kumpulan di pelbagai media sosial yang menyalahi undang-undang, khususnya bersifat lucah, sumbang dan jelik.

Lebih-lebih lagi, dengan terbongkarnya kumpulan yang berkongsi gambar-gambar murid sekolah di Facebook yang dinamakan Grup Budak-budak Sekolah Rendah, harapan rakyat semakin mendesak.

Kerana itu, langkah-langkah murni oleh Kementerian Komunikasi, dalam memperhebatkan kempen dan advokasi mengenai bahaya aktiviti melibatkan privasi kanak-kanak di dalam talian, wajar dipuji sebagai permulaan yang baik. Kempen tersebut bukan sahaja disebarkan melalui poster di media sosial dan di stesen televisyen arus perdana, malah turut dipaparkan untuk tayangan di pawagam bagi memastikan masyarakat secara keseluruhan cakna akan hal ini.

Kewujudan kumpulan Facebook terbabit bukanlah kali pertama aktiviti pedofilia seumpamanya terbongkar di dalam negara. Disember lalu, Ops Pedo menyaksikan penahanan 13 orang lelaki atas kesalahan memiliki pelbagai Bahan Penderaan Seksual Kanak-Kanak (CSAM).

Kemudian pada April lalu, menerusi Ops Cyber Guardian, empat orang lagi ditahan atas kesalahan yang sama. Malah, minggu lalu, seorang penuntut universiti ditahan selepas didapati memiliki lebih 5,000 CSAM termasuklah bahan yang dihasilkannya sendiri dengan melakukan penderaan seksual ke atas dua orang mangsa kanak-kanak berusia empat dan sembilan tahun.

Bahana pedofilia sudah sering dibincangkan. Bayangkan bagaimana 12,000 orang pengguna yang melanggani Grup Budak-budak Sekolah Rendah itu berkelakuan di dunia sebenar. Mustahil perilaku mereka tidak dipengaruhi naluri songsang yang sering mereka tonton di media sosial ketika melayari kumpulan Facebook itu.

Sayangnya masih ramai yang tidak mengambil endah bagi menyekat dan membasmi penularan fenomena sosial yang menjelikkan ini. Antara yang sering dilihat dalam perkongsian di media sosial adalah sifat tidak peduli masyarakat tentang hak privasi kanak-kanak. Ada yang merasakan tindakan memaparkan atau menayangkan gambar kanak-kanak sebagai perkara kecil yang tidak perlu dipertimbangkan dengan lebih matang.

Ada juga ibu bapa yang tidak segan berkongsi gambar anak-anak mereka dalam keadaan mencolok mata, bahkan tanpa pakaian untuk tatapan awam tanpa mengambil kira siapa yang melihat.

Sikap tidak peka masyarakat ini berterusan dalam pada kerangka perundangan sendiri masih belum cukup kukuh bagi membasmi pencerobohan privasi kanak-kanak.

UNDANG-UNDANG
Di bawah Akta Kanak-Kanak 2001 (Akta 611) apa yang ada hanyalah larangan perkongsian gambar atau butiran yang menunjukkan identiti seorang kanak-kanak yang sedang melalui proses perundangan seperti apabila mereka ditahan polis, dibawa ke mahkamah atau ketika sedang menunggu di mahkamah.

Selain peruntukan di bawah Seksyen 85 Akta 611, tiada satu pun peruntukan undang-undang yang menghadkan perkongsian imej, gambar, video atau butiran mengenai seorang kanak-kanak kepada orang awam atas faktor pemeliharaan privasi mereka. Sebaliknya, peruntukan yang ada akan terpakai hanya apabila matriks fakta melihat kepada kesan perkongsian bahan yang mengandungi privasi kanak-kanak itu.

Sebagai contoh, di bawah Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792), Seksyen 4 memperuntukkan larangan terhadap bahan pornografi kanak-kanak yakni sebarang bahan termasuklah imej realistik atau grafik yang memaparkan kanak-kanak melakukan aktiviti seksual. Peruntukan ini jelas bagi membasmi kegiatan pedofilia.

Namun, bagaimana dengan bahan yang menceroboh hak privasi kanak-kanak tanpa melibatkan elemen seksual? Sebagai contoh, tindakan memaparkan imej seorang kanak-kanak berpakaian uniform sekolah lengkap dengan nama dan lencana sekolah, walaupun jelas melanggar privasi kanak-kanak itu tetapi tidak dianggap sebagai kesalahan. Ini kerana isu hak privasi jarang sekali dibicarakan dengan lebih mendalam bagi mengukuhkan undang-undang sedia ada.

Masyarakat masih dibuai arus kemodenan di permukaan tanpa mengimbangi risiko dengan perubahan adab susila bagi memelihara kesejahteraan semua.

Natijahnya keselamatan kanak-kanak dipertaruhkan dan hak privasi sesama ahli masyarakat diperjudikan. Biarpun dunia digital memperkasa kebebasan semua untuk berkongsi apa sahaja, tetapi sebelum terlambat, lebih elok dipersoal dulu: apakah dengan perkongsian di media sosial, kita layak menceroboh privasi orang lain?-UTUSAN

 

PENULIS ialah pengamal undang-undang, Naib Presiden II Perikatan Wanita Antarabangsa untuk Institusi Keluarga & Pendidikan Berkualiti (WAFIQ) dan Ahli Jawatankuasa Pusat Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia (MACSA).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×