PETALING JAYA: Penyertaan Jon Irazabal dan Hector Hevel bersama Johor Darul Ta’zim (JDT) diyakini tidak akan memberi kesan kepada prestasi kedua-dua pemain warisan Harimau Malaya itu.
Ini kerana kemudahan dan fasiliti kelab selatan tanah air itu setaraf dengan kelab luar negara selain dibimbing jurulatih berkaliber dan juga persaingan sengit untuk mendapatkan tempat dalam pasukan.
Pemerhati bola sepak tempatan, Prof Madya Dr Zulakbal Abd Karim berkata, kehadiran dua pemain warisan itu juga mampu memberikan nilai tambah kepada JDT untuk tampil lebih kuat di Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE).
“Kalau kata penampilan bersama JDT akan menyebabkan prestasi Irazabal dan Hevel menurun, saya tidak setuju kerana fokus utama JDT sekarang ialah ACLE dan bukannya saingan Liga Malaysia (Liga M).
“Di Liga M, mereka turunkan pemain simpanan pun boleh menang dan kalau seri atau kalah saya anggap itu sekadar nasib sahaja. Kita kena akui saingan ACLE sangat kuat dan sekarang JDT ada misi di situ.
“Apabila JDT ada bakat hebat, bawa masuk pemain hebat, mereka sudah bersedia dengan program terbaik. Itu yang perlu kita akui kerana mereka adalah pasukan yang luar biasa dan bukan lagi taraf Liga M,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Kelmarin, JDT yang juga juara Liga Super 11 kali berturut-turut memperkenalkan Irazabal dan Hevel sebagai rekrut terbaharu skuad Harimau Selatan bagi mengharungi saingan musim 2025-2026.
Irazabal membuat penampilan sulung bersama Harimau Malaya ketika membantu skuad negara membelasah Vietnam 4-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 10 Jun lalu.
Hevel sudah membuat dua penampilan bersama Harimau Malaya yang mana dia meledak gol ketika penampilan sulungnya untuk membantu skuad negara menewaskan Nepal 2-0 dalam aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Sultan Ibrahim, Mac lalu.
Sebelum ini, Irazabal beraksi bersama kelab Azerbaijan, Sabah FK, manakala Hevel meninggalkan kelab Portugal Portimonense untuk menyertai JDT.
Selain Hevel dan Irazabal, JDT sebelum ini sudah mengumumkan ketibaan Ibrahim Manusi, Jairo Da Silva dan Antonio Glauder untuk saingan musim depan. – UTUSAN










