PETALING JAYA: Johor Darul Ta’zim FC (JDT) dan Kuching City terpaksa melupakan khidmat tiga serta seorang pemain masing-masing selepas penggantungan 12 bulan terhadap tujuh pemain dikekalkan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS).
Perkembangan itu disahkan oleh penganjur Liga Malaysia, Liga Bolasepak Malaysia (MFL) selepas menerima makluman rasmi daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengenai keputusan kes tersebut.
Keputusan itu menyaksikan tiga pemain JDT, iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel serta seorang pemain Kuching City, Gabriel Palmero, tidak dibenarkan beraksi dalam saingan Liga Malaysia sepanjang tempoh penggantungan.
Menurut MFL, hukuman penggantungan 12 bulan itu hanya melibatkan perlawanan rasmi dan tidak menghalang pemain terbabit daripada menjalani latihan bersama kelab masing-masing.
“Pemakluman itu menyatakan tujuh pemain berkenaan tetap dikenakan penggantungan selama 12 bulan namun hanya terpakai untuk perlawanan rasmi dan bukan semua aktiviti berkaitan bola sepak.
“Dengan keputusan ini, tiga pemain daripada JDT yang terlibat iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel dan seorang pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero tidak dibenarkan beraksi dalam Liga M sepanjang tempoh penggantungan terbabit,” jelas MFL.
CAS mendapati bahawa kesalahan memalsukan dokumen kelayakan memang terbukti dan penggantungan 12 bulan daripada bermain perlawanan adalah hukuman yang munasabah serta seimbang bagi tujuh pemain terbabit. – UTUSAN










