POLITIK hari ini tidak lagi berlegar sekitar pertarungan dasar atau ideologi semata-mata. Sebaliknya, ia berevolusi menjadi medan pertempuran naratif.
Ini bermakna mereka yang cekap membentuk persepsi akan menguasai wacana.
Kita sedang berada dalam era yang dikenali sebagai politik pasca-normal, yang mana fakta boleh dipersoalkan, percanggahan nilai dan ketidaktetapan pendirian menjadi kebiasaan.
Konsep politik pasca-normal diperkenalkan penulis dan pengkritik budaya British-Pakistan, Ziauddin Sardar dalam artikelnya Welcome to Postnormal Times (2010). Beliau menggambarkan zaman ini sebagai era yang penuh ketidaktentuan, rumit dan pelbagai nilai yang bertembung.
Dalam landskap politik masa kini, kita menyaksikan kemunculan fenomena sempadan antara yang benar dan palsu, antara prinsip dan strategi menjadi semakin kabur dan sukar dipisahkan.
Ahli sosiologi British, John Urry, menerusi bukunya, Global Complexity (2003), menjelaskan politik hari ini tidak lagi berasaskan struktur tetap atau dikawal satu kuasa dominan. Sebaliknya, ia semakin bersifat dinamik, bercabang dan sukar diramalkan. Ia mencerminkan realiti global yang kompleks dan sentiasa berubah.
Sementara sarjana terkemuka dalam bidang Kajian Sains dan Teknologi, Sheila Jasanoff pula, dalam karya Science and Public Reason (2012), menegaskan apabila sains dan institusi awam kehilangan wibawa epistemiknya (pengetahuan atau cara mengetahui sesuatu perkara) maka, ruang politik tidak lagi dipandu rasionaliti dasar tetapi diisi naratif berasaskan emosi serta persepsi awam.
Akibatnya, rakyat kini terperangkap dalam kabus retorik. Sukar membezakan antara keikhlasan dan kepintaran berpidato (pandai berkata-kata). Janji tidak lagi dianggap sebagai amanah tetapi hanya sebagai alat strategi meraih sokongan
Gabungan politik pula sering berubah mengikut keadaan. Prinsip menjadi semakin longgar kerana keutamaan mereka untuk terus berkuasa. Bila prinsip dikorbankan, ia dikatakan sebagai tanda kematangan. Bila janji dimungkiri, ia dipanggil kebijaksanaan. Apa yang dahulunya dianggap salah, kini dihias dengan alasan — demi kestabilan.
Kebenaran dalam dunia hari ini bersifat relatif, bukan lagi ditentukan kekuatan dalil atau hujah rasional tetapi oleh siapa yang lebih cepat dan berpengaruh menguasai naratif di media sosial.
Dalam era algoritma, siapa yang menguasai garis masa, dialah yang menguasai tafsiran terhadap realiti.
Seperti yang dihujahkan ahli teori politik Belgium, Chantal Mouffe dalam On the Political (2005), politik kontemporari berubah daripada ruang deliberasi rasional kepada gelanggang antagonisme, iaitu pertembungan nilai dan identiti tidak diselesaikan tetapi diurus secara konflik terbuka dalam kerangka demokrasi. Dalam dunia ini, lawan bukan hanya pencabar dasar tetapi ancaman simbolik yang mesti dilemahkan.
Era ini turut dikenali sebagai pascra kebenaran oleh Oxford Dictionaries (2016). Ia adalah zaman yang mana fakta objektif menjadi kurang penting daripada emosi dan kepercayaan peribadi. Ia berlaku apabila algoritma media sosial menyebar retorik lebih cepat daripada pemikiran, persepsi menjadi realiti dan kebenaran menjadi subjektif.
Ahli sosiologi, Charles Derber dalam eseinya, The Quiet Quitting of Democracy (2023) menyatakan rakyat semakin berundur secara senyap daripada arena perbincangan dan sokongan politik. Mereka semakin tidak percaya malah ada yang terus tidak lagi percaya kepada sistem, tidak menjerit atau melawan tetapi memutuskan untuk menjauh. Ia menunjukkan keletihan moral dan institusi terhadap politik yang tidak berubah meskipun retoriknya silih berganti.
Dalam kerangka politik pasca-normal, sifat utama zaman ini iaitu ketidaktentuan, kerumitan, percanggahan dan kekacauan diterjemahkan secara langsung dalam landskap politik.
Ketidaktentuan berlaku apabila ahli politik sering menukar naratif mengikut keperluan, menyebabkan rakyat keliru dan tidak pasti siapa atau apa yang patut dipercayai.
Kerumitan muncul apabila proses dasar melibatkan pelbagai ‘aktor’ dengan kepentingan bertindih dan keputusan dibuat secara tergesa-gesa. Percanggahan menjadi lumrah apabila pemimpin mempromosi nilai tertentu seperti integriti, tetapi pada masa sama terlibat dalam salah laku. Akibatnya, politik menjadi pertarungan naratif dan persepsi, bukan lagi soal prinsip dan isi.
Ruang awam yang sepatutnya menjadi medan perbincangan kini dikuasai populisme dan polarisasi, manakala reformasi digantikan dengan aksi simbolik semata.
Politik berubah menjadi persembahan demi undi dan sokongan segera, sementara keletihan rakyat melahirkan sindrom ‘pengunduran senyap’ daripada sistem yang tidak lagi diyakini.
Dalam suasana ini, kepercayaan kepada institusi semakin merosot dan demokrasi menjadi reaktif, bukan progresif.
ANTARA WACANA NILAI DAN REALITI KUASA
Dalam keadaan ini muncul gagasan Malaysia Madani bertujuan mengembalikan politik kepada nilai-nilai murni. Enam prinsip utamanya iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan membentuk rangka etika untuk dasar awam.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam ucapan di Parlimen pada 13 Februari 2023, menegaskan:
“Kita tidak boleh membina negara atas dasar kebencian, pembohongan dan kerakusan kuasa. Kita mesti bina di atas ihsan, nilai dan adab.”
Untuk mengakar dalam budaya politik, nilai-nilai ini mesti dijelmakan menjadi keberanian bertindak, bukan sekadar kempen.
Dalam tradisi Islam, tokoh intelektual dan sarjana Melayu terkenal, Syed Muhammad Naquib al-Attas, dalam bukunya Islam and Secularism (1993) menegaskan kebenaran dalam Islam bukan hanya soal ketepatan fakta tetapi menuntut keadilan dan pengiktirafan hak sejati.
Lebih penting, kata beliau, ilmu tanpa adab akan melahirkan kekeliruan dalam kepimpinan. Maka, seorang pemimpin yang tidak malu menggadaikan prinsip, walaupun berilmu, tetap gagal dalam etika kepimpinan.
Amaran ini selari dengan pandangan tokoh pemikir Islam terkemuka Prof. Emeritus Tan Sri Dr. Mohd. Kamal Hassan dalam bukunya Voice of Islamic Moderation from the Malay World (2013), menyifatkan krisis politik Melayu-Islam sebagai krisis integriti moral.
Katanya, politik menghilangkan rasa malu terhadap dosa umum dan menjadi persembahan kosong yang hanya berkiblatkan kuasa. Politik yang tidak lagi digerakkan oleh rasa takut kepada Tuhan adalah politik yang kehilangan roh.
Dalam suasana ini, demokrasi tidak akan bertahan dengan undi semata. Ia memerlukan rakyat yang celik nilai dan berani menyoal. Pemimpin yang takut hilang kuasa akan menjual prinsip sementara rakyat yang takut menegur akan membeli kepalsuan. Maka, tanggungjawab menjaga maruah demokrasi bukan hanya di tangan pemimpin, tetapi di hati setiap rakyat.
Kita tidak boleh terus menjadi masyarakat yang memaafkan kerana sudah terbiasa dikhianati.
Demokrasi yang bermaruah menuntut keberanian untuk menolak yang palsu walau dibungkus dengan naratif indah. Nilai mesti menjadi kompas, bukan kosmetik.
Akhirnya, politik pasca-normal bukan alasan untuk berputus asa sebaliknya merupakan ujian keberanian moral dan cabaran untuk berfikir, bertindak dan percaya semula.
Langkah pertama untuk membina masyarakat madani ialah dengan menolak normalisasi terhadap kebatilan. Kerana jika yang salah dibiasakan dan yang benar dipinggirkan, maka kita bukan menuju kemajuan tetapi sedang menyusun langkah ke arah kemerosotan yang ‘disolekkan’ dengan janji kemakmuran.-UTUSAN
PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah daripada Jabatan Sains Politik dan Pengajian Madani, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










