Perkasa mekanisme pemantauan projek infrastruktur awam

Perkasa mekanisme pemantauan projek infrastruktur awam

TIBA masanya kerajaan mengambil langkah proaktif memantapkan mekanisme pemantauan bagi memastikan tiada lagi unsur rasuah dalam projek infrastruktur awam.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PENYIASATAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang mendedahkan penyelewengan dana sukuk untuk pembinaan lebuh raya di Lembah Klang menarik perhatian khalayak dan menimbulkan pelbagai persoalan yang serius berkaitan proses pemantauan terhadap projek infrastruktur awam di negara ini.

Sehingga artikel ini ditulis, SPRM menyita RM143 juta melibatkan antaranya 14 akaun individu berjumlah RM4.5 juta, lapan akaun syarikat (RM33 juta), kondominium mewah dan sebidang tanah (RM24.5 juta) selain anggaran aset luar negara (RM15 juta). Nilai penyitaan ini cukup menggemparkan anggota masyarakat.

Untuk rekod, projek lebuh raya bernilai RM1.67 bilion ini dilaporkan gagal disiapkan dalam tempoh ditetapkan dan siasatan juga menumpukan isu rasuah bernilai RM12 juta yang dibayar kepada pihak tertentu. Bayaran itu sebagai balasan membantu membuat pengaliran wang keluar dan dikembalikan semula kepada suspek kes ini.

Kepincangan dan penyelewengan yang didedahkan ini menimbulkan beberapa persoalan kritikal, antaranya bagaimana penyelewengan membabitkan nilai yang begitu besar boleh berlaku tanpa disedari lebih awal dan apa berlaku kepada mekanisme pemantauan projek kepentingan awam seperti ini?

Ironinya ketirisan dan kepincangan yang berlaku membabitkan pembangunan dan pelaksanaan pelbagai projek infrastruktur berkepentingan awam di negara ini sudahpun menjadi rahsia umum. Misalnya dari semasa ke semasa didedahkan masalah projek perumahan awam yang terbengkalai sehingga kerajaan terpaksa masuk campur dan menyelamatkannya.

Jadi secara umumnya kita perlu sedar betapa projek infrastruktur awam yang bermasalah seringkali mendedahkan kelemahan yang ketara dari aspek pemantauan oleh pihak yang berkuasa. Hal ini dikatakan demikian kerana ia mendedahkan pelbagai ketirisan dari segi amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan sehingga menjejaskan pelaksanaan dan kejayaan sesuatu projek tersebut. Ini akhirnya memberi kesan kepada kesejahteraan rakyat dan pembangunan negara.

Perkara sama juga berlaku dalam pelaksanaan pelbagai program berkepentingan awam yang sepatutnya dilaksanakan untuk kebajikan rakyat tetapi disebabkan kelemahan dalam aspek pemantauan maka akhirnya ada mengambil kesempatan sehingga ia tidak dapat dijayakan atau pelaksanaannya berada pada tahap kualiti rendah.

Kelemahan dalam mekanisme pemantauan dan kawalan sering dikaitkan dengan kelewatan projek, pembaziran, malah penyelewengan yang membebankan rakyat. Maka, sudah tiba masanya untuk kerajaan mengambil langkah proaktif memantapkan mekanisme pemantauan bagi memastikan setiap ringgit dibelanjakan secara telus, cekap dan berkesan.

Justeru, setiap agensi pelaksana yang bertanggungjawab perlu ada unit pemantauan projek atau program yang lebih efektif dan berkesan, yakni boleh bertindak sebagai juruaudit dalam memastikan semua projek serta program dilaksanakan sepenuhnya seperti dirancang sekali gus memberi manfaat optimum kepada kumpulan sasaran.

Dalam konteks sama, proses pemantauan juga perlu memastikan agar projek yang guna dana awam diuruskan dengan baik dan secara telus selain ia disiapkan mengikut tempoh masa digariskan dengan kualiti mengikut spesifikasi ditetapkan. Secara prinsipnya pihak pemantau perlu pastikan apa saja projek yang dilaksanakan dapat memberikan pulangan nilai yang sewajarnya untuk wang yang dibelanjakan.

Dalam hal ini proses pemantauan perlu ada mekanisme yang jelas dan sistematik supaya mampu mengekang, menghalang serta mencegah apa saja unsur kepincangan tadbir urus dan tatakelola seperti tidak menyiapkan projek mengikut spesifikasi dan tempoh masa yang ditetapkan, amalan rasuah, salah guna kuasa dan penyelewengan.

Misalnya pemantauan wajar menggunakan kemudahan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI), dron, sensor, internet kebendaan (IoT) dan blockchain. Penggunaan teknologi boleh membantu memastikan setiap fasa projek dapat direkodkan secara tepat dan tidak diubah sewenang-wenangnya.

Dalam pada itu, banyak juga insiden berlaku seperti walaupun projek dilaporkan siap namun kualiti terus dipertikaikan seperti cepat rosak atau ada banyak kecacatan dan kerosakan umpama indah khabar dari rupa kerana kerja mereka sekadar melepaskan batuk di tangga. Maka, sekali lagi timbul persoalan siapa yang memantau progres kerja dan mengesahkan kerja-kerja yang dilakukan itu sempurna dan memenuhi kehendak spesifikasi ditetapkan? Bila berlaku kejadian seperti ini sudah tentu tanggungjawab pihak pemantau mengundang pertikaian.

Oleh yang demikian, bagi mengelak dari berlakunya kecuaian dan penyelewengan maka integriti dan tanggungjawab pihak yang diamanahkan untuk menjaga dan memantau projek awam perlu diberi penekanan dan perhatian yang sewajarnya.

TANGGUNGJAWAB
Dalam hal ini setiap agensi perlu mengambil tindakan untuk memperkasakan mekanisme pemantauan yang ada. Dalam masa sama perlu pastikan setiap pegawai pemantau sedar kepentingan skop tugas dan fungsi mereka.

Hal ini penting kerana kita tidak mahu pihak agensi atau pegawai pemantau melepaskan tanggungjawab begitu saja setelah menganugerahkan sesuatu projek atau program kepada mana-mana syarikat atau pihak ketiga untuk dilaksanakan. Budaya melepaskan tanggungjawab dikhuatiri menjadi punca utama menyumbang pelbagai kepincangan yang berlaku dalam pelaksanaan sesuatu projek infrastruktur atau program awam.

Kita juga tidak mahu pegawai pemantau bersubahat atau bersekongkol dengan syarikat pelaksana sehingga mengkhianati amanah yang disandarkan kepada mereka. Misalnya, tindakan seperti meluluskan tuntutan bayaran untuk kerja yang tidak dibuat serta mengesahkan penyiapan sesuatu projek walaupun tidak memenuhi kualiti dan spesifikasi yang sepatutnya selepas menerima sogokan daripada syarikat. Ia tidak wajar berlaku kerana akan memberi impak besar kepada rakyat dan negara.

Justeru, pihak yang didapati bersubahat selain cuai dalam melaksanakan tugas perlu dikenakan tindakan dan hukuman yang setimpal. Ringkasnya, tidak boleh ada toleransi dalam soal pengabaian tanggungjawab serta pengkhianatan terhadap rakyat dan negara.

Dalam hal ini, mekanisme pemantauan berasaskan teknologi yang mengurangkan penglibatan dan interaksi manusia mungkin teknik yang wajar dipertimbangkan.

Secara prinsipnya sudah tiba masanya untuk memperkasakan proses dan mekanisme pemantauan terhadap pelaksanaan apa jua projek infrastruktur mahupun program berkepentingan awam supaya setiap kumpulan sasaran memperoleh manfaat yang sewajarnya.-UTUSAN

 

 

PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat) Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×