Pengganti Abdul Hadi mesti dalamkalangan ulama

Pengganti Abdul Hadi mesti dalam kalangan ulama

HASHIM JASIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BARU-BARU ini, tersebar desas-desus Tan Sri Abdul Hadi Awang yang menerajui Pas lebih 20 tahun sejak 2003 bakal berundur daripada jawatannya atas faktor kesihatan.

Timbul persoalan, jika benar Abdul Hadi berundur, maka siapakah calon paling sesuai yang layak mengisi jawatan nombor satu Pas sekali gus bakal membawa era baharu kepada parti Islam itu?

Selepas sekian lama diperkatakan tentang keupayaan golongan profesional, adakah nama-nama seperti Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar dan Datuk Seri Takiyuddin Hassan akan diberi peluang menerajui parti?

Wartawan Utusan Malaysia, MOHD. HAFIZ ABD. MUTALIB dan ASYRAF MUHAMMAD mendapatkan Mursyidul Am Pas, DATUK HASHIM JASIN bagi mengulas perkara tersebut dan pelbagai isu lain khususnya bersempena Muktamar Tahunan Pas ke-71 serta penubuhan ‘payung besar’ oleh Tun Dr. Mahathir Mohamad.

 


UTUSAN: Benarkah dakwaan Abdul Hadi akan berundur sebagai Presiden Pas atas faktor kesihatan?

HASHIM: Tidak dengar, beliau tidak bercakap (untuk berundur) begitu kepada saya. Cuma bulan lepas Abdul Hadi menelefon dan bersembang mengenai sakit yang dihadapinya. Abdul Hadi perlu dipimpin untuk ke majlis, dia sendiri cerita pada saya.

Ahli Pas secara keseluruhannya masih memerlukan kepimpinan beliau walaupun dalam keadaan kesihatannya ketika ini. Doktor juga tidak putus asa ikhtiar.

Dalam keadaan begini, saya rasa ada dalam kalangan ahli berpandangan Abdul Hadi perlu teruskan (tugas sebagai presiden). Kedua, ada yang merasakan beliau perlu berehat memandangkan kesihatannya tidak mengizinkan untuk terus melakukan kerja-kerja berat.

Abdul Hadi memaklumkan pada saya, pada program perkampungan sunnah sebelum ini sepatutnya beliau membentangkan kertas kerja tetapi tidak dapat hadir kerana masuk wad. Walaupun begitu, beliau menulis berpuluh muka ucapan. Dan saya difahamkan pihak penganjur turut mengedarkan ucapannya itu. Walaupun tiada pihak yang ganti beliau berucap tetapi mereka menggunakan penulisannya.

Saya membandingkan dengan diri, kalau saya sakit macam itu, saya sudah tidak mampu tetapi beliau tetap mengikuti kuliah Jumaat.

Kalau ikuti pun, kita nampak fikrah dan cara penyampaiannya tiada beza semasa beliau sihat. Sebab itu, ahli-ahli masih perlukan beliau. Macam mana pun kita perlu buat pertimbangan sewajarnya. Kita tidak meminta beliau berhenti tetapi jika Abdul Hadi mahu melepaskan jawatannya atas faktor kesihatan, saya rasa mungkin kita tidak daya untuk larang.

Memandangkan faktor kesihatan memerlukan beliau untuk banyak berehat, dan sekiranya perlu, maka sebahagian ahli Pas mencadangkan agar memilih presiden dan timbalan presiden dalam kalangan ulama.

 

Jika Abdul Hadi berundur, siapakah calon yang paling sesuai dan layak mengisi jawatan nombor satu Pas?

Kita masih rasa yang paling layak adalah Abdul Hadi. Kalau beliau undur sebab kesihatan, saya rasa syarat pertama orang yang hendak dipilih itu mestilah dalam kalangan ulama yang hakiki. Itu yang paling penting.

Kalau setakat boleh baca kitab, hukum hakam, menguasai pemimpin politik, ini belum cukup meyakinkan kita yang dia dapat memimpin dengan sempurna. Sebab dia (menjadi presiden) bukan sahaja perlu fikir bab hukum tetapi penyesuaian dengan suasana dan keadaan pergerakan politik dalam negara yang sering berubah.

Hanya ulama yang boleh menilai jalan mana harus dipilih jika timbul persoalan seperti itu. Sebab itu perlunya seorang ulama (mengetuai Pas). Ia bukan bererti kita menolak profesional untuk memimpin.

 

Adakah akan memberi peluang kepada pemimpin dalam kalangan profesional mengetuai Pas atau tetap mengekalkan golongan ulama mengetuai kepemimpinan parti?

Bukan bererti kita tolak, cuma yang penting sebab fikrah. Pas ditubuhkan pada 1951, apa yang kita nampak waktu Pas bersama UMNO pada 1946, perlu menunggu selama lima tahun untuk perhati dan melihat hala tuju UMNO untuk kemerdekaan dan sebagainya.

Kenapa Pas ditubuhkan pada 1951? Pas sudah masuk dalam perjuangan kemerdekaan dan ada dasar tetap penubuhan parti ini. Pas semasa dengan UMNO, kita tidak perjuang rukun terpenting dalam politik iaitu pertamanya adalah tauhid, mengesakan Tuhan. Apa guna parti jika tolak Tuhan. Pas tidak boleh terima dari dulu. Kedua, adalah risalah. Risalah itu semestinya diturunkan oleh Tuhan yang satu.

Satu lagi adalah khilafah, ertinya kena buat kerana Tuhan yang satu melalui syariat dan tugas kita melaksanakan apa yang Tuhan suruh. Bila UMNO gagal penuhi tiga tuntutan ini, itu yang menyebabkan Pas ditubuhkan.

Kalau kita perhatikan, Pas tidak pernah lari daripada ketiga-tiga rukun ini walaupun banyak halangan ketika mahu laksanakannya. Tiga rukun ini iaitu tauhid, risalah dan khilafah, kalau kita tidak boleh buat banyak, sikit pun tidak mengapa.

Apa yang kita sudah capai setakat ini jangan hanya dilihat pada apa yang berlaku hari ini tetapi ambil dari 1951, bila mana Pas ketika itu datang dengan membawa dasar politik berasaskan tiga rukun ini.

Pas beri keutamaan pada tarbiah untuk capai matlamat tiga rukun tadi. Jadi, kita sekarang nampak kesannya. Pas tidak hilang 43 kerusi Parlimen kerana dasar mentauhidkan Allah SWT.

Dalam UMNO kalau ‘lari’ masuk PKR, habis berkelahi (bergaduh) tetapi dalam Pas tidak berlaku begitu kerana bai’ah. Keduanya, kalau mahu menjadi calon pilihan raya, syura diberi kuasa memilih calon-calon yang layak bertanding. Setiap kali pilihan raya, seluruh ahli Majlis Syura akan panggil Pesuruhjaya Negeri untuk menetapkan tiga nama bersama kawasan.

Kemudian Majlis Syura juga akan bertanya mengenai latar belakang calon dan dari tiga nama itu, yang layak hanya dua. Dua nama itu kemudian dibawa balik ke negeri dan mereka boleh pilih salah satu daripadanya. Kita lakukan sampai peringkat itu kerana mahu menjaga tauhid. Dalam pada itu, kelemahan masih ada. Kuasa kita juga terhad tetapi yang dituntut oleh Allah SWT itu buatlah semampu yang boleh.

 

Pandangan apabila pemerhati politik melihat sudah tiba masanya Abdul Hadi berundur memandangkan ketika ini Pas berada dalam kedudukan terkuat sepanjang sejarah parti?

Pertamanya, mahu atau tidak, kita masih memerlukan kepemimpinan Abdul Hadi. Terpulang pada tuan badan sejauh mana beliau bersedia. Sebab itu, kita tidak boleh paksa beliau berhenti atau teruskan dalam keadaan sekarang. Ikhtiar berubat itu macam-macam dilakukan. Institut Jantung Negara (IJN) sudah macam rumah beliau pula dan banyak orang yang tolong. Beliau bukan sahaja dialisis tetapi cuci darah dan sebagainya. Kalau saya memang sudah tidak boleh bergerak tetapi beliau masih boleh lagi dan masyarakat juga masih perlukan kepimpinannya.

Kalau tidak boleh guna tenaga, pemikiran beliau masih diperlukan. Kita bukan macam UMNO, kawan ini bakal Perdana Menteri, yang itu lah. Selagi mana kita rasa perlu khidmat beliau dan selagi dirinya sedia, maka kita terimalah.

 

Jika Tuan Ibrahim Tuan Man diangkat sebagai presiden sekiranya Abdul Hadi berundur?

Kita rasa Tuan Ibrahim memenuhi syarat sebagai pimpinan utama. Dan saya juga kenal lama dengan beliau. Kami terlibat dalam satu mesyuarat syura di mana ada beberapa dasar dibincangkan. Kebetulan presiden tidak dapat hadir pada mesyuarat itu kerana masuk wad, jadi Tuan Ibrahim ganti.

Beberapa perkara kita putuskan dan Tuan Ibrahim tidaklah terlibat secara meluas, namun saya boleh lihat jika ditakdirkan presiden berundur, maka insya-Allah beliau boleh.

Sebab dalam Islam kaedahnya begini, kita ambil contoh Saidina Abu Bakar selepas Nabi SAW wafat dan kemudiannya dia dilantik. Lihat kembali ucapan dasarnnya ketika itu. Katanya telah dipilih mengetuai pentadbiran dan menjadi khalifah. Dan dia juga katakan, “aku bukannya yang terbaik dalam kalangan kamu, tetapi jika aku betul, sokonglah aku. Namun jika aku salah, perbetulkan aku.”

Apa maknanya itu? Orang sebegini tidak mengetahui semua perkara tetapi meminta sokongan untuk melakukan perkara yang betul. Kalau tidak betul maka bersama kita betulkan. Jadi, Islam ini jelas. Bagi saya, selama mana pemimpin itu pegang pada dasar itu, maka cukuplah syarat itu.

 

Adakah pemimpin pengganti perlu mempunyai aura seperti Abdul Hadi yang bukan sahaja sebagai tokoh politik di Malaysia tetapi pemimpin berpengaruh di peringkat dunia untuk mengetuai Pas?

Memang kita perlu orang sebegitu tetapi jika tiada, takkan kita nak tinggal ? Kena isi. Walau ada kelemahan, namun kalau berpegang dasar ‘jika tidak betul, tegur’ maka itu akan jadi kebaikan. Sebab itu, saya selalu nampak Allahyarham Tok Guru Nik Aziz (Tan Sri Nik Abdul Aziz Nik Mat) sentiasa rasa bersalah. Misalnya, apabila ada orang ingin beri kereta rasmi Menteri Besar, beliau tidak mahu, sebaliknya menggunakan kereta timbalan.

Beliau juga tidak duduk di kediaman rasmi Menteri Besar sebaliknya menetap di rumah sendiri. Sedangkan beliau berhak. Beliau juga tidak mengambil elaun. Jadi tidak kiralah siapa pun, kalau ada sifat sebegitu memang layak memimpin.

 

Pas bakal berdepan pemilihan parti bersempena muktamar kali ini, apakah jangkaan dan harapan?

Ramai tanya saya, ada pertandingan atau tidak? Saya kata selama ini, Pas tidak pernah buat peraturan presiden dan timbalan tidak boleh lawan. Masa Mat Sabu (Datuk Seri Mohamad Sabu) dulu, semua lawan di Kuala Selangor.

Presiden lawan, timbalan presiden lawan dan Pas tidak larang pun. Kalau parti lain awal lagi tetapkan presiden dan timbalan tidak boleh tanding, biar kekal yang ada sahaja. UMNO pun buat perangai itu dan akibatnya kacau bilau habis dalam parti. Pas tidak larang siapa pun bertanding, cukup syarat, jalan.

 

Jangkaan ada pertandingan dalam pemilihan Pas kali ini?

Saya rasa seperti tiada pertandingan. Kalau yang ada ini tidak tarik diri tetapi selalunya akan ada calon lain yang tarik diri. Contoh, kita ada dua calon presiden, dua calon timbalan presiden yang membolehkan untuk pertandingan.

Tetapi hati kecil saya katakan salah seorang dari dua ini akan tarik diri. Kalau berlaku pun, tiada masalah. Kerana nak berebut kuasa ini agak jauhlah pasal kita letak tauhid sebagai keutamaan. Itulah harapnya. Kalau jadi bertanding juga, terpulanglah, tetapi ia tidak akan membawa kepada perpecahan.

 

Bagaimana melihat kerjasama antara Pas dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu) dalam Perikatan Nasional (PN) ketika ini? Adakah semakin kukuh atau masih ada ruang penambahbaikan boleh dilakukan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-16?

Ada, secara umumnya ada suara yang minta supaya adakan perjanjian yang lebih kemas dalam hubungan Pas dan Bersatu. Sebab macam sekarang ini nampak PN mengutamakan Bersatu. Presiden, dia (Bersatu); timbalan, dia, setiausaha pun, dia. Hanya satu sahaja jawatan bendahari kepada Pas. Adalah kedengaran suara-suara itu dan mungkin pihak atasan sedang berunding untuk memperkemaskan lagi.

Sekarang nampak sangat tidak adil. Jadi kita doalah dan saya ada dengar suara-suara yang minta Pas buat sesuatu.

 

Adakah tahap sokongan Melayu terhadap PN semakin meningkat ataupun tepu dan merosot?

Kalau PN, saya tidak nampak merosot. Walaupun tidak merosot, ia juga tidak naik dan boleh diperbaiki untuk menambah lagi sokongan kepada PN. Sejauh mana benda ini boleh dilaksanakan, tidak tahulah.

 


Sokong ‘payung besar’ kerana penyatuan

 

Pandangan mengenai penubuhan ‘payung besar’ oleh Dr. Mahathir bagi menyatukan bangsa Melayu?

Dasar payung besar ini termasuk dibawahnya ialah seruan supaya kita bersatu. Ini salah satu cara kita nak berpegang teguh pada tali Allah SWT. Kalau ikut yang itu, kita kena sokong tetapi sejauh mana kejayaan konsep ini dapat dihidupkan dalam masyarakat masih tidak nampak lagi dalam ‘payung besar’ ini.

Itu mungkin peringkat awal tetapi sebagai orang biasa, kita tidak boleh tolak sebab matlamatnya ke arah penyatuan.

 

Ada yang membangkitkan penubuhan ‘payung besar’ hanya untuk menyelamatkan parti-parti kecil seperti Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) untuk terus bertanding dalam PRU16?

Tidak kisahlah, itu matlamat masing-masing tetapi dasarnya tidak bercanggah. Kita buatlah, nanti Allah SWT beri pertolongan kepada kita. Itu yang pentingnya.

 

Perlukah penubuhan ‘payung besar’ ini sedangkan orang Melayu sudah mempunyai wadah iaitu Pas atau PN dan selebihnya UMNO?
Saya rasa kita tidak boleh berpuas hati dengan perpaduan yang ada sekarang kerana masih tidak cukup. Ia perlu kepada memperkuatkan, membetulkan dan memperkemaskan lagi perpaduan ini.

Atas dasar itu, semua usaha ke arah perpaduan ummah, kita kena sokong. Ada pun yang khianat, kita serah kepada Allah SWT.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×