SEMASA mengunjungi penulis veteran, M. Mahendran di Bentong, Pahang pada April lalu, saya terkejut dan teruja melihat beberapa pohon kanikonna (pokok pancuran emas) berbunga lebat di luar pangsapurinya.
Apabila saya pergi semula ke sana sempena Permukiman Penulisan Kavyan pada hujung minggu lalu, beberapa pokok itu masih berbunga, walaupun tidak lebat.
Sebagai individu keturunan Malayali, saya gembira melihat pokok kanikonna di Malaysia. Pada Mei lalu, saya turut berpeluang melihat pokok itu di sekitar Subang Jaya, Selangor.
Nama saintifiknya ialah Cassia fistula dan merupakan bunga rasmi bagi Kerala, India. Malah, ia juga pokok dan bunga kebangsaan bagi Thailand sejak 2001.
Bunga kanikonna berasal dari negara India dan dikenali dengan pelbagai nama di sana. Misalnya, konrai dalam bahasa Tamil, amaltas (Hindi dan Urdu), sonalu (Bengali), rela (Telugu), garmalo (Gujarati), bahava (Marathi) dan kakke (Kannada).
Nama-nama dalam bahasa Sanskrit pula termasuk suvarna bhushana, aragwadha, shampaka, chaturangula, arevata, suvarnaka, kritamala, pragraha, amaha, arogyasimbi, kushtasudana, vyadhighata dan jvarantaka.
Dalam bahasa Sinhala di Sri Lanka, ia dikenali dengan nama ehela sementara di Thailand sebagai ratchaphruek, dok khoun di Laos dan tengguli di Indonesia.
Nama lazim dalam bahasa Inggeris ialah golden shower, Indian laburnum dan purging cassia.
Bagi masyarakat keturunan Malayali, bunga kanikonna dengan lima kelopak kuning sangat istimewa kerana dikaitkan dengan sambutan Vishu iaitu tahun baharu. Secara kebetulan, pokok ini berbunga lebat pada bulan April menjelang sambutan Vishu.
Namun begitu, sebagaimana turut dilaporkan di The Times of India (12 April 2017), perubahan iklim dunia menyebabkan musim pohon kanikonna berbunga sudah tidak dapat diduga.
Bunga ini sangat berkait rapat dengan sambutan Vishu oleh komuniti Malayali di seluruh dunia.
Bunga kanikonna merupakan salah satu unsur penting dalam penyediaan Vishukani yang dijadikan objek pertama dilihat pada pagi tahun baharu.
Selain daripada beras, kelapa, vaalkannadi (cermin), lampu tradisional, thiru udayada (kipas tangan) dan patung Dewa Vishnu, Vishukani tidak lengkap tanpa barangan berwarna kuning keemasan seperti lemon, nangka, mangga, pisang, nanas, kanivellari (timun kuning) dan bunga kanikonna.
Bagi negara di mana bunga kanikonna sukar didapati, orang Malayali akan menggantikan dengan bunga lain yang berwarna kuning keemasan. Namun begitu, atas permintaan tinggi daripada komuniti Malayali di luar negara, bunga kanikonna segar turut dieksport dari Kerala ke luar negara sejak beberapa tahun lalu.
Antara negara itu ialah Emiriah Arab Bersatu, Kuwait, Oman, Qatar, Bahrain, Arab Saudi, United Kingdom, Kanada, Jerman dan New Zealand. Malah, turut dijual di beberapa kedai di Brickfields, Kuala Lumpur menjelang Vishu setiap tahun.
Anak dan isteri saya akan membeli beberapa jambak atau untaian, menyimpannya di dalam peti sejuk, menggunakannya bagi Vishukani dan kemudian meletakkannya di dalam uruli (bekas tembaga) berisi air supaya kekal segar selama hampir seminggu.
BUNGA PLASTIK TIDAK SAMA
Sekarang ini memang sudah ada bunga kanikonna plastik dijual kerana bunga asli sukar dicari. Namun begitu, bunga kanikonna asli yang segar merupakan nostalgia yang mungkin hanya difahami komuniti Malayali.
Walaupun lahir, membesar dan menjadi anak jati Malaysia, orang Malayali tetap tidak mahu melupakan identiti, jati diri dan tradisi nenek-moyang. Maka, seboleh mungkin, sambutan perayaan seperti Vishu dan Onam serta seni persembahan seperti Kathakali dan Mohinayattam dipertahankan.
Maklumat mengenai budaya tradisi ini dihuraikan dalam buku Mandala Bicara (2016) supaya generasi muda Malayali khasnya dan masyarakat pelbagai kaum di Malaysia amnya dapat memahami dan menghayati kesemuanya.
Bagi pokok kanikonna, walaupun ia berasal dari negara India (Asia Selatan), ternyata iklim dan tanah di Malaysia (Asia Tenggara) sangat sesuai untuknya.
Namun begitu, tidaklah mudah untuk menanamnya di rumah, khususnya jika tinggal di pangsapuri atau rumah dengan halaman terhad.
Pokok ini boleh membesar setinggi 10 hingga 20 meter. Ia tumbuh subur di iklim topika dan berbunga lebat pada musim panas (April-Mei). Pokok ini berbunga dalam bentuk untaian yang terjuntai.
Sepanjang tahun, pokok ini berdaun hijau. Apabila tiba musim berbunga, hampir keseluruhan pokok itu kelihatan seperti dipenuhi bunga berwarna kuning keemasan yang terjuntai dan beralun ditiup angin.
Dalam bidang perubatan ayurveda tradisional, pelbagai bahagian pokok ini seperti bunga, daun, buah (benih), kulit dan akar digunakan bagi mengubati pelbagai penyakit termasuk demam, penyakit kulit dan sembelit.
Perubahan iklim dunia yang tidak menentu sejak lebih sedekad lalu dikatakan menjadi punca pokok ini berbunga secara tidak menentu. Malah, di Kerala dilaporkan berbunga sebelum dan selepas musim sambutan Vishu.
Kesukaran mendapatkan bunga segar dan ditambah pula dengan kos mengeksport yang tinggi menyebabkan ramai orang Malayali di luar India beralih menggunakan bunga-bunga lain sebagai alternatif.
Malah, menurut laporan media di negara India, sejak beberapa tahun lalu, bunga kanikonna plastik semakin mendapat sambutan. Selain harga yang jauh lebih murah, ia juga boleh didapati sepanjang tahun.
Namun begitu, tentulah bunga plastik tidak akan dapat mengatasi keseronokan memetik dan menghiasi Vishukani menggunakan bunga kanikonna segar dan asli.
Pada April lalu, saya membawa pulang beberapa lenggai atau biji benih dari Bentong untuk disemai di dalam pasu di rumah. Tentulah apabila tumbuh nanti, dahan pokok perlu sentiasa dipangkas bagi memastikan saiz pokok kekal seperti pokok bonsai.
Semoga menjelang sambutan Vishu pada masa akan datang, kami sekeluarga berpeluang memetik bunga kanikonna dari pohon bonsai itu untuk menghasilkan Vishukani.-UTUSAN
PENULIS ialah pengasas Pertubuhan Sasterawan Kaum India (Kavyan).










