SITUASI geopolitik dunia yang semakin tidak menentu memberikan kesan mendalam terhadap keamanan sejagat dan kestabilan ekonomi global.
Bagi warga yang terperangkap di kawasan bergolak, kehidupan mereka bagaikan telur di hujung tanduk, sentiasa terancam dan penuh ketidakpastian. Keamanan dunia yang dahulunya sering dipandang enteng, kini terasa amat rapuh dan mudah tergugat.
Baru-baru ini, konflik berdarah selama 12 hari antara Iran dan Israel mencetuskan ketegangan yang semakin memburukkan keadaan di Asia Barat. Impaknya tidak hanya dirasai rakyat kedua-dua negara terbabit, malah turut menggoncang kehidupan masyarakat di seluruh dunia.
Setiap kali tercetusnya peperangan, penderitaan pasti menjadi bayangan yang tidak terelakkan. Golongan paling teruk terjejas ialah kanak-kanak dan warga emas. Lebih membimbangkan, keadaan menjadi semakin parah bagi mereka yang mempunyai masalah kesihatan serius.
Bagi kanak-kanak yang tidak pernah berhadapan suasana peperangan, bunyi ledakan bom dan melihat kerosakan, sudah cukup memberi trauma kepada mereka. Apatah lagi jika insiden itu berlaku di hadapan mata.
Kanak-kanak tidak memilih untuk berperang. Mereka mangsa yang terheret ke dalam kancah pertembungan kuasa di antara para pemimpin yang sepatutnya melindungi mereka.
Isu kemanusiaan ialah isu sejagat yang melangkaui bangsa, agama dan keturunan. Maka, ia harus ditangani secara adil dan saksama tanpa mengira asal usul mereka.
Lihat sahaja nasib kanak-kanak mangsa peperangan di Gaza, serta mereka yang terperangkap di kem-kem pelarian dan kawasan bergolak lain, kehidupan mereka begitu menyedihkan. Dalam suasana gawat dan serba daif , aspek emosi mereka sering terabai tanpa perhatian sewajarnya. Begitu juga dengan hak untuk mendapat pendidikan dan pembinaan sahsiah diri.
Sampai bilakah dunia sanggup melihat kanak-kanak menjadi mangsa perang dan hidup menderita? Negara-negara kuasa besar yang kaya raya harus memainkan peranan yang lebih besar bagi menangani keadaan ini.
Dalam masa sama, negara-negara kecil juga tidak boleh berdiam diri, sebaliknya memainkan peranan yang signifikan dalam menangani isu global. Meskipun suara mereka mungkin lemah jika bersendirian, namun melalui kerjasama dalam blok yang lebih besar seperti ASEAN atau gabungan negara-negara selatan global, kekuatan kolektif dapat digembleng untuk membawa perubahan yang lebih bermakna di peringkat antarabangsa.
Malaysia sebagai sebuah negara kecil yang mengamalkan dasar berkecuali, ke hadapan dalam soal mencari jalan penyelesaian kepada konflik dunia, baik di rantau Asia mahupun di mana sahaja. Pendekatan kita berdasarkan prinsip berhemah melalui jalan diplomasi.
Malah, sejarah membuktikan negara berjaya bebas daripada campur tangan kuasa British tanpa melibatkan peperangan dan pertumpahan darah. Tunku Abdul Rahman Putra Al-Haj berjuang secara bijaksana dan berhemah, walaupun ada golongan yang tidak berpuas hati dan mahukan kita berjuang dengan cara mengangkat senjata.
Inilah pendekatan kita — kerana kita adalah bangsa yang beradab, berbudi pekerti, bertamadun serta menjunjung kebijaksanaan. Andai setiap permasalahan diselesaikan dengan kekerasan, kerakusan dan kekuatan senjata semata-mata, maka kehancuran dunia hanyalah menanti masa.
Dengan kecanggihan senjata, dunia akan musnah menjadi padang jarak padang tekukur dalam sekelip mata jika semua pihak mahu berperang.
Dalam keadaan keamanan dunia yang sangat mencabar ketika ini, kita harus sentiasa bersiaga dan mengukuhkan kekuatan dalam negara. Hal asas seperti penghasilan makanan yang mencukupi mesti dijadikan agenda penting oleh pihak berwajib.
Kerajaan harus bekerja keras bagi memastikan negara mampu menghasilkan makanan sendiri tanpa perlu terlalu bergantung iimport. Pertanian bandar secara moden harus diberi perhatian serius dengan langkah-langkah praktikal yang berkesan.
Pemimpin dipilih untuk memakmurkan kehidupan rakyat dan bukannya untuk berpolitik tanpa henti siang dan malam bagi mendapatkan kuasa yang lebih besar. Setiap wakil rakyat, termasuk pemimpin pembangkang mesti membuktikan kebolehan masing-masing di kawasan serta negeri yang dipimpin.
Kuasa yang ada harus digunakan untuk kebaikan dan membina negara, bukannya untuk meruntuhkan asas negara yang terbina selama ini demi kepentingan diri. Jika setiap wakil rakyat mengotakan janji mereka, hidup rakyat akan terbela.
Dalam negara yang mengamalkan sistem pemerintahan raja berperlembagaan, kesetiaan rakyat seharusnya diberikan kepada raja dan negara, bukannya kepada pemimpin politik. Namun, kita mempunyai tanggungjawab untuk menghormati mereka sebagai pemimpin negara.
Berlaku adillah kepada pemimpin seperti mana mahu mereka berlaku adil kepada kita. Kita semua memikul tugas dan tanggungjawab masing-masing yang mesti ditunaikan. Selesaikan tanggungjawab kita dahulu sebelum mencari kesalahan orang lain.
Kita semua mengimpikan sebuah kerajaan yang sempurna. Kita mahukan pemimpin yang prihatin, mendengar keluh kesah rakyat dan mampu mencari penyelesaian kepada semua masalah. Namun, kita juga harus berpijak di bumi yang nyata. Amat malang jika kita hanya menuntut hak tanpa mahu menyumbang kepada negara.
Mengkritik biarlah membina dan dilakukan secara beradab. Sikap kasar dan tidak beradab bukan menandakan kita lebih hebat daripada orang lain. Perbuatan melanggar undang-undang salah dan bukannya perbuatan yang harus dibanggakan serta mahu dijadikan teladan.

PEMERKASAAN BELIA
Perjuangan ke arah pemerkasaan belia seharusnya datang daripada keikhlasan untuk membawa kebaikan. Kita harus jelas tentang asas perjuangan dan apa yang mahu diperjuangkan. Pemerkasaan belia bukan bermakna memberikan kita kuasa untuk membuat tuntutan, bebas melakukan apa sahaja atas nama perjuangan serta beretorik tentang itu dan ini, namun tiada idea penyelesaian yang boleh diguna pakai.
Belia harus diperkasakan daripada sudut akal kerana kuasa tanpa kebijaksanaan hanya akan memusnahkan kita. Perjuangan mesti berlandaskan prinsip yang betul dan bukannya membawa cara anarki yang jelas bertentangan dengan prinsip negara dan agama.
Kita semua mempunyai pandangan yang berbeza, namun jangan biarkan ideologi politik dan sikap taasub mendorong bertindak melangkaui batas undang-undang.-UTUSAN
Dalam dunia politik, menyokong dan membenci biarlah secara berasas, waras dan wajar.
PENULIS ialah pelajar Ijazah Sarjana Muda Sains Politik di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










