TAHUN 1450 iaitu pertengahan abad ke-15, tukang emas Jerman, Johannes Gutenberg memperkenalkan mesin cetak di Eropah, inovasi yang akhirnya mengubah landskap ilmu pengetahuan di seluruh benua.
Buku-buku yang dahulunya eksklusif dan mahal kini boleh dimiliki ramai, memacu ledakan literasi, pendidikan dan kemajuan sains.
Namun, dalam empayar Uthmaniyyah yang ketika itu berada di puncak kuasa dan budaya, satu keputusan mengejutkan diambil, larangan penggunaan mesin cetak selama hampir 300 tahun.
Hanya pada 1727 barulah kilang cetak pertama didirikan di wilayah tersebut. Pada detik penting dalam sejarah manusia, Gutenberg mencipta ‘mercu tanda’ peradaban moden, mesin cetak.
Inovasi ini bukan sekadar alat tetapi pemangkin peralihan paradigma ilmu, yang mengubah struktur sosial, membebaskan wacana dan menyuburkan semangat renaisans Eropah.
Kegelisahan itu sebenarnya bersumber dari rasa tanggungjawab terhadap maqasid syariah dan kelestarian adab keilmuan. Namun, yang terlepas pandang ialah kebijaksanaan untuk menstrukturkan teknologi dalam acuan Tauhidik, bukan menolaknya bulat-bulat.
GELOMBANG TEKNOLOGI BAHARU
Hari ini, kita berdiri di ambang gelombang perubahan lain yang lebih subtil dan menyeluruh dengan ledakan kecerdasan digital menyamari sebagai bijaksana. Ia ‘menggoda’ kita dengan kecekapan, membuai dengan keselesaan dan menggantikan banyak fungsi manusia, dari pena hingga pemikiran.
Kita pun terdengar gema keresahan yang mirip zaman silam: “Apa jadi pada intelektual jika segalanya dikerjakan secara automatik?”. “Mana roh dan nilai dalam karya yang dihasilkan tanpa peluh?”. “Apakah makna lagi ‘usaha’ jika semuanya ‘diberikan’ oleh algoritma?”. “Apa nasib daya cipta, daya juang dan daya fikir generasi pewaris?”
Semua ini bukan keluhan picisan. Ia jeritan moral daripada hati, rasa belum reda menerima era baharu yang tidak menunggu persetujuan kita. Ia bukan tentang menolak atau menerima. Soalnya, bagaimana membentuk teknologi. Untuk itu, kita memerlukan kerangka yang bukan sekadar canggih, tetapi berakar dalam nilai.
TAUHIDIK DALAM TEKNOLOGI
Sebagai institusi yang diasaskan atas prinsip Tauhidik dan aspirasi Kecemerlangan Ummatik, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) menolak dikotomi palsu antara tradisi dan inovasi.
Kami tidak melihat teknologi sebagai ancaman tetapi amanah yang harus dipandu dengan niyyah, ihsaan dan juhd, tiga tiang seri dalam etika Tauhidik.
– Niyyah (kejernihan tujuan: Segala alat, secerdas manapun ia, menjadi sia-sia tanpa arah tuju lurus.
– Ihsaan (estetika dan mutu amal): Dalam kerangka Tauhidik, keunggulan bukan ukuran prestasi semata. Ia melibatkan adab, keindahan dan kesungguhan dalam menyampaikan sesuatu seolah-olah kita melihat Tuhan. Maka teknologi, jika digunakan, mesti mencerminkan seni membuat dengan rasa tanggungjawab kepada Yang Maha Melihat.
– Juhd (tarbiah usaha): Usaha bukan beban tetapi sekolah jiwa. Teknologi yang merampas ruang berusaha sebenarnya merompak proses tazkiyah, penyucian diri yang hanya tumbuh dalam usaha, sabar dan istiqamah. Kita harus memanfaatkan alat tetapi jangan menggadaikan kemanusiaan.
Bayangkan para sarjana Uthmaniyyah dahulu bersetuju menggunakan mesin cetak bagi ilmu umum dan tetap mempertahankan manuskrip khat untuk mushaf dan karya adab.
Mungkin dunia Islam hari ini akan menjadi pusat intelektual global, bukan sekadar penerima teknologi asing.
Kita masih diberi ruang untuk memilih, sama ada mengulangi tragedi lama atau bangkit dengan paradigma baharu menggabungkan spiritualiti, sains dan nilai insani. Kita mesti keluar daripada sindrom keterbelakangan yang berpunca daripada kegagalan mentauhidkan inovasi.
UIAM percaya, tamadun tidak dibina dengan alat tetapi dengan nilai yang mengawal alat.
Maka manusia perlu kembali menjadi subjek, bukan objek dalam sejarah teknologi.
Dan ketika dunia mengangkat teknologi sebagai ‘tuhan’ baharu, kita sebagai umat Islam mesti tampil bukan sebagai penonton atau kalkulator untung-rugi semata tetapi sebagai pengarah, dengan kompas Tauhid.
PUSTAKAWAN PENJAGA TAMADUN
UIAM tidak boleh menjadi institusi pengikut dalam menghadapi ledakan kecerdasan buatan (AI). Ia mesti memimpin dengan hikmah, integriti dan strategi. Namun, dalam kepimpinan ini, sering terlepas pandang peranan pustakawan.
Sempena Hari Pustakawan pada 6 Jun lalu, elok kita mengangkat semula martabat penjaga ilmu ini bukan sekadar sebagai penyimpan buku, tetapi sebagai penyaring nilai, pemudah cara ilmu dan penjaga sempadan epistemologi ummatik.
Di UIAM, peranan strategik ini dipacu Perpustakaan M. Kamal Hassan yang bukan sekadar pusat pengumpulan khazanah ilmu dari pelbagai tamadun, tetapi juga sebagai pemangkin integrasi teknologi dalam pendidikan tinggi Islam.
Perpustakaan ini menggerakkan inisiatif pencarian pintar, sistem pengurusan sumber digital dan sokongan literasi maklumat berasaskan nilai Tauhid.
Pustakawan bukan sahaja membantu cara menggunakan pangkalan data tetapi melatih pelajar untuk berfikir secara kritikal, menilai sumber secara objektif dan menulis dengan nilai yakni berilmu dan beradab. Inilah peranan pustakawan abad ke-21 untuk melatih manusia menjadi pengguna teknologi yang bukan sekadar canggih, tetapi juga mukhlis dan muhsin.
AI bukan pengganti manusia, tetapi alat bantu yang perlu diikat dengan niat yang benar, dikendalikan dengan kecekapan dan kesungguhan serta dimanfaatkan melalui usaha yang berterusan.
Prinsip-prinsip inilah yang membimbing pendekatan dalam memastikan teknologi sentiasa berada di bawah kendalian nilai, bukan menjadi penentu nilai.
Ertinya, teknologi harus tunduk kepada Rabb, bukan sebaliknya.
Seandainya mesin cetak dahulu ditakuti kerana disangka akan mencemarkan al-Quran, jangan pula kita takut pada teknologi hari ini lalu membiarkan umat Islam menjadi pengguna pasif. Mereka mesti menjadi pembentuk algoritma, bukan sekadar pengikut trend digital. Umat yang berjaya ialah yang mampu menakluk alat, tanpa diperhambakan oleh sistem.
Peranan pustakawan amat kritikal kerana mereka menjadi jurubahasa antara manusia dan maklumat, antara teks dan konteks, antara data dan nilai. Ini kerana mereka penjaga maqasid ilmu.-UTUSAN
PENULIS ialah Pustakawan Kanan, Ketua Unit Maklumat Sains dan Teknologi, Bahagian Sokongan Pembelajaran, Pustakawan Perhubungan untuk Kulliyyah Seni Bina dan Reka Bentuk Alam Sekitar serta Kulliyyah Teknologi Maklumat dan Komunikasi, Perpustakaan M. Kamal Hassan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).










