Adakah kita sedang melihat pendidikan kebangsaan melemah?

Adakah kita sedang melihat pendidikan kebangsaan melemah?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM isu Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) ini, sebenarnya kita sudah lama hilang plot.

Perdebatan terlalu sibuk berkisar tentang siapa menang politik, siapa lebih inklusif, siapa anti siapa dan siapa mendapat akses ke universiti. Sedangkan persoalan paling besar semakin tenggelam iaitu apakah tujuan sebenar pendidikan nasional?

Perdebatan kembali hangat apabila kerajaan membuka laluan kepada lepasan tahfiz, sekolah swasta dan sekolah menengah persendirian Cina/UEC untuk memohon program tertentu di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dengan syarat tertentu termasuk memiliki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) penuh atau memenuhi keperluan bahasa Melayu dan Sejarah yang diperakui Kementerian Pendidikan (KPM).

Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menegaskan langkah itu bukan pengiktirafan rasmi UEC, sebaliknya pendekatan integrasi strategik. Namun di sinilah kita mula kehilangan plot kenegaraan.

Isu sebenar bukan lagi soal teknikal kemasukan universiti semata-mata tetapi sama ada negara masih benar-benar melihat pendidikan sebagai projek pembinaan bangsa atau sekadar ruang kompromi politik dan prasarana pendidikan.

Hujah yang sering digunakan untuk mempertahankan UEC ialah graduannya cemerlang, diterima universiti luar negara, fasih pelbagai bahasa dan mempunyai nilai ekonomi tinggi.

Semua itu mungkin benar. Namun itu ialah hujah pasaran, bukan kenegaraan.

Hujah pasaran melihat pendidikan sebagai alat mobiliti ekonomi. Selagi pelajar berjaya memasuki universiti dan memperoleh pekerjaan, maka sistem itu dianggap berjaya tetapi negara dibina melalui imaginasi kebangsaan yang dikongsi bersama.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan (FPK) sepatutnya menjadi sistem operasi pendidikan negara. Sekolah boleh pelbagai, pendekatan boleh berbeza dan teknologi boleh berubah akibat kecerdasan buatan (AI) tetapi sistem operasi kenegaraan mesti tetap sama dengan bahasa kebangsaan, pengalaman bersama, naratif negara dan pembentukan identitas nasional.

Persoalan lebih besar ialah sama ada sistem pendidikan negara masih benar-benar menjadi ruang pengalaman bersama dalam membina bangsa Malaysia. Hal ini kerana ekosistem pendidikan tidak hanya terbentuk melalui sistem operasi semata-mata tetapi turut dipengaruhi bahasa harian di sekolah, budaya institusi, interaksi sosial, pengalaman bersama serta falsafah pendidikan yang membentuk cara generasi muda memahami negara dan hubungan mereka dengan masyarakat lain.

Bangsa tidak dibina melalui peperiksaan semata-mata, sebaliknya melalui pengalaman pendidikan bersama, akhirnya melahirkan imaginasi nasional yang sama.

BELAJAR DARI JEPUN

Memang benar Jepun bukan negara majmuk. Namun kerana Malaysia lebih kompleks dari segi kaum, bahasa dan identiti, maka keperluan terhadap sistem pendidikan nasional yang kukuh menjadi lebih penting.

Jepun memahami pendidikan bukan sekadar untuk menghasilkan pelajar pintar atau cekap tetapi membina warga Jepun.

Kurikulum nasionalnya jelas. Bahasa Jepun menjadi teras. Pendidikan moral dan tanggungjawab sosial diberi penekanan sejak kecil. Pelajar dibentuk dengan imaginasi kebangsaan yang sama walaupun datang daripada latar wilayah dan kelas sosial berbeza.

Maksudnya, Jepun bukan sekadar membina sistem pendidikan. Jepun membina bangsa melalui pendidikan. Kekuatan Jepun bukan sekadar pada teknologi atau ekonominya. Akar sebenar kekuatan Jepun ialah sistem pendidikan yang berjaya membentuk satu bangsa dengan bahasa bersama, budaya bersama dan imaginasi nasional yang dikongsi bersama.

Sedangkan di Malaysia, kita terlalu lama kalah dengan permainan politik kepartian dan sentimen kaum sehingga terlupa tujuan asal pendidikan nasional iaitu menyatukan bangsa.

Akhirnya pendidikan tidak lagi dilihat sebagai ruang membina kebersamaan tetapi medan mempertahankan identiti kelompok masing-masing. Lebih parah, kita sendiri yang menjadikan pendidikan semakin memecah-belahkan masyarakat.

 

PENDIDIKAN perlu menyatukan rakyat dan membina masa hadapan negara secara bersama.

KURIKULUM KEBANGSAAN MAKIN HILANG AUTORITI?

Secara teknikal mungkin tiada pengiktirafan rasmi diberikan kepada UEC tetapi dari sudut falsafah pendidikan, semakin banyak pengecualian dan laluan alternatif dibuka, semakin longgar kedudukan kurikulum kebangsaan sebagai pusat graviti pendidikan negara.

Sedikit demi sedikit, mesej yang terbentuk ialah rakyat tidak lagi perlu benar-benar berada dalam arus pendidikan nasional untuk tetap menikmati simbol utama sistem negara iaitu IPTA.

Inilah kebimbangan paling besar yang ramai enggan bincang secara jujur kerana lama-kelamaan, masyarakatakan mula bertanya, jika akhirnya semua laluan mendapat pengiktirafan dan akses yang hampir sama, mengapa perlu lagi berada dalam sistem kebangsaan?

Inilah titik mula apabila sistem pendidikan nasional perlahan-lahan kehilangan autoriti moral dan simboliknya.

Masalahnya bukan sekadar UEC tetapi negara semakin mengendurkan keyakinannya sendiri terhadap sistem operasi pendidikan nasional yang dibina sejak merdeka.

Inilah sebenarnya isu kenyataan “jangan politikkan pendidikan”. Seruan itu kedengaran baik tetapi tidak sepenuhnya jujur. Ini sendiri ialah keputusan politik.

Maka meminta rakyat jangan mempolitikkan isu ini hanyalah jalan mudah untuk memadamkan kebimbangan yang sah terhadap masa hadapan pendidikan kebangsaan.

Lebih membimbangkan adalah akhirnya menang bukan semestinya pendidikan negara. Yang menang ialah pihak yang memperoleh ruang baharu dalam sistem, sementara kurikulum kebangsaan semakin kehilangan kedudukan sebagai pusat graviti pembinaan bangsa Malaysia.

Jika setiap keputusan politik tentang pendidikan hanya menambah laluan baharu tanpa memperkukuh pengalaman pendidikan bersama, maka ia tidak menyumbang kepada penyatuan bangsa sebaliknya hanya menjadikan sistem semakin longgar, berlapis dan sukar dipertahankan sebagai sistem pendidikan kebangsaan yang benar-benar membina bangsa Malaysia.

Lebih membimbangkan, ketika dunia bergerak pantas menghadapi AI dan persaingan tamadun baharu, Malaysia masih tersangkut dalam perbahasan asas tentang bahasa, kurikulum dan identiti nasional.

Selepas hampir 70 tahun merdeka, Malaysia masih sibuk menambah aplikasi pendidikan, sedangkan sistem operasi negara masih diperdebatkan.

Sementara Jepun sejak lama sudah jelas tentang sistem operasi pendidikan nasionalnya, membina satu bangsa, bahasa kebangsaan dan imaginasi kenegaraan melalui pendidikan.

Adakah kehilangan plot kenegaraan yang semakin jelas ini akhirnya menjurus terkuburnya Dasar Pendidikan Kebangsaan?

Bukan semestinya terkubur secara rasmi, lebih bahaya jika secara perlahan apabila kurikulum kebangsaan semakin kehilangan autoriti dan pendidikan tidak lagi menjadi ruang utama membina bangsa Malaysia.

Dasar Pendidikan Kebangsaan tidak perlu dimansuhkan untuk mati. Ia cukup dibiarkan hilang roh, hilang kuasa dan hilang kepercayaan sebagai asas pembinaan bangsa.-UTUSAN

 

PROFESOR Dr. Zainal Abidin Sanusi ialah Felo Penyelidik, Pusat Kajian Malaysia University Soka, Tokyo.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN