Institusi pengajian tinggi pacu transformasi digital

Institusi pengajian tinggi pacu transformasi digital

SIDANG Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China 2025 pada 27 Mei lalu membuka lembaran baharu bagi institusi pengajian tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam mempersiapkan generasi masa hadapan dan memperkuat daya saing ekonomi serantau.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SIDANG Kemuncak ASEAN-Majlis Kerjasama Teluk (GCC)-China 2025 pada 27 Mei lalu menjadi titik penting dalam peranan digitalisasi dan tadbir urus inklusif sebagai pemacu utama pertumbuhan ekonomi serantau.

Malaysia menonjolkan komitmen kukuh melalui pembangunan strategik yang memanfaatkan teknologi kecerdasan buatan (AI), tenaga hijau dan inovasi dalam industri halal, selaras dengan agenda kerjasama ekonomi serantau.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, menyatakan perkembangan pelaburan mencerminkan peningkatan keyakinan jangka masa panjang terhadap kestabilan rantau ini.

Beliau juga menegaskan hubungan strategik antara ASEAN, China dan negara-negara GCC memperkukuh integrasi ekonomi serta membuka jalan bagi inovasi teknologi serta pembangunan infrastruktur mampan.

Dalam konteks ini, kerjasama subwilayah seperti Brunei-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) memainkan peranan penting, terutama dalam memanfaatkan pendigitalan dan inovasi sebagai pemacu utama.

Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, menyatakan pembangunan BIMP-EAGA bukan sahaja menawarkan peluang ekonomi besar dalam memupuk pertumbuhan intra-perdagangan, tetapi juga memberi platform kepada integrasi teknologi digital.

Pendigitalan dalam perdagangan rentas sempadan dapat mempercepatkan aliran maklumat, meningkatkan kecekapan logistik dan membuka peluang baharu bagi inovasi teknologi dalam sektor pertanian, pelancongan dan perkhidmatan.

Dengan pendekatan ini, BIMP-EAGA bukan sahaja mampu mengurangkan kebergantungan kepada pasaran luar, tetapi juga memperkukuh daya saing ekonomi Asia Tenggara sebagai blok ekonomi yang lebih berdikari dan berdaya tahan.

Ketua Audit Negara, Datuk Seri Wan Suraya Wan Mohd. Razi, menekankan ASEAN perlu tampil sebagai blok tadbir urus yang berfokus dan inklusif. Beliau menyeru kerjasama dalam inovasi tadbir urus digital untuk mengenal pasti ketirisan dan meningkatkan keberkesanan penyampaian perkhidmatan.

Kerjasama strategik dalam industri halal dan tenaga hijau juga menjadi tumpuan. Malaysia, dengan sokongan China, mengambil langkah strategik memanfaatkan AI untuk meningkatkan keberkesanan rantaian bekalan industri halal.

Selain itu, kerjasama dengan Singapura memberi tumpuan kepada pembangunan infrastruktur mampan dan inovasi tenaga boleh diperbaharui.

ASEAN kini merupakan ekonomi kelima terbesar di dunia dengan jumlah Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) melebihi AS$3.6 trilion (RM15.26 trilion), menggambarkan potensi besar rantau ini dalam memacu pertumbuhan ekonomi global.

Dalam era transformasi digital, potensi ini dapat dimaksimumkan dengan memanfaatkan teknologi digital untuk meningkatkan integrasi ekonomi, mempercepatkan aliran data rentas sempadan dan memperkukuh perdagangan elektronik.

Laporan The Washington Post turut menegaskan gabungan ASEAN, GCC dan China, dengan KDNK hampir AS$25 trilion (RM106 trilion) dan pasaran melebihi dua bilion orang, membuka peluang besar untuk sinergi pasaran.

Pendigitalan memainkan peranan penting dalam merealisasikan potensi ini melalui inovasi seperti platform perdagangan digital, analisis data besar dan aplikasi AI. Teknologi ini bukan sahaja mempercepatkan pertumbuhan ekonomi serantau tetapi juga menarik lebih banyak pelaburan silang rantau dengan menjadikan proses perniagaan lebih cekap dan telus.

Dengan potensi ekonomi yang besar ini, kerjasama strategik antara ASEAN, GCC dan China diharapkan dapat memperkukuh daya tahan ekonomi serantau serta global, selain menyumbang pertumbuhan ekonomi yang inklusif lagi mampan.

TATAKELOLA
Untuk merealisasikan visi ini, tatakelola digital muncul sebagai elemen penting yang bukan sahaja memanfaatkan teknologi tetapi juga membina kepercayaan dan meningkatkan keberkesanan penyampaian.

Anwar menegaskan kerjasama antara sektor awam dan swasta perlu diperkukuh bagi menangani cabaran ketirisan dan memastikan ketelusan dalam pengurusan ekonomi.

Sumber-sumber seperti Forum Ekonomi Dunia dan laporan Sekretariat ASEAN turut menyokong pendapat ini, dengan menekankan pendigitalan merupakan kunci utama dalam mentransformasi tadbir urus demi memenuhi tuntutan ekonomi moden yang semakin kompleks.

PERANAN UNIVERSITI
Pendigitalan sistem pejabat berpotensi menjadi model transformasi holistik, mengangkat program Pengurusan Sistem Pejabat yang telah lama bertapak di Universiti Teknologi Mara (UiTM) ke tahap kecekapan dan inovasi yang lebih tinggi selari dengan peredaran dunia teknologi canggih dan serba moden ini.

Langkah ini bukan sahaja membekalkan graduan dengan asas yang kukuh untuk mendepani cabaran dunia kerja digital, malah memperkasakan kecekapan operasi, mempercepatkan penyampaian perkhidmatan dan memperkukuhkan integriti tadbir urus.

Inisiatif ini juga berpotensi menjadi pemangkin kepada tatakelola digital yang lebih dinamik dan berkesan, selari dengan keperluan masa hadapan.

Melalui integrasi teknologi AI, tatakelola digital dapat diperkasa dengan automasi proses seperti analisis data, pemantauan prestasi dan pengurusan dokumen yang dilakukan dengan ketepatan dan kelajuan yang lebih tinggi.

Selain itu, AI turut berperanan dalam mengenalpasti risiko tadbir urus secara proaktif dan memberikan saranan strategik untuk menangani isu-isu ketirisan.

Pendekatan ini menjadikan tatakelola digital lebih dinamik, telus dan responsif terhadap keperluan semasa, sekali gus memposisikan institusi seperti UiTM sebagai peneraju inovasi dalam menyokong aspirasi serantau ASEAN-GCC-China ke arah ekonomi mampan dan inklusif.

Sidang Kemuncak ASEAN-GCC-China 2025 bukan sahaja membuka lembaran baharu dalam hubungan trilateral tetapi juga mencerminkan potensi besar rantau ini untuk menjadi pemain utama dalam ekonomi global.

Pendekatan bersepadu dalam tatakelola digital, tenaga hijau dan industri halal menjadikan ASEAN lebih bersedia untuk menangani cabaran ekonomi masa hadapan.

Melalui pendekatan bersepadu dan inovatif ini, institusi pengajian tinggi (IPT) memainkan peranan penting dalam mempersiapkan generasi masa hadapan dan memperkuat daya saing ekonomi serantau.

Dengan visi strategik yang jelas dan kerjasama erat antara negara-negara anggota, ASEAN berada pada landasan kukuh untuk mencapai aspirasi menjadi kuasa ekonomi kelima terbesar dunia, sekali gus memastikan pertumbuhan ekonomi yang inklusif dan mampan bagi masa hadapan global.-UTUSAN

DR. Raja Mayang Delima Mohd. Beta ialah Pensyarah Kanan, Pengurusan Sistem Pejabat, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Cawangan Negeri Sembilan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×