MEMBACA kenyataan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kelmarin tentang jumlah peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang tidak pernah membayar langsung hutang pinjaman kini mencecah 400,000 orang, membuatkan penulis menepuk dahi.
Data yang dikeluarkan itu melibatkan peminjam PTPTN yang telah menamatkan pengajian sejak 10 tahun lalu dan ke atas membabitkan nilai pinjaman mencecah RM5 bilion.
Ia pula bukan mereka yang menamatkan pengajian dalam tempoh dua atau tiga tahun lalu. Sebaliknya, membabitkan mereka yang dari hari pertama (selepas tamat pengajian) sampai sekarang. Ada yang sudah 20 tahun tak bayar.
“Kumpulan tegar ini selepas 10 tahun yang tak pernah bayar sekali pun. Ia membabitkan 400,000 orang peminjam dengan nilai pinjaman RM5 bilion,” kata Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Dr. Zambry Abd. Kadir.
Di manakah kewarasan akal fikiran golongan ini? Mahu meminjam tetapi tak mahu membayar. Tak sedarkah mereka, perbuatan itu telah menafikan hak untuk membantu golongan pelajar lain yang tidak berkemampuan?
Masa nak berhutang, bukan main lembut tutur kata. Ibarat lembut gigi daripada lidah. Namun, apabila dah dapat berhutang, tak ingat nak bayar. Bukan sebulan dua, malah ada yang sampai berpuluh tahun. Sengaja buat-buat lupa.
Ingatlah, urusan hutang-piutang ini tidak akan selesai selagi ia tidak dibayar atau dihalalkan oleh pemiutang. Ia bukan boleh selesai dengan tindakan peminjam yang buat-buat lupa atau mengelak bertemu dengan pemiutang.
Paling mengecewakan, penghutang itu boleh pula bercuti di sana-sini, pergi membeli-belah dan beli kereta baharu. Sedangkan hutangnya, dia buat tak tahu.
Malah, sering beri alasan tidak ada wang nak membayarnya. Bukan setahun, dua. Dah berpuluh tahun meminjam tetapi tak pernah bayar walau satu sen.
Inilah antara senario yang biasa berlaku. Kadang-kadang kita memberi pinjam bukan sebab kita ada banyak wang tetapi atas dasar persahabatan dan simpati.
Malangnya, si pemiutang seolah-olah jadi pengemis untuk menuntut hutang.
Memanglah, memberi pinjam itu besar pahalanya kerana kita membantu orang yang dalam kesusahan.
Pada umumnya, Islam mengharuskan seseorang itu berhutang untuk memenuhi keperluan hidup khususnya dalam perkara-perkara daruriyyat (tersangat penting).
Oleh itu, Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mencatat segala hutang dan masa bayarannya. Ini dijelaskan menerusi firman Allah SWT yang bermaksud: Wahai orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar). (al-Baqarah: 282)
ANCAMAN BAGI YANG TAK MAHU BAYAR HUTANG
Kepada golongan begini ingatlah apa ancaman Allah ke atas mereka.
Rasulullah SAW pernah menggambarkan mengenai golongan manusia yang sengaja tidak mahu membayar hutang. Sabda Nabi SAW yang bermaksud: Barang siapa yang mengambil harta orang lain (berhutang) dengan niat ingin membayarnya kembali, Allah akan menolongnya dalam membayar kembali, namun barangsiapa yang mengambilnya dengan niat untuk menghilangkannya, maka Allah akan menolong menghilangkannya. (Riwayat al-Bukhari).
Dalam hadis lain Nabi SAW bersabda yang bermaksud: Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk membayarnya semula, maka Allah SWT akan menunaikannya untuknya. Sesiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) dengan niat untuk menghabiskannya tanpa membayar balik, maka Allah SWT akan membinasakan dirinya. (Riwayat al-Bukhari)
Orang yang mati dalam keadaan berhutang, pahala kebaikannya akan menjadi ganti.
Ini dijelaskan dalam sabda Nabi SAW yang bermaksud: Sesiapa yang mati dalam keadaan masih berhutang, masa di akhirat tiada lagi urusan dinar dan dirham, yang ada hanyalah urusan berkaitan pahala kebaikan dan dosa kemaksiatan. (Riwayat Abu Daud)
URUSAN ORANG YANG BERHUTANG AKAN KEKAL TERGANTUNG
Kewajipan melunaskan hutang tetap terpikul di bahu orang yang berhutang. Ini dijelaskan menerusi sabda Nabi SAW yang bermaksud: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dia melunaskannya. (Riwayat at-Tirmidzi)
Orang yang berniat tidak mahu melunaskan hutang dihukum sebagai pencuri. Ini berdasarkan hadis Nabi SAW yang bermaksud: Siapa yang berhutang lalu berniat tidak mahu melunaskannya, maka dia akan bertemu Allah pada hari kiamat sebagai pencuri. (Riwayat Ibnu Majah)
Mereka yang mampu tetapi melengahkan bayar hutang juga dianggap sebagai zalim. Ini berdasarkan sabda Nabi SAW yang bermaksud: Penundaan pembayaran hutang oleh orang yang mampu adalah satu kezaliman. (Riwayat Bukhari)
Lebih parah, dosa berhutang tidak akan terampun walaupun bagi yang mati syahid.
Ini ditegaskan Rasulullah SAW dalam sabdanya yang bermaksud: Diampunkan semua dosa bagi orang yang terkorban mati syahid kecuali jika mempunyai hutang dengan manusia. (Riwayat Muslim)
Orang yang berhutang juga tergolong sebagai pendusta. Ini disebabkan pelbagai alasan yang tidak benar untuk mengelak membayar hutang.
Hal ini ditekankan oleh Nabi SAW dalam hadis baginda yang bermaksud: Nabi SAW berdoa di akhir solat, (Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu daripada berbuat dosa dan banyak hutang), Lalu ada yang berkata kepada Nabi SAW: Kenapa engkau sering meminta perlindungan dalam masalah hutang? Lalu Nabi SAW bersabda: Jika orang yang berhutang apabila dia berkata, dia akan sering berdusta. Jika dia berjanji, dia akan mengingkari. (Riwayat Bukhari)
Kepada para peminjam PTPTN. Jadilah insan yang mengenang jasa. Usahakan untuk menjelaskan setiap sen yang anda pinjam.
PTPN pun tidak zalim. Sebaliknya, agensi itu ada menyediakan pelan penstrukturan semula pinjaman. Kalau ada tunggakan, pasti ada cara untuk membayarnya dan ia boleh dibincangkan.
Tolak ansur itu termasuk memberi tempoh bayaran yang lebih panjang sehingga ke usia 60 tahun dan bayaran balik yang kurang daripada 10 peratus daripada gaji bulanan.
Yang penting, hutang jangan bawa mati, ia mesti dilunaskan.
Jangan ada yang anggap membayar balik hutang adalah perkara remeh dan tidak penting. Hutang yang tidak dibayar akan dituntut di akhirat kelak.-UTUSAN
MOHD. Radzi Mohd. Zin ialah Pengarang Berita Kanan Utusan Malaysia.










