Grid Tenaga ASEAN pelan kecemasan krisis bekalan tenaga

Grid Tenaga ASEAN pelan kecemasan krisis bekalan tenaga

FADILLAH Yusof (tengah) bersama wakil agensi yang terlibat dalam pertukaran memorandum kolaborasi bersama New Energy Asia Sdn. Bhd. pada majlis Pelancaran Tenaga Baharu Asia di Kuala Lumpur, 16 Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERMINTAAN semakin meningkat terhadap sumber tenaga dengan kebergantungan tinggi kepada elektrik meletakkan negara bakal berdepan krisis tenaga.

Gangguan bekalan boleh menggugat pelaburan, pengeluaran dan produktiviti negara. Malah, keselamatan awam seperti hospital dan infrastruktur kritikal seperti sistem pengangkutan, loji air dan pertahanan boleh terganggu sekali gus meletakkan risiko nyawa dan keselamatan.

Insiden kebakaran gas Putra Height pada April lalu membuka mata banyak pihak akan keperluan sokongan bekalan tenaga apabila bekalan gas di arah utara semenanjung sedikit terjejas.

Dengan kebimbangan itu, memerlukan strategi sokongan sumber tambahan atau sandaran serantau. Ada negara kaya sumber hidro (Laos) dan ada negara kurang sumber tetapi tinggi permintaan (Singapura).

Dalam mengatasi krisis ini, ASEAN merangka inisiatif serantau bertujuan menyambung sistem penjanaan dan penghantaran tenaga elektrik antara negara-negara anggota. Ini membolehkan tenaga dikongsi rentas sempadan dikenali Grid Tenaga ASEAN (APG).

Langkah ini menggalakkan perkongsian tenaga elektrik, meningkatkan keselamatan tenaga serantau, menyokong tenaga boleh diperbaharui dan mewujudkan pasaran tenaga serantau yang lebih efisien dan stabil.

Menurut Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Horn, visi APG memerlukan anggaran pelaburan sebanyak AS$764 bilion (RM3.22 trilion) untuk infrastruktur penjanaan kuasa dan penghantaran, bagi memenuhi matlamat mencapai operasi grid bersepadu sepenuhnya menjelang 2045.

MANFAAT KEPADA MALAYSIA?

Kepengerusian ASEAN kali ini memberi penumpuan khusus Malaysia kepada inisiatif APG. Ia projek pembekalan tenaga yang menghubungkan kabel dasar laut dari Vietnam ke Semenanjung Malaysia dan seterusnya ke Singapura.

Pembangunan projek infrastruktur tenaga boleh diperbaharui itu akan menyokong peralihan hijau, disamping berpotensi mewujudkan lebih banyak peluang penglibatan sektor swasta dari segi pelaburan, termasuk pembiayaan dan pemindahan teknologi, selain pekerjaan untuk rakan-rakan kongsi utamanya.

Malaysia juga boleh menjual lebihan tenaga ke Singapura atau Thailand. Ini mampu menjana pendapatan melalui eksport elektrik. Pada masa sama, grid serantau ini memudahkan penjanaan tenaga boleh diperbaharui (solar atau hidro) dapat dikongsi antara negara demi menggalakkan pelaburan tenaga hijau kerana infrastruktur yang lebih luas.

Dengan berkongsi grid, kos membina loji tenaga baharu boleh dikurangkan dengan membeli dari negara jiran jika lebih murah, berbanding membina sendiri. Ia juga meningkatkan persaingan dan kestabilan harga untuk pengguna.

Inisiatif strategik APG ini akan berada dalam radar dan pelaksanaan Kementerian Peralihan Tenaga Dan Transformasi Air (PETRA) di bawah kepimpinan Datuk Seri Fadillah Yusof sejajar dengan fokus kementerian itu terhadap tenaga masa hadapan, keselamatan bekalan tenaga negara dan peralihan kepada ekonomi hijau dan rendah karbon.

Sementara itu, Pensyarah Fakulti Teknologi Kejuruteraan Mekanikal dan Automotif, Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA), Prof. Madya Dr. Amir Abdul Razak berpendapat, APG membantu negara-negara anggota ASEAN mendapatkan bekalan tenaga lebih pelbagai dan stabil. Ia sesuatu yang sukar dicapai jika setiap negara hanya bergantung kepada grid tenaga nasional masing-masing.

Dengan permintaan tenaga ASEAN meningkat sebanyak 7.3 peratus setiap tahun hingga 2030, sambungan grid serantau membolehkan negara mengimport tenaga apabila menghadapi kekurangan dan mengeksport lebihan tenaga kepada negara jiran apabila mempunyai lebihan bekalan.

Dari perspektif ekonomi pula, Amir berkata, APG berpotensi menjimatkan sehingga AS$800 bilion (RM3.4 trilion) kos penyahkarbonan serantau menjelang 2050. Ini membolehkan negara-negara ASEAN mencapai sasaran karbon neutral dengan kos lebih rendah berbanding pendekatan secara bersendirian. Penjimatan besar ini dapat disalurkan ke sektor lain yang penting untuk pembangunan negara.

‘‘Negara yang berkemampuan menjadi hab tenaga boleh diperbaharui, seperti Malaysia sebagai pusat transmisi atau Vietnam sebagai pengeksport tenaga angin luar pesisir.

‘‘Singapura merancang untuk mengimport 6 GW elektrik rendah karbon menjelang 2035, membuktikan potensi besar bagi eksport tenaga boleh diperbaharui dalam kalangan negara ASEAN,“ katanya.

SANDARAN KECEMASAN

Sistem APG juga berfungsi sebagai sandaran kecemasan penting semasa berlaku gangguan bekalan akibat perubahan cuaca atau masalah teknikal. Misalnya, pada 2023, penjanaan tenaga hidro turun sebanyak 21 TWh akibat kemarau, walaupun kapasiti janaannya meningkat.

Pelaksanaan APG turut membuka ruang untuk negara-negara anggota meningkatkan kapasiti teknikal masing-masing melalui harmonisasi standard teknikal dan peraturan. Ini termasuk latihan tenaga kerja tempatan, pemindahan teknologi grid pintar serta pembangunan infrastruktur moden dan canggih.

Mengulas lanjut, Amir menjelaskan, pelaksanaan APG jelas merupakan kebersamaan ASEAN dalam menyokong agenda ekonomi negara-negara anggota, meskipun terdapat beberapa cabaran yang perlu diakui.

Sejak 1986, ASEAN menunjukkan komitmen luar biasa melalui pembangunan APG secara berterusan selama hampir empat dekad. Ini dibuktikan dengan pelaksanaan 42 Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN serta penubuhan institusi khusus seperti Pusat Tenaga ASEAN dan Ketua Utiliti Tenaga (HAPUA).

APG kini semakin matang dengan perubahan ketara daripada pendekatan sukarela berasaskan konsensus kepada komitmen yang lebih mengikat.

CABARAN ISU KEDAULATAN NEGARA

Bagaimanapun, Amir memberitahu, beberapa cabaran perlu diberi perhatian. Ketegangan antara kedaulatan dan integrasi serantau, contohnya, Indonesia masih menetapkan keperluan memenuhi keperluan tenaga domestik terlebih dahulu sebelum mengeksport tenaga, yang menonjolkan isu kedaulatan negara dalam konteks kerjasama serantau.

Projek integrasi seperti Laos-Thailand-Malaysia-Singapura (LTMS-PIP) membuktikan perdagangan tenaga pelbagai hala realistik dan berjaya, menandakan peralihan penting daripada model dua hala kepada kerjasama lebih luas melibatkan beberapa negara sekali gus.

APG adalah projek yang saling menguntungkan, bukanlah ‘zero-sum game‘. Semua negara anggota mampu mendapat manfaat jangka panjang yang besar. Pelaksanaan APG membolehkan negara-negara anggota mempelbagaikan sumber tenaga, sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap satu jenis sumber tenaga sahaja.

“Sebagai contoh, tenaga angin Vietnam boleh digunakan untuk mengimbangi penurunan tenaga hidroelektrik di Laos semasa musim kemarau,” katanya.

Pembinaan infrastruktur transmisi seperti kabel dasar laut antara Vietnam, Malaysia dan Singapura, adalah contoh pelaksanaan strategik APG yang menjamin laluan tenaga alternatif serta mengurangkan risiko gangguan bekalan.

Dalam merealisasikan hasrat ini memerlukan sokongan dan kerjasama institusi antara negara ASEAN melalui penetapan piawaian bersama, peraturan yang diselaraskan dan pengurusan grid secara kolektif. Ini memastikan integrasi operasi grid yang lancar dan efektif di seluruh rantau.-UTUSAN

PENULIS ialah Koresponden Utusan Malaysia Putrajaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×