Grid Tenaga ASEAN: Malaysia perlu manfaatkan tenaga boleh baharuGrid Tenaga ASEAN: Malaysia perlu manfaatkan tenaga boleh baharu.

Grid Tenaga ASEAN: Malaysia perlu manfaatkan tenaga boleh baharu

PERDANA Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (empat dari kanan) diiringi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Petronas, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik (tiga dari kanan) ketika melawat reruai pameran selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Persidangan Tenaga Asia 2025 di Kuala Lumpur, pada 16 Jun lalu.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap merasmikan Persidangan Tenaga Asia (Energy Asia) 2025 baru-baru ini melahirkan keyakinan yang sektor tenaga mempunyai kekuatan untuk me­macu pertumbuhan ekonomi rantau ASEAN.

Ini disebabkan rantau ASEAN mempunyai potensi besar dalam penjanaan tenaga terutama tenaga boleh baharu (TBB) seperti berasaskan angin di Vietnam, kuasa hidro (Laos), solar (Malaysia) serta tenaga geoterma (Indonesia).

ASEAN perlu menggunakan kekuatan ini untuk memastikan ia menjadi pemain utama dalam industri tenaga dunia.

Seperti kata Pengarah Urusan dan Ketua Global Penggabungan dan Pengambilalihan (M&A) Teknologi Bersih dan Alam Sekitar Standard Chartered, Sujay Shah, rantau diunjurkan akan menyumbang hampir 50 peratus daripada penggunaan tenaga dunia menjelang 2050.

Oleh itu, dengan kekuatan ASEAN disertai kemudahan rangkaian pengedaran seperti Grid Tenaga ASEAN (APG), bukan sesuatu yang mustahil untuk rantau Asia Tenggara muncul sebagai pembakal tenaga utama dunia.

Sudah tentu kejayaan atau kegagalannya bergantung komitmen, tindakan serta pelaburan yang dilaksanakan negara-negara di rantau ini.

Berdasarkan statistik dibentang Sujay pada Energy Asia, rantau Asia menawarkan peluang pelaburan tenaga bersih terbesar di dunia. Dianggarkan memerlukan antara AS$25 trilion (RM117.5 trilion) hingga AS$50 (RM235 trilion) menjelang 2050 untuk menyokong transformasi ini.

Antara sektor utama yang dikenal pasti iaitu TBB di ASEAN yang memerlukan sekitar AS$1.3 trilion (RM5.6 trilion) menjelang 2030.

Bagi Malaysia, langkah ke arah itu sudah pun bermula dengan mengeskport tenaga boleh diperbaharui (RE) ke Singapura sejak Disember lalu. Perdagangan TBB dengan negara jiran di seberang tambak ini membuktikan projek APG mampu menjadi realiti dan berpotensi besar memberi manfaat kepada seluruh rantau ini terutama Malaysia.

Walaupun Malaysia sudah memulakan langkah memanfaatkan APG dengan menyalurkan TBB ke Singapura, tidak bermakna kita boleh berpuas hati sebaliknya perlu memastikan Malaysia mendapat manfaat utama sama ada sebagai penyedia infrastruktur dan yang paling utama sebagai pembekal tenaga terutama TBB.

Sebagai pemain dalam industri TBB berharap kerajaan memastikan setiap inisiatif yang diperkenal atau dilaksanakan meletakkan Malaysia berada di barisan hadapan dalam memperluas kerjasama tenaga serantau ini dengan memastikannya sebagai sumber utama.

Sebagai sebuah negara yang mempunyai sumber TBB tidak terhad, Malaysia perlu memanfaatkan sepenuhnya kewujudan APG dengan memastikan kita paling terkehadapan sama ada daripada segi bekalan mahupun teknologi.

Pada masa sama usaha dan tenaga semua pemain dalam industri TBB perlu digembleng dan tidak boleh bergantung semata-mata kepada Tenaga Nasional Berhad (TNB).

TNB sebagai ‘pemilik’ grid tenaga ini akan sentiasa diiktiraf dan dihormati.

Berdasarkan kenyataan Presiden TNB, Datuk Megat Jalaludin Megat Hassan, pada masa ini perdagangan tenaga hijau rentas sempadan dari Malaysia ke Singapura mencapai antara 30 hingga 50 megawatt dan ia menggunakan sambungan grid sedia ada yang mampu menampung sehingga 1,000 megawatt.

Daripada kejayaan ini, syarikat tenaga nasional itu kini sedang giat meneroka sambungan grid baharu dengan beberapa negara ASEAN lain, termasuk Vietnam, Indonesia, Kemboja dan Thailand.

Peranan penting yang dimainkan TNB dalam merintis ‘perjalanan’ tenaga merestasi rantau ASEAN akan sentiasa diberikan pengiktirafan sewajarnya.

 

PERANAN INDUSTRI
Untuk memastikan Malaysia menjadi pemain utama TBB dan mendapat manfaat maksimum dari APG, maka peranan itu perlu turut diagihkan kepada pemain-pemain dalam industri di negara ini supaya bekalan yang dibekalkan sentiasa konsisten dan menepati standard.

Bagi memastikan penglibatan semua pihak berjalan lancar, kerajaan perlu memastikan setiap polisi yang dilaksanakan tidak membebankan penjana TBB bebas.

Bayaran akses untuk mereka menyalurkan tenaga ke grid utama ini perlu dipastikan berpatutan dan berdaya saing supaya akhirnya tenaga yang dibekalkan berdaya saing dengan yang dihasilkan oleh negara jiran terutama mereka yang memiliki sumber tenaga yang banyak serta murah.

Dasar seperti Skim Bekalan Te­naga Boleh Baharu Korporat (CRESS), yang membolehkan sya­rikat memperoleh tenaga ber­sih melalui grid nasional di ba­wah model akses pihak ketiga perlu dipastikan benar-benar berdaya saing dan memberi faedah menang-menang kepada semua yang terlibat.

Program Mekanisme Pengagregatan Tenaga Boleh Diperbaharui Komuniti (CREAM) membolehkan pemilik rumah memajak atau menyewa ruang atas bumbung mereka kepada pihak ketiga. Misalnya adalah instrumen terbaik dalam memaksimumkan penjanaan tenaga solar di negara kita.

Menerusi CREAM, pemilik bangunan atau rumah boleh memanfaatkan ruang bumbung dengan memajaknya untuk pemasangan sistem solar yang menjana tenaga elektrik bagi pengguna tempatan.

Walaupun TBB yang dijana dari bumbung kediaman disasarkan untuk kegunaan domestik, namun pelaksanaannya tidak akan berjaya jika kosnya tidak berbaloi. Justeru, kerajaan disaran menilai semula caj akses yang dikenakan agensi perantara agar manfaatnya dapat dirasai secara adil oleh penjana dan pengguna.

Program ini mungkin kelihatan menarik di atas kertas, namun realitinya membebankan syarikat penjana dan pemilik bumbung apabila pendapatan diterima tidak setimpal akibat kos akses yang terlalu tinggi. Akhirnya, ia sekadar indah khabar dari rupa.

Oleh itu, kerajaan perlu memastikan setiap caj akses di bawah inisiatif CRESS dan CREAM ditetapkan pada kadar berpatutan dan berdaya saing. Penghasilan TBB bukan sekadar soal keupayaan menyalurkan tenaga ke grid nasional dan seterusnya ke APG, tetapi turut melibatkan jaminan yang pemain industri memperoleh margin keuntungan munasabah untuk memastikan kelangsungan sektor tenaga hijau, sementara pemilik bumbung pula merasakan pemajakan yang dilakukan berbaloi.

Perlu diingat, jika gagal menjana TBB pada kadar harga atau tarif saling menguntungkan, tidak mustahil suatu hari nanti kita akan ketinggalan berbanding negara-negara jiran di rantau ASEAN seperti Indonesia, Thailand, Vietnam, Kemboja dan Myanmar yang memiliki kelebihan dari segi tenaga buruh yang ramai dan murah.

Oleh itu, sebagai peneraju Grid Tenaga ASEAN, Malaysia perlu memastikan ia sentiasa berada di hadapan dengan memanfaatkan sepenuhnya sumber TBB yang dimiliki. Jangan sampai dasar yang terlalu ketat dan membebankan pengeluar menjejaskan daya saing negara, hingga akhirnya kita sekadar menjadi ‘penonton’ kepada TBB yang yang disalurkan melalui grid kita.

Apa jua cabarannya, kami selaku pemain industri percaya kerajaan, melalui Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), sentiasa mengambil kira pelbagai aspek penting demi memastikan industri TBB negara kekal berdaya saing dan muncul sebagai yang terbaik di rantau ini.-UTUSAN

 

DATUK Guntor Tobeng ialah Pengarah Urusan Gading Kencana Sdn. Bhd., dan CEO Fakulti Kejuruteraan dan Elektrik Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×