“Duduk rumah mak ayah lagi?” “Umur 35 tahun masih bagi duit belanja kat adik?”
Sindiran-sindiran begini sudah menjadi latar hidup ramai rakyat Malaysia, khususnya mereka yang tergolong dalam kelompok yang digelar ‘Generasi Sandwich’.
Walaupun istilah ini mungkin kedengaran baharu bagi sesetengah pihak, realitinya ia sudah lama wujud.
Konsep ‘Generasi Sandwich’ diperkenalkan pada 1981 oleh Dorothy A. Miller menerusi jurnal berjudul, The ‘Sandwich’ Generation: Adult Children of the Aging.
Hakikatnya, ‘Generasi Sandwich’ adalah sebuah analogi sosial, menggambarkan generasi yang ‘tersepit’ antara dua lapis kebergantungan, di satu sisi anak-anak yang masih memerlukan sokongan, satu lagi ibu bapa yang semakin uzur dan bergantung harap.
Mereka memikul beban berganda dari segi kewangan, emosi dan fizikal, di antara menyara, menjaga dan mengimbangi kehidupan seharian, selalunya tanpa bantuan struktur yang mencukupi.
Malangnya, masih ada yang galak memperlekeh dan mentertawakan istilah ini di media sosial, kerana mereka langsung tidak mengambil peduli maknanya dan menyangka ia adalah sekadar istilah ‘comel’ golongan bandar atau lucu kerana kedengaran seperti makanan.
Barangkali, mereka lupa melihat realiti fenomena ini sudah berakar di tanah air kita, dengan wajah yang lebih kompleks dan cabaran yang lebih menghimpit. Malaysia sedang bergerak pantas menuju ke arah sebuah negara tua.
Menurut unjuran Jabatan Perangkaan, negara dijangka mencapai status negara tua menjelang 2030, apabila 15 peratus daripada keseluruhan populasi berumur 60 tahun ke atas. Ini bermakna, dalam tempoh lima tahun mendatang, beban yang ditanggung ‘Generasi Sandwich’ akan terus meningkat, sejajar dengan tekanan terhadap sistem penjagaan warga emas, kesihatan awam dan keperluan sokongan keluarga.
Hari ini, sekitar 55 peratus warga emas di Malaysia bergantung kepada bantuan kewangan daripada anak-anak, dengan purata sumbangan sebanyak RM526 sebulan.
Pada masa sama, golongan ini turut berhempas-pulas menanggung kos pendidikan, perbelanjaan harian dan keperluan penjagaan anak-anak yang masih kecil.
Jika kita benar-benar mahu membina sebuah negara yang makmur, bertamadun dan adil, pertumbuhan ekonomi harus dimanusiakan, melangkaui ukuran angka Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) semata-mata. Ia mesti dinilai berdasarkan keupayaan rakyat untuk menjalani kehidupan yang bermaruah.
PENDEKATAN
Beban berganda yang dipikul oleh generasi ini tidak boleh dipandang ringan, kerana ia berisiko membuka ruang kepada dimensi kemiskinan baharu, terutamanya apabila komitmen kewangan melebihi pendapatan sekali gus menjerat mereka ke kancah hutang multigenerasi.
Untuk itu, beberapa pendekatan utama selain pelaksanaan pelarasan automatik gaji minimum harus diketengahkan dan tidak lagi ditangguh. Dalam usaha meringankan beban ‘Generasi Sandwich’, satu langkah berani yang harus diambil ialah memperkukuh sektor ekonomi penjagaan (care economy), sebuah sektor yang mempunyai potensi besar, namun masih belum dimanfaatkan sepenuhnya di Malaysia.
Ekonomi penjagaan merangkumi pelbagai perkhidmatan penting seperti penjagaan kanak-kanak, warga emas, orang kurang upaya (OKU) serta sokongan kesihatan dan kesejahteraan keluarga.
Di sebalik tanggungjawab harian yang digalas generasi ini, tersembunyi peluang ekonomi yang luas untuk mewujudkan pekerjaan berkualiti, meningkatkan penyertaan wanita dalam pasaran kerja dan memperkukuh jaringan sokongan sosial masyarakat.
Menurut laporan Program Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNDP) bertajuk Enabling Investments in the Malaysian Care Economy, pelaburan dalam sektor ini berpotensi menjana sehingga RM52 bilion kepada ekonomi menjelang 2030.
Setiap RM1 yang dilaburkan dijangka memberi pulangan sehingga RM7 melalui penciptaan pekerjaan, peningkatan produktiviti dan kesejahteraan isi rumah.
Sebagai contoh, Sweden merupakan antara negara yang paling awal memahami ekonomi penjagaan adalah pelaburan, bukannya beban. Kerajaan Sweden menyediakan sistem penjagaan kanak-kanak yang meluas, berkualiti tinggi dan disubsidi secara besar-besaran dengan menetapkan bayaran maksimum berdasarkan peratusan pendapatan isi rumah. Tiada keluarga akan membayar melebihi kadar siling yang ditetapkan.
Pendekatan ini bukan sahaja meringankan beban kewangan keluarga, malah membolehkan kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh melangkaui 80 peratus.
Di Malaysia, perluasan akses kepada penjagaan kanak-kanak mampu milik amat diperlukan, khususnya di kawasan perumahan kos rendah.
Ramai ibu bapa dari generasi ini terpaksa bergantung kepada penjagaan tidak formal kerana kosnya yang lebih rendah, namun ia berisiko menjejaskan keselamatan dan perkembangan anak-anak kerana sering kali kurang dikawal selia.
Malah, kekurangan akses ini turut membataskan keupayaan ibu bapa, terutamanya wanita, untuk menyertai pasaran kerja secara aktif. Dalam usaha kerajaan melaksanakan dasar rasionalisasi subsidi demi kestabilan fiskal negara, proses ini sewajarnya disusuli dengan reformasi menyeluruh terhadap sistem perlindungan sosial.
Peralihan dasar ini mesti berlaku secara adil dan berperikemanusiaan. Sistem bantuan sosial negara harus disusun semula agar lebih bersasar, cekap dan inklusif, termasuk pemberian manfaat anak, bantuan warga emas, dan sokongan kepada OKU.
Isu ‘Generasi Sandwich’ kerap disapu ke bawah karpet. Namun, sudah tiba masanya sindiran terhadap generasi ini, digantikan dengan dasar yang lebih manusiawi menerusi pelaburan dan pemerkasaan ekonomi penjagaan sebagai salah satu tunjang pembangunan negara.
Kita tidak mampu lagi untuk terus membiarkan mereka terhimpit dalam ‘lapisan’ tanggungjawab tanpa membina ekosistem sokongan.
Tindakan kita hari ini, mampu mengecilkan saiz ‘Generasi Sandwich’ dalam masyarakat, seterusnya terhapus dari landskap sistem sosial negara secara berperingkat. Pulangan daripada pelaburan ini bukan sekadar bersifat ekonomi, tetapi juga merupakan ‘dividen’ sosial yang akan dinikmati oleh generasi akan datang.
Jadi, sebelum ada yang mempertikai, sandwich dan apa kaitan dengan hidup sebenar, mungkin kita perlu bertanya kembali, adakah kita lebih selesa mentertawakan istilah, berbanding membetulkan sistem yang mencipta beban itu sendiri?
Beban yang tidak ditanggung bersama hari ini, lambat laun akan menjadi beban berganda kepada semua.-UTUSAN
PENULIS ialah Eksekutif Penyelidik Kanan di Polity.










