PETALING JAYA: Negeri Sembilan FC (NSFC) berharap gandingan Luqman Hakim Shamsuddin bersama Muhammad Hadin Azman mampu memastikan jentera serangan skuad Hobin Jang Hobin lebih ‘berbisa’ pada saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2025-26.
Ketua Pegawai Eksekutif NSFC, Faliq Firdaus berkata, khidmat Hadin terus ditagih skuad Hobin Jang Hobin apabila kontraknya disambung untuk musim kedua dan kedatangan Luqman dijangka mampu menambah sengat kepada jentera serangan Negeri Sembilan.
Katanya, pihak kelab juga berharap taktikal yang bakal dirangka pengendali baharu NSFC, Nidzam Jamil mampu memastikan skuad itu memberi saingan sengit dalam kempen Liga M.
“Pengalaman dan ketenangan beliau di posisi penyerang amat ditagih dalam usaha untuk memantapkan jentera serangan pasukan selepas kita memiliki Luqman Hakim Shamsuddin.
“Kita yakin Hadin dijangka dapat menyumbang kepada kreativiti dan visi serangan yang dirangka pengendali pasukan Nidzam Jamil.
“Kita berharap Hadin dapat mengekalkan prestasi terbaiknya dan memberikan sumbangan sepanjang kempen musim baharu nanti,” kata Faliq dalam satu kenyataan.
Musim lalu, Hadin antara tonggak penting bahagian serangan NSFC walaupun bekas pemain kebangsaan itu tidak beraksi penuh dalam setiap perlawanan, tetapi kehadirannya dalam kesebelasan utama dilihat memberi impak positif.
NSFC turut mengumumkan pemain pertahanan kiri, Harith Samsuri, antara yang dikekalkan bersama pasukan itu selepas pertama kali menyarung jersi NSFC bersama skuad B-23 pada musim 2023 sebelum ‘naik pangkat’ ke pasukan utama pada musim 2024. – UTUSAN










