PETALING JAYA: Persatuan Sepaktakraw Malaysia (PSM) mengesahkan telah mengeluarkan surat teguran rasmi terhadap perejam utama negara, Azlan Alias susulan tindakannya beraksi dalam kejohanan Sepaktakraw League (STL) Divisyen 1 baru-baru ini walaupun masih dalam tempoh pemulihan kecederaan.
Pengerusi Jawatankuasa Disiplin PSM, Datuk Seri Abdul Puhat Mat Nayan menegaskan, tindakan Azlan yang mewakili Melaka Titans dalam saingan STL yang berakhir 1 Jun lalu dianggap serius kerana tidak mengendahkan arahan pegawai perubatan untuk berehat.
“Kesalahan ini direkodkan dalam profil disiplinnya. Jika berlaku lagi, PSM tidak teragak-agak untuk menggantung atau memecatnya daripada skuad kebangsaan,” katanya.
Tambah beliau, Jawatankuasa Disiplin yang bersidang Selasa lalu mengambil keputusan untuk memberikan teguran rasmi sahaja memandangkan ia merupakan kesalahan pertama dilakukan pemain kelahiran Pulau Pinang itu sejak menyarung jersi negara pada 2013.
“Azlan turut disenaraikan dalam Program Podium 2025 sebagai persiapan menghadapi Piala Raja Thai, Piala Asia dan Sukan SEA.
“Kesihatannya perlu diutamakan kerana beliau adalah tonggak utama pasukan kebangsaan,” jelasnya.
Beliau turut menegur sikap Azlan sebagai pemain senior yang sepatutnya menjadi contoh kepada pemain muda, bukan bertindak mengikut kehendak sendiri sehingga mengabaikan nasihat perubatan.
Dalam masa sama, Persatuan Sepaktakraw Melaka (PASTAM) turut dikenakan tindakan apabila diberikan surat tunjuk sebab kerana membenarkan Azlan beraksi ketika belum mendapat pelepasan sepenuhnya daripada pegawai perubatan Institut Sukan Negara (ISN).
“PASTAM perlu menjelaskan mengapa Azlan dibenarkan turun gelanggang sebelum tamat tempoh rehat yang disarankan ISN. Mereka diberi 10 hari dari tarikh surat dikeluarkan untuk menjawab,” ujarnya.
PSM sebelum ini menegaskan komitmen terhadap pematuhan protokol perubatan dan disiplin pemain bagi menjaga prestasi serta kebajikan skuad negara yang bakal menghadapi kejohanan penting dalam tempoh terdekat. – UTUSAN










