KECERDASAN buatan (AI), dilihat sebagai ‘wilayah’ bagi lelaki dalam dunia teknologi. Ini kerana lelaki lebih sinonim dan mudah mengadapatasi teknologi berbanding wanita. Namun, masa berlalu dan kini pakar teknologi wanita turut mencipta impak besar dalam bidang yang dilihat amat pantas kemajuannya.
Wanita-wanita seperti Frances E. Allen yang memenangi Hadiah Turing dan Fei-Fei Li merupakan pengasas dalam bidang visi komputer. Mereka menunjukkan kepada dunia wanita juga boleh mendominasi dan memberi sumbangan signifikan dalam bidang ini.
Menyahut tema Kepengerusian ASEAN tahun ini, kami menyokong penelitian terangkum oleh wakil Menteri Pendidikan Tinggi, Sains dan Teknologi Indonesia, Prof. Stella Christie yang menyatakan Geoffrey Hinton atau dikenali sebagai ‘Godfather of AI’ dan pemenang Nobel memberitahu AI menerima guna sistem ‘garbage in’ dan ‘garbage out’.
Oleh itu dapat dirumuskan pentingnya kualiti dalam penggunaan Model Bahasa Raya (Large Language Model, LLM) bagi ChatGPT mahupun Sahabat AI, agar berfungsi sebaik-baiknya kepada pengguna.
AI dalam Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) muncul sebagai pemangkin utama transformasi dalam hampir semua sektor. Daripada perkhidmatan kesihatan hingga logistik, pendidikan, kewangan dan perundangan. AI mengubah cara manusia bekerja, berfikir dan membuat keputusan. Namun, satu persoalan penting perlu direnungkan, adakah wanita diberi tempat yang setara untuk menerajui perubahan ini?
Wanita di negara ini memiliki wibawa tersendiri dalam banyak bidang profesional. Kepakaran serta karisma wanita dalam bidang perubatan, pendidikan, pentadbiran, seni budaya, sukan, teknologi dan kejuruteraan telah meraih pelbagai anugerah dan pengiktirafan di peringkat antarabangsa.
Daya kreativiti dan inovasi dalam bidang tersebut turut menyumbang kepada kemajuan bidang ilmu dunia. Antaranya nama-nama besar seperti Tan Sri Mazlan Othman (astrofizik), Dr. Nur Amalina Che Bakri (perubatan), Prof. Madya Dr. Nuradlyka Ainul Annuar (astrofizik), Dr. V. Jeyanny Vijayanathan (perhutanan), Prof. Madya Dr. Wan Wardatul Amani Wan Salim (aeronautik), Dr. Rebecc Wong Hsin Yee (fisiologi) dan ramai lagi.
Keterampilan bakat muda AI, Nur Arianna Qaisara Abdullah yang merupakan penuntut Universiti Malaya menerima Anugerah Pencapaian Akademik Universiti Teknologi Petronas boleh diserlahkan lagi sebagai ejen serta perintis budaya teknologi AI era kini. Nur Arianna Qaisara serta rakan-rakannya yang menerima galakkan seumpama ini perlu digilap serta dibina komprehensif potensi dan kewibawaan dalam bidang ini, agar mereka meluaskan lagi agenda keterampilan wanita dalam strategi AI.
Apabila meneliti wanita sebagai peneraju AI, potensi serta wibawa cerdik pandai bidang ini sebenarnya akan berjaya dilahirkan dalam kalangan rakyat. Ketelitian serta ketekunan golongan ini amat bermanfaat dalam membijaksanakan teknologi bagi menghasilkan kualiti. AI akan terus mendorong manusia terus mencipta dan berkarya, bukan sebagai pengganti penjanaan kreativiti manusia.
Mendepani konflik AI, Hinton juga menyatakan kebimbangan kemungkinan ‘otak buatan’ ini akan lebih baik daripada manusia.
Hari ini, wanita bukan lagi sekadar penyokong dalam dunia kerjaya atau pengurusan. Mereka membuktikan keupayaan sebagai peneraju dalam pelbagai sektor profesional.
Dalam era AI yang bergerak pantas, muncul cabaran baharu bagi pakar wanita serta mereka yang akan menceburi bidang ini.
Bidang teknologi yang berkembang pesat ini menunjukkan ketidakseimbangan penyertaan wanita, khususnya dalam sektor Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) yang menjadi asas kepada pembangunan AI.

MASIH KETINGGALAN
Menurut Forum Ekonomi Dunia (WEF), wanita hanya merangkumi sekitar 22 peratus tenaga kerja global dalam bidang AI. Di Malaysia pula, walaupun kadar penyertaan wanita dalam tenaga buruh meningkat kepada 56.4 peratus (Januari 2025), namun penglibatan mereka dalam sektor teknikal dan digital masih belum seimbang.
Ini memberi isyarat jelas usaha mengarusperdanakan wanita dalam era teknologi perlu dipertingkatkan bahkan memastikan mereka berada di hadapan, memimpin, membuat keputusan dan membentuk masa hadapan.
Pengerusi Majlis Hal Ehwal Wanita dan Keluarga Malaysia (Hawa), Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil serta Jawatankuasa Konsultatif Wanita dalam Perdagangan dan Industri (WITI) di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, pernah menegaskan perubahan struktur dalam sektor teknologi bukan hanya penting untuk wanita, tetapi juga kritikal kepada kemajuan negara secara keseluruhan.
Banyak wanita berpendidikan tinggi masih tidak mendapat peluang yang setimpal dengan kelayakan. Hal ini berpunca daripada pelbagai kekangan seperti tanggungjawab penjagaan anak, waktu kerja yang tidak fleksibel serta persepsi lapuk bidang seperti AI adalah ‘dunia lelaki’. Halangan yang tidak kelihatan ini sering digelar sebagai ‘siling kaca’ dan dalam konteks digital kini, ia semakin berkembang sebagai ‘siling kaca baharu’.
Apa yang lebih membimbangkan, sekiranya sistem AI dibangunkan tanpa mengambil kira kepekaan jantina, ia berisiko menghasilkan keputusan yang berat sebelah dan menindas golongan minoriti, termasuk wanita.
Justeru, penyertaan wanita dalam pembangunan dan pengurusan sistem AI amatlah penting. Dalam kerangka Teknosains Feminis, ditegaskan sains dan teknologi tidak bebas daripada nilai sosial mahupun budaya. Oleh itu, AI perlu dibangunkan berdasarkan perspektif inklusif yang mengambil kira keperluan semua golongan.
Melalui program FemForward 2025, anjuran Wanita dalam Logistik dan Pengangkutan (WiLAT), Malaysia bersama rakan strategik, kami menyaksikan sendiri bagaimana wanita profesional mampu mencipta impak apabila diberikan ruang dan peluang yang sewajarnya.
Program ini mengiktiraf 23 tokoh wanita dari pelbagai bidang, di bawah tema ‘Percepatkan Tindakan dalam Komuniti Wanita’. Tema ini menggambarkan keperluan mendesak untuk mempercepatkan pengarusperdanaan wanita dalam sektor berimpak tinggi seperti logistik, teknologi dan AI.-UTUSAN
PREOFESOR Madya Dr. Jessica Ong Hai Liaw ialah Pakar Psikologi Bahasa Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) dan Felo Institut Masa Depan Malaysia (MASA).
RABI’AHTULADAWYAH Md. Saleh ialah Perancang Bahasa Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP).










