Tanggungjawab ibu bapa lindungi kanak-kanak

Tanggungjawab ibu bapa lindungi kanak-kanak

IBU bapa memainkan peranan penting mencorakkan kehidupan anak-anak dalam suasana harmoni.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KES pengabaian kanak-kanak di negara ini dilaporkan meningkat hampir tiga kali ganda dalam tempoh lima tahun.

Mengikut rekod Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), kes pengabaian kanak-kanak pada 2020 berjumlah 1,618 kes meningkat kepada 4,126 kes tahun lalu. Data menunjukkan masalah sosial ini cukup serius dan amat membimbangkan sekali gus menuntut perhatian dan tindakan tuntas semua pihak yang terlibat khususnya ibu bapa dan ahli keluarga.

Secara umumnya ini adalah ‘penyakit’ sosial yang cukup merisaukan semua pihak kerana membabitkan masa hadapan generasi muda negara ini apatah lagi apabila ibu bapa yang sepatutnya melindungi kanak-kanak didapati gagal menunaikan tanggungjawab.

Ini ekoran mereka dilihat menjadi penyumbang utama kepada masalah ini iaitu, pertama masih terdapat sekelompok ibu bapa yang tidak menyedari atau benar-benar memahami tanggungjawab terhadap anak selain tidak memahami takrifan sebenar pengabaian dan penderaan.

Manakala keadaan kedua ialah terdapat segelintir ibu bapa yang sengaja mengabaikan tanggungjawab berpunca daripada pelbagai faktor seperti masalah keluarga atau rumah tangga selain terlibat dengan masalah jenayah dan sosial seperti dadah.

Justeru kedua-dua senario ini perlu diteliti dengan mendalam, seterusnya melaksanakan tindakan pencegahan sewajarnya supaya dapat membina keluarga dan masyarakat madani seperti dihasratkan.

Akta Kanak-Kanak 2001 di bawah Seksyen 17 menyatakan, pengabaian kanak-kanak merujuk kepada tidak menyediakan keperluan asas (makan, minum, tempat tinggal, kasih sayang dan pendidikan) selain boleh mendedahkan mereka kepada bahaya, termasuk mengancam nyawa. Adakah ibu bapa tidak sedar kewujudan akta dan takrifan jelas seperti ini atau sengaja buat-buat tidak nampak sehingga gagal menunaikan tanggungjawab?

Secara prinsipnya melindungi kanak-kanak daripada segala jenis bahaya dan menyediakan keperluan asas untuk mereka membesar dalam keadaan sihat dan selamat dengan penuh kasih sayang merupakan tanggungjawab hakiki setiap ibu bapa. Tidak ada sebarang kompromi dalam soal tanggungjawab ini.

Namun statistik JKM dan pelbagai kes yang dilaporkan saban hari di media massa membuktikan keadaan sebaliknya apabila masih ramai dalam kalangan ibu bapa gagal menunaikan tanggungjawab hakiki. Lebih membimbangkan apabila ibu bapa sendiri atau ahli keluarga terdekat menjadi ancaman terbesar kepada anak apabila melibatkan kes penderaan sama ada fizikal mahupun seksual.

Ini dibuktikan dengan rekod pihak berkuasa yang menunjukkan lebih 95 peratus kanak-kanak menjadi mangsa dera termasuk penderaan seksual didapati mempunyai hubungan rapat dengan pelaku seperti ibu bapa kandung atau tiri.

Harus diingat tatkala bimbang melihat statistik yang didedahkan, jangan lupa kes melibatkan pengabaian dan penderaan kanak-kanak di negara ini dikhuatiri lebih banyak ekoran masih ada kes yang tidak dilaporkan kepada pihak berkuasa atas pelbagai alasan seperti takut, malu serta tiada kesedaran yang secukupnya.

Rumusan mudah, walaupun ada akta dengan takrifan jelas namun masalah pengabaian dan penderaan kanak-kanak masih terus meningkat naik. Justeru, pihak berkuasa dan anggota masyarakat perlu bertindak segera untuk menangani masalah sosial yang mula menghancurkan institusi kekeluargaan di negara ini.

PENCEGAHAN
Dalam konteks peranan pihak berkuasa, kita menyokong dan mahukan segala usaha advokasi awam bagi meningkatkan tahap kesedaran ibu bapa yang sedang dilaksanakan terus diperkasakan. Kelompok ibu bapa terutamanya pasangan muda perlu terus didekati dan diberikan tahap kesedaran yang tinggi tentang tanggungjawab hakiki mereka terhadap anak.

Bukan mudah untuk melaksanakan tugas seperti mendidik dan membesarkan anak kerana ia melibatkan kerjasama suami isteri yang padu selain menuntut tahap kesabaran, komitmen serta iltizam tinggi. Justeru, jika suami isteri tidak mampu menyerap atau menangani badai dan ombak yang melanda perhubungan pastinya anak-anak yang akan menjadi mangsa keadaan.

Harus diingat pengabaian dan penderaan dilalui kanak-kanak akan meninggalkan kesan parut yang cukup mendalam sehingga ke akhir hayat mereka termasuk menjejaskan emosi dan mental.

Mereka akan mudah murung, bimbang, trauma, takut serta sukar untuk meneruskan hidup dengan aman dan tenteram kerana sentiasa berasa terancam sekali gus sukar mempercayai orang lain. Justeru masalah sosial dan jenayah terhadap kanak-kanak seperti ini tidak boleh dibiarkan terus berlaku dalam masyarakat.

Mewajibkan pendidikan keibubapaan boleh jadi antara langkah reformasi dan inisiatif drastik yang dilihat wajar dilaksanakan dengan segera. Pendekatan undang-undang seperti ini telah pun dilaksanakan di beberapa buah negara luar yang boleh dicontohi.

Misalnya, China pada 2022 menguatkuasakan Undang-Undang Promosi Pendidikan Keluarga, yang menetapkan ibu bapa bertanggungjawab terhadap pendidikan keluarga dan boleh diarahkan oleh mahkamah untuk menghadiri kelas keibubapaan mandatori.

Manakala di negara jiran, Singapura pula, pasangan yang mempunyai anak di bawah umur 21 tahun dan ingin bercerai diwajibkan menghadiri Program Keibubapaan Mandatori (MPP). Jadi, sudah tiba masanya negara kita meneroka langkah-langkah mandatori seperti ini demi menyelamatkan institusi keluarga dan masa hadapan kanak-kanak.

Selain itu pihak berkuasa juga boleh menambah baik akta-akta sedia ada bagi meningkatkan tahap penguatkuasaan terutamanya dari segi hukuman selain mengambilkira keperluan semasa seperti perkembangan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang mula disalahguna untuk aktiviti penderaan seksual kanak-kanak. Misalnya, Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 (Akta 792) boleh diteliti semula mengikut keperluan semasa.

Anggota masyarakat juga boleh memainkan peranan proaktif dengan mengambil peduli apa yang sedang berlaku di sekeliling. Misalnya jika didapati ada kanak-kanak menghadapi masalah di kawasan kejiranan, kita wajar menghubungi pihak berkuasa untuk menyelamatkan anak tersebut. Dalam konteks ini, Talian Kasih 15999 yang beroperasi 24 setiap hari untuk melaporkan kes-kes penderaan atau pengabaian khususnya kanak-kanak perlu dimanfaatkan sepenuhnya.

Semoga usaha bersepadu pihak berkuasa dan anggota masyarakat serta peningkatan tahap kesedaran tanggungjawab dalam kalangan ibu bapa boleh menoktahkan masalah pengabaian dan jenayah terhadap kanak-kanak.

Secara prinsipnya ibu bapa bertanggungjawab melindungi kanak-kanak. Marilah sama-sama berusaha ke arah membina serta membangunkan masyarakat madani yang boleh mendepani pelbagai cabaran mendatang dengan ikatan kekeluargaan dan kasih sayang.-UTUSAN

 

PENULIS ialah Timbalan Pengarah (Komunikasi Korporat), Pusat Strategi Dan Perhubungan Korporat (PSPK), Universiti Putra Malaysia (UPM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN