PKR sekali lagi berada di persimpangan politik yang kritikal. Pemilihan untuk jawatan Timbalan Presiden kali ini dilihat bukan sahaja sebagai perebutan tempat kedua dalam hierarki parti, tetapi juga medan untuk menilai arah tujuan PKR dalam dekad mendatang. Dalam pertempuran ini, dua tokoh utama – Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar muncul sebagai wira yang membawa naratif berbeza. Masing-masing mencerminkan aspirasi, kekuatan, dan cabaran unik yang menanti PKR pasca-’Langkah Sheraton’.
Cuma harapan untuk melihat Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail turut bertanding tidak kesempaian kerana beliau tidak mencalonkan dirinya untuk jawatan itu.
Antara Rafizi dan Nurul Izzah: Dinamika kepimpinan dan legasi yang dipertaruh
Rafizi ialah strategis ulung yang telah terbukti mampu menggerakkan isu-isu besar. Beliau dikenali kerana keberanian dalam melancarkan pendedahan berani seperti dalam skandal NFC dan 1MDB.
Kehebatan beliau menganalisis isu ekonomi dan membawa agenda polisi progresif membuatnya popular dalam kalangan generasi muda bandar.
Namun, pendekatannya yang berani kadangkala dilihat sebagai terlalu keras, menimbulkan risiko perselisihan dalam kalangan pemimpin parti yang lebih konservatif.
Tambahan pula, hubungannya yang pernah tegang dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim membayangkan kemungkinan wujudnya ketegangan baharu.
Sebaliknya, Nurul Izzah membawa legasi moral sebagai simbol reformasi yang berlandaskan ketelusan, keadilan dan idealisme politik.
Popularitinya dikaitkan dengan gelaran “Puteri Reformasi” – yang mewariskan kesinambungan gerakan demokrasi yang dimulakan oleh bapanya.
Namun, keperibadiannya yang lembut kadang kala dirasakan kurang berani untuk membuat keputusan tegas dalam situasi politik yang memerlukan.
Sentimen nepotisme boleh menjadi beban dalam naratif politik beliau apabila dibayangkan sebagai lanjutan dinasti politik Anwar.
Cuma mungkin ada ahli akar umbi terkilan kerana Saifuddin yang diklasifikasikan sebagai pemain lama dalam permainan politik PKR selain memegang jawatan sebagai Setiausaha Agung dan kini Menteri Dalam Negeri tidak bertanding.
Sedangkan beliau telah membina rangkaian hubungan yang luas dalam parti dan kerajaan. Pragmatisme politiknya menjadikannya pilihan logik bagi mereka yang mengutamakan kestabilan berbanding perubahan drastik.
Dimensi Populariti: Pertembungan bandar dan luar bandar
Pemilihan ini juga menjadi pentas untuk mengukur pengaruh setiap calon berdasarkan demografi penyokong. Rafizi, misalnya, berdiri teguh di atas sokongan golongan profesional bandar dan pengguna media sosial yang cenderung kepada pendekatan progresif dan data. Projek seperti AYUH Malaysia memperkukuhkan lagi kedudukan beliau sebagai calon pilihan generasi muda.
Nurul Izzah, di pihak lain, memancarkan daya tarik sentimental terutama dalam kalangan penyokong tradisional PKR yang setia kepada naratif reformasi. Namun, keputusannya untuk berehat seketika dari politik pada 2018 dilihat melemahkan daya momentum beliau, khususnya bagi kawasan-kawasan pengundi baharu.
Cabaran sokongan negeri dan isu perpecahan dalaman
Isu sokongan negeri kepada calon tertentu mencetuskan pelbagai persoalan mengenai keseimbangan demokrasi dalam parti.
Di atas kertas, sistem ‘satu ahli, satu undi’ (OMOV) yang diperkenalkan PKR harus menjadikan pemilihan ini bebas pengaruh blok tertentu.
Namun, realiti politik Malaysia sering memperlihatkan bagaimana deklarasi sokongan negeri boleh mendorong kepada kewujudan kem-kem dalaman parti.
Deklarasi sokongan negeri mungkin kelihatan neutral, tetapi ia berisiko menimbulkan persepsi buruk di mata pengundi umum. Jika negeri seperti Selangor condong ke arah Rafizi, manakala Sarawak menyokong Nurul Izzah, ini bukan sahaja memupuk fraksi dalaman, bahkan turut memberikan peluru kepada parti lawan terutama Perikatan Nasional (PN) untuk menyerang PKR sebagai parti yang tidak bersatu.
Pendekatan ini juga memperlihatkan garis ideologi yang semakin jelas dalam parti, di mana kem Rafizi mencerminkan pembaharuan pantas dan politik data sementara kem Nurul Izzah mewakili idealisme politik yang konsisten selain membawa pragmatisme dan kestabilan.
Apa yang PKR perlu pelajari dari pemilihan sebelum Ini?
Sejarah membuktikan bagaimana kecelaruan pemilihan boleh membawa padah. Pertembungan sengit antara Datuk Seri Mohamad Azmin Ali dan Rafizi pada 2018 meninggalkan luka dalam yang masih dirasai sehingga kini.
‘Langkah Sheraton’, penghijrahan ahli, dan peningkatan drama dalaman parti telah membentuk naratif negatif yang sukar dihapuskan.
PKR harus belajar dari kesilapan ini. Kepimpinan baru, apa pun keputusannya, harus mampu menjamin kesatuan parti, bukan sebaliknya.
Memastikan sistem pemilihan berjalan dengan telus dan saksama adalah langkah terpenting. Pengawasan ketat terhadap undi hantu dan memastikan integriti mekanisme e-voting akan memperbaiki imej proses pemilihan ini.
Selain itu, komitmen daripada calon yang kalah untuk menyokong kepimpinan baru secara terbuka adalah keperluan asas bagi menghalang pengulangan konflik pasca pemilihan.
Hanya dengan cara ini, PKR mampu bergerak maju sebagai parti yang benar-benar bersatu-padu dan bersedia menghadapi cabaran seterusnya.
Masa hadapan PKR: Menentukan arah dan identiti
Pertumbuhan PKR tidak akan sekadar bergantung pada pemilihan ini, tetapi kepimpinan yang dipilih harus mampu memberdaya bukan sahaja ahli parti tetapi juga menyuntik semangat baharu kepada rakyat Malaysia.
Daripada membiarkan dirinya terjerat dalam perpecahan dalaman, PKR perlu menggali kekuatan dalam kepelbagaiannya.
Pilihan untuk jawatan timbalan presiden ini adalah ujian penting. Rafizi atau, Nurul Izzah masing-masing membawa jalur kepimpinan yang berbeza tetapi tetap signifikan.
Namun, hanya seorang di antara mereka yang boleh membawa PKR ke tahap lebih tinggi tanpa mengorbankan prinsip asas reformasi dan kesatuan parti.
Jika pemilihan ini gagal membawa kestabilan dan arah baru, jangan terkejut sekiranya rakyat mula mencari alternatif lain, sekali lagi.
PKR, masihkah ada nyala api obor untuk perubahan? Itu persoalan yang hanya masa mampu menjawab.-UTUSAN
Dr. Ahmad Zaharuddin Sani Sabri ialah bekas Ketua Pengarah JASA.










