Pemilihan PKR: 'Parti kita, rumah kita’

Pemilihan PKR: ‘Parti kita, rumah kita’

Pas India
R. RAMANAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TARIKH menghantar percalonan bagi jawatan Naib Presiden PKR berakhir Jumaat lalu dengan 11 calon termasuk beberapa nama popular berhasrat merebut jawatan tersebut.

Salah seorangnya, Timbalan Ketua Penerangan 1, DATUK SERI R. RAMANAN yang menjadi tumpuan umum dalam kancah politik negara termasuk PKR selepas menyingkirkan Khairy Jamaluddin di Parlimen Sungai Buloh dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) serta Ketua Cabang Sungai Buloh itu memiliki ‘personaliti yang kuat’, sudah lama merentasi dan menyelami pelbagai ‘asam garam’ mahupun ‘sepak terajang’ politik. Beliau yang dilihat cukup lantang, berani dan sentiasa ke depan mempertahankan parti serta kerajaan melihat ini waktu terbaik untuk memposisikan dirinya dalam jawatan penting PKR demi membawa suara Malaysia Madani.

Dalam temu bual bersama wartawan Utusan Malaysia, AQILAH MIOR KAMARULBAID dan ASLINDA NASIR, beliau yang juga dipertanggungjawabkan untuk menjaga hal ehwal komuniti India berkongsi hasrat untuk membawa suara rakyat dan akar umbi terus ke arus perdana memandangkan ramai kecewa dengan ‘kumpulan pimpinan tertentu’ yang didakwa ‘terlupa’ menjaga hati ahli akar umbi.

Ikuti temu bual tersebut yang turut dibantu jurufoto, FARIZWAN HASBULLAH dan juruvideo, ABDUL RAHMAN RAZALI.


PEMILIHAN PKR

Dalam mana-mana pertandingan pun akan ada nama besar dan popular. Bagaimanapun pertandingan tetap pertandingan, semua memiliki peluang yang sama untuk menang. Tiada siapapun mempunyai kelebihan. Kita hanya merancang, akar umbilah menentukan nasib dan masa hadapan kita.

Tetapi sekiranya orang itu sudah lama berkhidmat dan sering turun padang atau selalu menyantuni ahli parti mahupun rakyat, maka, mereka boleh berasa sedikit selesa. Inilah yang dipanggil gelombang politik.

Dan gelombang atau arus ini tidak berdasarkan mana-mana calon, sebaliknya ia merupakan landskap politik dan bergantung pendekatan atau inisiatif yang diambil oleh seseorang.

Jika ditanya sama ada persaingan dalam pemilihan kali ini, memang sengit. Ini kerana banyak calon yang memegang jawatan tinggi turut bertanding. Dan, jawatan yang dipegang memberi kelebihan buat mereka.

Kalau dalam bahasa English disebut, ‘it gives them a little bit of the edge’ (ia memberi mereka sedikit kelebihan). Sebab jawatan merupakan sesuatu yang dihormati, terutama di negara kita.

 

UNDI DALAM TALIAN

PRU yang dibuat secara fizikal pun masih ada pertikaian. Dalam isu ini dan mana-mana pemilihan pun jika ada persaingan, memang akan ada pertikaian.

Ini adalah adat pertandingan, ada menang dan kalah. Ada pihak tidak boleh terima kekalahan. Lagipun, ini bukan kali pertama PKR menggunakan sistem undian secara dalam talian.

Jika kali pertama mungkin akan ada seorang, dua yang pertikaikan tetapi sudah berkali-kali. Jadi, kenapa sekarang pula ada pertikaian tentang sistem dalam talian?

Saya rasa setiap daripada kita perlu merenung kembali diri sendiri. Kita kadangkala perlu terima apa yang akar umbi mahukan.

Perubahan memang akan berlaku jika kita tidak lakukan sesuatu untuk menyenangkan bukan sahaja rakyat, tetapi kali ini ahli parti.

 

PERSIAPAN BERTANDING

Saya bukan baharu dalam parti. Dalam arena politik, baharu atau lama bukan penentu kemenangan ataupun kekalahan. Yang penting macam mana kita menjaga akar umbi dan juga berkhidmat kepada parti secara langsung mahupun tidak langsung. Saya sudah ‘duduk’ dalam Majlis Pimpinan Pusat. Sebelum ini memegang jawatan Timbalan Pengarah Strategi, sekarang Timbalan Ketua Penerangan 1.

Saya memang sudah lama dalam parti tetapi bukanlah daripada kumpulan 1998. Namun, tidak bermakna, kita tiada kesetiaan, tidak bermaksud tidak menyumbang kepada parti.

Jika dinilai sebegitu, ramai dalam kalangan rakyat hari ini bukan dilahirkan pada 1957 atau sebelumnya yang menuntut kemerdekaan. Adakah ia bermaksud kita kurang sifat sebagai rakyat Malaysia? Ia tidak bergantung kepada hal-hal sebegitu sebaliknya perkhidmatan kepada parti.

Jika lihat, saya memang mengambil pendirian dan pendekatan mendengar masalah yang dihadapi barisan pimpinan, saya ‘dekat’ dengan ramai pemimpin. Ini dilakukan lebih daripada enam tahun dahulu.

Saya mendengar masalah yang dihadapi mereka dan menolong sebanyak mana yang boleh, mengikut kemampuan. Ini sudah dilakukan sebelum menjadi ahli Parlimen di Sungai Buloh, pengerusi Unit Transformasi Masyarakat India Malaysia (MITRA) dan timbalan menteri di Kemementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi.

Saya ada ‘lock book’ politik tersendiri. Saya suka menulis dan mencatat segala yang dilakukan, perlu dilakukan dan macam-macam lagi.

Perlu diingat dalam medan politik yang cukup mencabar ini kita perlu sentiasa bersedia. Jangan muncul dan tonjolkan diri pada musim pemilihan sahaja. Akar umbi tahu cara saya.

 

JANGAN ABAIKAN PARTI

Pada pandangan saya, kadang-kadang setiap ahli ada keselesaan masing-masing. Tidak kiralah YB (Yang Berhormat) atau YAB (Yang Amat Berhormat) sekalipun, kita tidak boleh lupa atau mengabaikan ahli parti. Dalam kata lain kurang memberi kasih sayang.

Walaupun perlu menjaga kawasan, Parlimen atau negeri tetapi hati ahli parti perlu tetap dijaga. Perkara biasa apabila YB atauYAB memberi keutamaan kepada negeri atau Parlimen tetapi jika mereka tidak terlihat, memberi pandangan atau masa kepada ahli parti, pastinya hati mereka akan terguris.

Apabila fokus diagih-agihkan menyebabkan perhatian kepada ahli berkurang. Dalam hidup, jika ada perkara yang dikurangkan, pastinya akan ada pihak yang sakit hati.

 

BIJAK BAHAGI MASA

Kakitangan di pejabat selalu mengawal dan mengatur jadual dengan betul. Saya bukan jenis orang yang pergi bercuti-cuti. Saya bukan jenis orang yang pergi bermain golf. Saya bukan orang yang suka ‘lepak’ sana sini. Saya tahu tanggungjawab kepada rakyat. Beban rakyat adalah beban saya, tanggungjawab saya.

Bukan kata bermain golf atau bercuti itu salah, tetapi perlu membahagikan masa dengan baik, kerana masa yang sepatutnya diperuntukkan untuk rakyat atau akar umbi telah digunakan bagi menjalani aktiviti yang disebutkan tadi.

Saya percaya akar umbi mahu pemimpin yang mendekati mereka, telus dan mampu membawa hasil kepada rakyat. Rekod prestasi dalam kerajaan dan parti adalah bukti komitmen saya.

 

FOKUS PEMILIHAN

Membawa suara rakyat dan akar umbi kepada arus pimpinan perdana. Saya bertekad membawa suara Malaysia Madani. Parti kita, rumah kita. PKR adalah parti untuk semua rakyat Malaysia. Perlu di ingat, akar umbi adalah nadi utama parti. Kita sering bercakap mengenai akar umbi, suara akar umbi ketika musim pemilihan. Persoalanya adakah kita mendengar suara mereka ketika dan selepas pemilihan? Tepuk dada tanya selera.

Saya menawarkan diri untuk memikul satu tanggungwab yang penting, bersama bersatu kita membina PKR yang lebih kuat untuk menjamin harapan rakyat dan juga memperkukuhkan lagi benteng parti bagi mengharungi cabaran PRU16 nanti.

Kedua, Datuk Seri Anwar Ibrahim memberi satu tanggungjawab yang khas kepada saya untuk menjaga kepentingan hal ehwal komuniti India termasuk mengubal inisiatif-inisiatif baharu.

Saya juga diberikan tanggungjawab untuk segala isu dan soalan berkaitan komuniti India dan MITRA bagi pihak perdana menteri di Parlimen.

Selain memberi tumpuan kepada semua kaum, saya juga memberi fokus khususnya masyarakat India yang memerlukan banyak bantuan, sokongan dan juga keperluan lain. Saya sejenis orang yang akan menunaikan kata-kata dan mengambil tindakan, bukan untuk syok sendiri. Inilah yang saya lakukan sejak memimpin Pasukan Petugas Khas MITRA dan juga sejak dilantik sebagai timbalan menteri pada December 2023.

 

TERUS BANTU MASYARAKAT INDIA

Sejak MITRA ditubuhkan, tidak sekalipun dana yang diberikan habis guna pakai. Banyak isu yang membelenggu unit tersebut seperti pengurusan, salah guna kuasa, salah guna dana dan sebagainya.

Setelah Kerajaan Perpaduan dibentuk, perdana menteri cukup prihatin mengenai hala tuju MITRA dan mengambil tindakan drastik dengan menubuhkan Pasukan Petugas Khas di mana saya dilantik untuk mengetuai pasukan tersebut.

Setelah saya ambil alih pada 2023 , kita berjaya menghabiskan peruntukan dana buat kali pertama dengan pengurusan yang terancang dan tersusun melalui pengubalan 12 inisiatif baharu. Ia memberi kebaikan manfaat kepada komuniti India yang meliputi peruntukan pendidikan dan latihan sebanyak RM35.3 juta, kebajikan dan kerohanian (RM29.6 juta) serta keusahawanan dan kerjaya (RM35.1 juta).

Antaranya bantuan subsidi institusi pengajian tinggi awam/swasta (IPTA/IPTS) untuk 10,000 pelajar komuniti India, secara sekali bayar sebanyak RM2,000 seorang. Buat julung kalinya program tersebut dilaksanakan dan diteruskan pada tahun lepas juga.

MELALUI KUSKOP

Melalui kerjasama dan bantuan agensi- agensi di bawah KUSKOP serta dengan sokongan Menterinya, Datuk Ewon Benedick, kita mengusahakan beberapa inisiatif penting bagi komuniti India termasuk golongan wanita.

Untuk tahun lalu, melalui Program Dana Khas Pemerkasaan Wanita India (PENN) di bawah Amanah Ikhtiar Malaysia dengan peruntukan RM50 juta membantu usahawan wanita India tidak kira sama ada mereka diisytiharkan bankrap atau disenarai hitam. Bagi yang berdepan Sistem Maklumat Rujukan Kredit Pusat (CCRISS) atau CTOS boleh memohon dana bagi membantu perniagaan seperti membuka kedai dan sebagainya.

Sementara Program Pembiayaan Bank Rakyat Indian Entrepreneur Financing-i (BRIEF-i) (RM50 juta) memudahkan usahawan India membuat pinjaman bagi membawa perniagaan mereka ke tahap yang lebih tinggi. Untuk program ini telah memanfaatkan lebih 1,000 orang usahawan.

Bagi inisiatif Business Accelerator Programme untuk syarikat milikan India bersaiz kecil (I-BAP) (Geran Padanan RM6 juta) di bawah SME Corp memberi tambah nilai kepada usahawan. Contohnya, dia beli sebuah mesin jahit dan kami akan beri satu lagi mesin jahit secara percuma.

Melalui Skim Pembangunan Usahawan Masyarakat India (SPUMI) di bawah TEKUN Nasional sebanyak RM60 juta diperuntukkan. Ia adalah dana untuk usahawan kecil membuat pinjaman bagi meningkatkan produktiviti mereka.

Tahun ini, kita telah meningkatkan jumlah peruntukan bagi membantu usahawan India. Untuk Program SPUMI dan SPUMI Goes Big ditingkatkan kepada RM100 juta, Vanigham (perniagaan) di bawah SME Bank (RM50 juta), BRIEF-I (RM100 juta) dan I-BAP (RM6 juta). Ini bermakna untuk empat bulan ini sahaja sebanyak RM256 juta diperuntukkan khas untuk komuniti India.

Jika lihat buat kali pertama diadakan konvensyen koperasi India seluruh negara dan kami juga telah membuat pengumuman geran untuk koperasi India sehingga RM30,000.

Jadi, tiada mana-mana komuniti di bawah pimpinan Anwar dipinggirkan, termasuk semua yang ingin memulakan perniagaan.

MASA SESUAI UNTUK BERTANDING

Tiada masa yang tepat jika hanya sekadar menunggu waktu yang sempurna. Ia bergantung kepada kepercayaan yang kita sudah lakukan dengan terbaik. Saya percaya pada keyakinan diri saya. ‘Nambikei’ ataupun kepercayaan menjadi pegangan kuat saya.

 

MUDAH DIDEKATI

Semua calon pun ada kekuatan dan kehebatan masing-masing tetapi saya seorang yang senang didekati. Siapa-siapa juga boleh berjumpa dengan saya dan memiliki personal touch (hubungan yang baik).

Saya tidak melihat diri sendiri sebagai golongan elit yang hanya duduk di pejabat dan tidak turun padang.

Saya berbeza dari segi itu dan mungkin ini yang membezakan saya daripada calon-calon yang lain.

 

HARAPAN
Saya berharap selepas ini, semua (ahli parti) akan bersatu padu dan mengikut satu hala tuju. Jika kita lihat sudah 26 tahun (1999) Anwar membina parti ini, membawa parti ini dari jalan raya hingga ke Putrajaya. Hari ini, beliau adalah perdana menteri.

Jadi, saya harap semua boleh bekerja dalam satu pasukan supaya dapat mencapai matlamat negara maju. Dalam masa sama parti dan ahli juga maju.

 


Harus satu kem dalam PKR

 

TIADA KEM SELAIN ANWAR

Jika tanya saya, hanya ada satu kem sahaja iaitu Anwar.

Benar, siapa yang ada dalam parti ini termasuk mereka yang sudah menjadi ‘gergasi’ kerana diri sendiri tetapi bolehkah nama-nama tersebut berjaya seperti hari ini tanpa Anwar?

Walaupun setiap ahli parti ada ‘arus’ masing-masing, namun pada akhirnya akan datang ke ‘kolam’ yang sama iaitu Anwar sebagai presiden.

Saluran-saluran yang ada ketika ini buat sementara sahaja sepanjang pemilihan parti.

Dalam mana-mana parti pun ada kekurangan, bahkan isu yang sama iaitu kekurangan kewangan, tenaga badan, tenaga kerja dan ahli.

Negara kita ada 33 juta rakyat sementara ahli PKR ada sebanyak lebih satu juta orang. Ini bermakna setiap ahli bertanggungjawab menjaga rakyat Malaysia.

NAMA BESAR TEWAS DI CABANG, SATU SIGNAL MAHUKAN PERUBAHAN

Ini masa untuk renung semula diri sendiri, lihat apa kekurangan dan kesilapan yang dilakukan walaupun memiliki nama besar. Adakah kita mengabaikan ahli, menyakitkan hati mereka atau sebenarnya kita lupa diri?

PKR BERPECAH?

Sebenarnya dalam keadaan ini sepatutnya masa yang ada digunakan untuk menguatkan parti berdepan PRU16.

Jika menonton perlawanan bola sepak, kita akan melihat dua pasukan bertanding secara sihat. Pada akhirnya hanya ada satu pasukan sahaja yang menang.

Jika tidak bertanding secara sihat, kemudian mahu bergabung semula, akan susahlah.

Adat pertandingan yang menang pasti gembira. Mereka yang kalah tidak sepatutnya bersedih. Bolehlah kecewa tetapi tidak sepatutnya sedih.

Ada yang kalah boleh menerima kekalahan dan membuat keputusan sewajarnya. Ada pula yang kalah tetapi membuat keputusan mengelirukan.

Biasalah ketika pemilihan ini, ada pihak yang sengaja tabur fitnah dan tohmahan tetapi saya tidak mahu jawab isu ini. Kenapa perlu bagi mereka kredit terhadap apa yang mereka cakapkan? Saya tidak mahu masuk campur urusan mereka. Saya ikut arahan serta tatakelola pucuk pimpinan dan juga presiden. Saya tidak dibenarkan menjawab. Ini hanyalah pemilihan parti. Kita bertanding secara sihat. Kita satu keluarga PKR. Rumah kita, parti kita.

Pemimpin datang dan pergi. Saya memang tidak boleh tahan dengan perpecahan dan sebenarnya saya kurang setuju jika wujud segmentasi dalam apa-apa jua hal. Inilah yang akan mewujudkan perpecahan sedangkan negara kita diduduki pelbagai kaum.

CALON UNDERDOG JUGA BOLEH MENANG

Betul, saya setuju. Kerja, integriti dan keikhlasan dihargai dalam PKR. Kadang-kadang ‘underdog’ lebih dekat dengan rakyat. Saya yakin ahli parti bijak dan tahu siapa yang betul-betul berkhidmat serta bekerja rapat dengan presiden untuk mengangkat visi Malaysia Madani.

NEXT TUN SAMY VELLU?

Saya bukan mahu menjadi ‘the next’ sesiapa. Saya hanya mahu menjadi pemimpin yang bekerja untuk parti dan berkhidmat untuk negara.

Dalam masa sama mahu menjadi pemimpin yang faham cabaran sebenar untuk semua kaum khususnya masyarakat India, terutamanya generasi muda dan usahawan.

Saya juga mahu bawa suara mereka terus kepada arus perdana, bukan hanya retorik tetapi melalui tindakan. -UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN