Pastikan pemilihan PKR tidak meretakkan parti, kerajaan

Pastikan pemilihan PKR tidak meretakkan parti, kerajaan

RAFIZI Ramli, Nurul Izzah Anwar dan Saifuddin Nasution Ismail merupakan simbol, suara dan strategi yang akan menentukan PKR terus mampu menjadi nadi kepada reformasi nasional.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

DALAM diam, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membuat keputusan yang besar tetapi tidak dijulang iaitu menarik diri daripada bertanding jawatan Timbalan Presiden PKR, dalam pemilihan parti kali ini.

Keputusan ini sekali imbas nampak sebagai langkah damai demi mengelakkan pertembungan tiga penjuru, namun hakikatnya, ia satu pengorbanan politik yang cukup besar bagi seorang tokoh yang menjadi tulang belakang strategi parti dan kerajaan.

Keputusan untuk tidak bertanding bukan kerana tiada pengaruh tetapi kerana meletakkan perpaduan dalaman parti di hadapan cita-cita peribadi. Dalam konteks politik sekarang, sikap ini sangat jarang ditemui dan amat dihargai oleh komponen parti gabungan.

Kini, pertandingan hanya tertumpu kepada dua tokoh berprofil tinggi iaitu antara penyandang, Datuk Seri Mohd. Rafizi Ramli dan Nurul Izzah Anwar, anak sulung presiden parti merangkap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Persaingan ini membuka persoalan penting, apakah kesan jangka panjang kepada PKR dan Kerajaan Perpaduan sekiranya tokoh sepenting Saifuddin dan yang kalah disisihkan daripada barisan kepimpinan utama parti?

 

WATAK STRATEGIK TIDAK GLAMOUR TETAPI KRITIKAL

Saifuddin bukan sekadar ‘orang lama’ dalam PKR. Beliau ialah Setiausaha Agung paling lama dalam sejarah parti dan memainkan peranan utama dalam memeta hala tuju PKR sewaktu zaman gelap serta sewaktu transisi kepada Kerajaan Perpaduan.

Selaku pemimpin parti yang setia, beliau adalah ‘arkitek’ dan perunding utama kepada pelbagai rundingan sensitif, terutamanya pembentukan Kerajaan Perpaduan pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) berjaya menyatukan blok politik yang selama ini berseteru.

Sebagai Menteri Dalam Negeri, beliau juga mengetuai pelbagai reformasi penting termasuk penstrukturan semula agensi penguatkuasaan, reformasi imigresen serta operasi pembanterasan dadah dan pemerdagangan manusia.

Karier pentadbirannya menunjukkan kematangan dan disiplin politik yang tinggi, menjadikan beliau sebagai ‘aset tidak ternilai’ kepada Anwar dan PKR. Namun, kerana sifatnya yang merendah diri dan bukan tokoh retorik populis, peranan beliau sering tidak disedari akar umbi.

Walau begitu, bagi pemimpin-pemimpin daripada Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS) dan Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Saifuddin adalah jambatan kepercayaan yang paling utuh antara PKR dan rakan gabungan, khususnya UMNO.

PKR akan berdepan implikasinya besar jika beliau tidak diberi tempat strategik dalam parti selepas pemilihan. PKR bukan sahaja akan kehilangan seorang ahli strategik kerajaan, tetapi juga tokoh yang paling diterima dan dihormati oleh sekutu dalam Kerajaan Perpaduan.

Tanpa Saifuddin, PKR mungkin berdepan dengan ketegangan dalaman dengan kelompok idealis yang boleh memecah-belah kesatuan dalaman parti dan menggugat keharmonian gabungan nasional, terutama apabila negara menghampiri Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16).

Saifuddin adalah tokoh yang boleh diharapkan untuk menjaga disiplin parti dan mengekalkan kemenangan dalam PRU16 dengan gabungan rentas parti Pakatan Harapan (PH) dan BN untuk Semenanjung Malaysia beserta GPS dan GRS di Malaysia Timur.

 

NURUL IZZAH SEBAGAI SIMBOL HARAPAN

Pemilihan ini membuka laluan luas buat Nurul Izzah untuk meraih jawatan Timbalan Presiden. Beliau membawa jenama ‘politik harapan’ yang segar, bersih dan idealistik.

Sebagai ikon generasi reformasi dan anak sulung kepada Anwar, beliau punya nilai simbolik yang sangat kuat dalam naratif kesinambungan perjuangan PKR.

Namun, kemenangan Nurul Izzah bukan tanpa risiko. Beliau masih kurang pengalaman mentadbir kementerian dan belum diuji dalam rundingan strategik berskala besar.

Tambahan pula, persepsi nepotisme tetap menghantui, bukan kerana kekurangan beliau, tetapi kerana hubungan darahnya dengan Presiden PKR dan Perdana Menteri.

Rafizi pula merupakan tokoh penting yang tidak boleh disisihkan begitu sahaja. Walaupun cabarannya sukar kali ini, beliau kekal sebagai antara penggerak jentera pilihan raya paling efektif yang pernah dimiliki PKR.

Pelan ekonomi Malaysia Madani, reformasi subsidi dan sistem data Pangkalan Data Utama (PADU) adalah antara inisiatif yang membuktikan kemampuan pentadbirannya.

Namun begitu, personaliti Rafizi yang keras, berkonfrontasi dan beremosi kadangkala mencetus konflik dalaman sama ada di dalam PKR atau dengan parti-parti rakan dalam Kerajaan Perpaduan. Ini memberi risiko besar jika beliau tidak ditangani dengan bijak.

Jika beliau kalah,dan petunjuknya adalah begitu, serta tidak lagi diberikan peranan penting selepas ini, besar kemungkinan akan wujud perpecahan dalaman dalam PKR disebabkan Rafizi juga mempunyai pengaruh tersendiri di dalam parti.

 

KEPERLUAN MENYEIMBANGKAN SEMUA TOKOH UTAMA

Oleh itu, PKR memerlukan ketiga-tiga tokoh ini, Nurul Izzah, Saifuddin dan Rafizi, untuk menjamin kelangsungan sebagai parti pemerintah dan teras kepada Kerajaan Perpaduan.

Nurul Izzah besar kemungkinan akan menang, tetapi kemenangan beliau perlu diiringi dengan kematangan dan bimbingan daripada tokoh-tokoh berpengalaman seperti Saifuddin.

Dalam masa yang sama, Rafizi perlu dikekalkan sebagai wajah teknokratik reformasi dan pengemudi dasar, asalkan diberikan ruang untuk bekerjasama dan mengurangkan sikap perseteruan.

Begitu juga dengan keperluan menaikkan semula Saifuddin ke posisi strategik, bukan semata-mata sebagai ‘penyelesai masalah’ tetapi sebagai ‘jurutera politik’ jangka panjang yang mampu menjaga keseimbangan antara idealisme dan realpolitik.

Kesimpulannya, PKR sedang melalui fasa transisi kepimpinan yang genting. PKR tidak boleh bergantung kepada satu acuan sahaja. Untuk terus relevan dan stabil ia memerlukan:

• Nurul Izzah yang mewakili harapan masa hadapan, tetapi perlukan bimbingan dan sistem sokongan.
• Rafizi yang mewakili api reformasi, tetapi perlukan kekangan agar tidak membakar ‘rumah sendiri’.
• Saifuddin yang mewakili kekuatan struktur dan diplomasi, yang mesti terus diperkuat demi kestabilan gabungan.

Tiga tunjang ini – simbol, suara dan strategi adalah resipi yang akan menentukan sama ada PKR mampu terus menjadi nadi kepada reformasi nasional atau kembali tenggelam dalam percaturan kuasa dalaman.-UTUSAN

DR. Iskandar Hasan Tan Abdullah ialah Pensyarah Kanan di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Kelantan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN