PERNAHKAH terfikir sama ada produk yang dibeli secara dalam talian berkualiti atau sebaliknya? Bagaimana pula dengan kebolehtahanannya?
Tidak diragui, ia menjadi kebimbangan dalam kalangan pengguna. Pengguna mula sedar kualiti sesuatu produk tidak bertahan lama.
Matematik mudah, kebolehtahanan sesuatu produk boleh dinilai berdasarkan harga. Tambahan pula, model baharu bagi sesuatu produk sentiasa ‘membanjiri’ pasaran, jadi ada sebab seseorang itu ‘terikat’ pada produk yang berkualiti tinggi dan tahan lama?
Ini dikenali sebagai fenomena keusangan terancang (planned obsolescence), yang mana dunia perniagaaan kini lebih berminat untuk menghasilkan produk yang tidak tahan lama. Ia bagi meningkatkan kitaran penggunaan dan penggantian selain membawa keuntungan dalam tempoh masa singkat.
Ini bermakna, syarikat yang mementingkan kualiti hanya boleh mengaut untung selepas satu jangka masa yang lama apabila pengguna membeli produk baharu.
Pada masa sama, jika melihat kepada harga barangan keperluan asas seperti makanan, ubat-ubatan dan sebagainya semakin melambung tinggi. Ini kerana secara relatif ia kurang dikeluarkan, walaupun wujud permintaan yang tinggi.
Satu perbandingan mudah seperti pengeluaran makanan ringan yang kurang berkhasiat lebih murah dan mudah didapati berbanding makanan asas semula jadi yang mahal.
Kesan langsung daripada pengambilan makanan kurang berkhasiat boleh menjejaskan tumbesaran anak dan remaja.
Berdasarkan kajian pada 2019, sebanyak 25 peratus kanak-kanak berumur 5 tahun ke bawah didapati mengalami kurang nutrisi atau terbantut tumberasan.
Angka itu menunjukkan peningkatan lebih kurang lima peratus dari tahun 2011. Pada masa sama, kajian tersebut juga mendapati masalah obesiti kanak-kanak juga sedang meningkat.
Ini adalah kesan langsung apabila kemampuan keluarga untuk membeli barangan makanan yang sihat dan berkualiti terkesan akibat kenaikan harga barangan makanan utama seperti beras, telur, minyak dan sayur-sayuran.
Hal ini menyebabkan ibu bapa terpaksa memilih makanan segera yang lebih murah dan kurang bernutrisi untuk menampung keperluan ahli keluarga.
Berdasarkan situasi itu, jelas pentadbiran negara gagal dalam memastikan keterjaminan makanan.
Ia boleh dilihat apabila kurangnya pelaburan untuk meningkatkan pengeluaran barangan makanan tempatan ke arah keterjaminan makanan.
Kedua, kegagalan untuk meningkatkan pendapatan pekerja, seperti gaji minimum demi menampung kos sara hidup. Pendapatan yang cukup secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup dan membina generasi yang sihat.
Apabila pengeluaran barangan bukan keperluan secara besar-besaran menggunakan plastik, bahan kimia dan pewarna kimia akan menyebabkan risiko pencemaran.
Ia disebabkan proses pembuangan sisa kilang ke dalam sungai atau kolam. Ini adalah masalah yang berlarutan menyebabkan sumber air yang dahulunya bersih untuk diminum menjadi bahaya.
Begitu juga penggunaan plastik. Umumnya penggunaan bahan ini hanya bersifat sementara tetapi sukar dikitar semula.
Selalunya, sampah jenis ini akan terus ke tapak pelupusan sampah. Ini akan meningkatkan bilangan sampah sekali gus menyebabkan lebih banyak tanah akan dibuka bagi menampung kadar sampah yang semakin meningkat dari hari ke hari.
Hal ini harus dihentikan kerana tanah-tanah yang ada lebih baik digunakan bagi tujuan agrikultur sekali gus menyumbang kepada keterjaminan makanan dalam negara.
Berdasarkan kajian, jumlah sungai yang diklasifikasi tercemar meningkat dari 23 batang sungai pada 2021 ke 29 batang sungai pada 2022, iaitu peningkatan 26 peratus dalam jangka masa setahun.
Kerajaan terpaksa merawat air sebelum disalurkan ke rumah dan pengguna terpaksa membelanja lebih untuk menggunakan alat penapis air demi mendapatkan kualiti air bersih ataupun membeli air yang dibotolkan.
Sumber air yang percuma kini sudah menjadi berbayar dan jika ia berlarutan, dunia akan kehabisan sumber air. Bayangkan berapa agaknya harga sayur-sayuran jika petani perlu membayar lebih untuk air bersih?
PERANAN KERAJAAN
Kerajaan juga berusaha dan berbelanja besar untuk memulihara sumber air terutamanya sungai. Perbelanjaan ini bagi mengenal pasti akar permasalahan. Punca yang dikenal pasti ialah kawalan ketat bagi pengurusan pembuangan sisa industri.
Oleh itu, budaya kepenggunaan perlu ditangani kerana ia meningkatkan kos hidup, menjejaskan kesihatan dan memudaratkan alam sekitar.
Tidak cukup sekadar kempen media yang menyasarkan rakyat, tetapi kerajaan yang bertanggungjawab harus proaktif dengan mengambil langkah untuk mengalih fokus sektor pengeluaran dari menghasilkan produk murah dengan kualiti yang rendah kepada produk yang membawa manfaat.
Sektor agromakanan amat penting. Ia wajar diberi keutamaan dan perlu diperluaskan melalui kegiatan tanaman sayur-sayuran, buah-buahan, ternakan ikan, ayam, lembu dan kambing.
Usaha ini akan mengambil masa namun ia amat penting untuk mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan import.
Pada 2022, kerajaan membelanjakan RM78.7 bilion makanan import bagi memenuhi keperluan rakyat. Kadar ini adalah tinggi berbanding jumlah eksport negara.
Selain kerajaan hanya memberi fokus tambahan mengembangkan kebun durian bagi tujuan eksport, lebih baik turut berperanan dalam usaha-usaha untuk mengiktiraf petani, pesawah dan penternak. Ini bagi memastikan bekalan makanan tempatan terjamin dan mampu dibeli.
Akhir kata, pasaran bebas adalah bagus bagi syarikat-syarikat bersaing untuk mengumpul keuntungan tetapi ia tidak mengambil kira kebajikan rakyat ataupun alam sekitar.
Maka, kerajaan perlu mengenakan lebih banyak kawalan dalam pasaran untuk memastikan keperluan asas rakyat terjaga dan terjamin.-UTUSAN
S. Mathavi ialah Timbalan Bendahari Parti Sosialis Malaysia (PSM).











