Lepasan SPM perlu bijak pilih jurusan era IR 4.0

Lepasan SPM perlu bijak pilih jurusan era IR 4.0

PENDIDIKAN vokasional dan teknikal (TVET) merupakan laluan kerjaya yang sangat signifikan dalam revolusi industri 4.0 (IR 4.0).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KEPUTUSAN Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dianggap sebagai penentu hala tuju masa hadapan, sama ada meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi, memasuki alam pekerjaan, mahupun menyertai latihan kemahiran.

Pengumuman keputusan ini menjadi titik permulaan bagi 402,956 lepasan SPM merancang masa hadapan. Dalam era yang berteraskan teknologi, pemilihan laluan pengajian amat penting agar selari dengan keperluan revolusi industri 4.0 (IR 4.0).

Lepasan SPM boleh memohon program asasi, sijil, diploma dan ijazah sarjana muda di 20 universiti awam, 36 politeknik, 105 kolej komuniti dan empat institusi latihan kemahiran awam berdasarkan kelayakan.

Dalam era IR 4.0, landskap pekerjaan berubah dengan pantas, dipacu kemajuan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI), internet kebendaan (IoT), automasi dan data raya. Teknologi baharu ini memberi kesan ketara terhadap tenaga kerja masa hadapan dengan kemahiran tradisional akan digantikan oleh kemahiran digital dan teknikal yang lebih tinggi.

Justeru, lepasan SPM perlu bijak dalam memilih jurusan pengajian supaya tidak tersasar daripada keperluan pasaran kerja masa hadapan yang semakin kompetitif dan berteraskan teknologi baharu.

Pemilihan jurusan pengajian yang tepat bukan sahaja membuka lebih banyak peluang kerjaya, malah menjadi asas kepada kestabilan kewangan dan kesejahteraan hidup dalam jangka panjang.

Dalam konteks IR 4.0, jurusan yang berkaitan dengan Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) semakin mendapat tempat kerana sektor ini merupakan nadi utama pembangunan teknologi masa kini.

Bidang seperti kejuruteraan perisian, analitik data, keselamatan siber dan kejuruteraan automasi antara jurusan yang diramal mengalami pertumbuhan tinggi dari segi permintaan kerja. Oleh itu, mereka harus mengutamakan bidang-bidang ini agar tidak tercicir dalam arus perkembangan ekonomi digital global.

Namun begitu, tidak semua pelajar cenderung kepada bidang teknikal semata-mata. Dalam ekosistem IR 4.0 yang kompleks, turut wujud keperluan terhadap jurusan bukan teknikal yang berkait rapat dengan teknologi, contohnya pemasaran digital, pengurusan teknologi dan inovasi perniagaan.

Pelajar yang berminat dengan komunikasi, psikologi, mahupun kesenian boleh memilih jurusan yang mengintegrasikan elemen digital dan teknologi. Sebagai contoh, bidang seperti reka bentuk grafik digital, animasi 3D dan pengurusan kandungan digital, semakin berkembang selain mempunyai permintaan tinggi di pasaran kerja yang dipacu teknologi hari ini.

Selain itu, pemilihan jurusan juga harus disandarkan kepada minat dan kebolehan individu. Kecanggihan teknologi hari ini membuka pelbagai peluang untuk menyesuaikan minat pelajar dengan keperluan industri.

Kemampuan menggabungkan minat dengan kemahiran digital adalah aset penting dalam membina kerjaya yang fleksibel, relevan dan mampan dalam jangka masa panjang. Penting bagi lepasan SPM untuk mendapatkan maklumat tepat, terkini serta menyeluruh berkenaan jurusan dan prospek kerjaya ditawarkan institusi pendidikan tinggi (IPT) dan agensi pekerjaan.

SALAH ANGGAP
Tambahan pula, pendidikan vokasional dan teknikal (TVET) juga merupakan laluan kerjaya yang sangat signifikan dalam IR 4.0. Ramai yang masih beranggapan TVET adalah laluan ‘kelas kedua’ berbanding pengajian akademi. Sedangkan realitinya, graduan TVET kini semakin mendapat tempat dalam pelbagai industri yang memerlukan kemahiran teknikal tinggi.

Jurusan seperti automasi industri, penyelenggaraan mesin serta teknologi makanan dan pertanian pintar sangat relevan dalam era ini. Dengan adanya pelbagai inisiatif kerajaan untuk memperkasa pendidikan TVET melalui pengiktirafan antarabangsa dan kerjasama industri, pelajar yang memilih laluan ini tidak hanya terhad kepada kerja-kerja teknikal, malah berpotensi menjadi usahawan industri.

Dalam masa sama, kemahiran insaniah seperti komunikasi berkesan, pemikiran kritis, kreativiti dan kerja berpasukan kekal penting dalam mana-mana bidang kerjaya.

Dalam IR 4.0, mesin mungkin mampu menggantikan banyak kerja rutin, namun kemahiran manusia dalam menyelesaikan masalah kompleks dan membuat keputusan strategik tidak dapat diganti sepenuhnya.

Oleh itu, pelajar perlu mengimbangi pemilihan jurusan dengan pembangunan kemahiran insaniah yang menyeluruh. IPT dan kolej vokasional kini banyak menekankan pembelajaran berasaskan projek serta kolaborasi industri untuk membina kemahiran ini dalam kalangan pelajar sejak awal.

Satu lagi aspek penting dalam membuat pilihan jurusan ialah kebolehan menjangkakan arah aliran pekerjaan masa hadapan.

Menurut laporan Forum Ekonomi Dunia (WEF), sekitar 92 juta pekerjaan akan hilang secara global pada 2030, tetapi sebanyak 170 juta pekerjaan baharu akan wujud. Ini menunjukkan pelajar harus dan sentiasa bersedia belajar semula di samping menambah kemahiran baharu sepanjang kerjaya.

Dasar kerajaan seperti Dasar Revolusi Industri Keempat Nasional (4IR) dan Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL) menyediakan hala tuju yang jelas kepada pembangunan modal insan berasaskan teknologi.

Inisiatif seperti Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) dan program kerjasama antara universiti dan industri memberikan peluang kepada pelajar untuk mendapatkan latihan praktikal dan pensijilan industri yang meningkatkan kebolehpasaran mereka.

Oleh itu, lepasan SPM harus mengambil peluang ini untuk menyertai kursus jangka pendek, program pensijilan atau program sambilan semasa pengajian untuk melengkapkan diri dengan kemahiran yang kompetitif.

Selain itu, ibu bapa, guru kaunseling dan pihak sekolah juga memainkan peranan penting dalam membimbing pelajar memilih jurusan yang sesuai. Dalam dunia yang semakin kompleks ini, pendedahan awal kepada kerjaya masa hadapan, lawatan industri, program mentor serta simulasi kerjaya digital boleh membantu pelajar memilih jurusan tepat.

Dalam banyak kes, pelajar memilih jurusan hanya berdasarkan pengaruh rakan sebaya atau desakan ibu bapa tanpa memahami realiti industri sebenar. Keputusan ini akhirnya membawa kepada kadar pengangguran siswazah yang tinggi dan ketidakpadanan kemahiran di pasaran kerja.

Penyediaan maklumat kerjaya dan jurusan secara atas talian dalam bentuk interaktif juga dapat membantu pelajar memahami laluan kerjaya yang pelbagai dan dinamik dalam IR 4.0.

Akhir sekali, lepasan SPM perlu dididik bahawa kejayaan kerjaya bukan sekadar bergantung kepada jurusan yang dipilih, tetapi kepada sikap, komitmen dan keupayaan untuk menyesuaikan diri dengan perubahan.

Dunia pekerjaan hari ini bukan lagi ‘lelurus’, seseorang mungkin bermula dalam sektor kejuruteraan, dan berakhir dalam bidang perniagaan digital atau menjadi pereka kandungan.

Oleh itu, jurusan yang dipilih hari ini perlu dijadikan sebagai ‘pintu masuk’ kepada dunia pembelajaran sepanjang hayat dan bukan sekadar tiket untuk mendapat kerja.-UTUSAN

PROFESOR Madya Dr. Md. Fauzi Ahmad ialah Pensyarah dan Penyelidik Kanan Pengurusan Teknologi Pengeluaran, Fakulti Pengurusan Teknologi dan Perniagaan Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN